USAHA memperkukuh kerjasama UMNO dan Pas serta kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan menjadi antara tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Selepas pengalaman Muafakat Nasional (MN) yang ‘mati’ dipertengahan jalan, usaha ke arah kerjasama baharu antara dua parti terbesar Melayu Islam itu kini diberi perhatian sebagai langkah memperkukuh kekuatan politik menghadapi pilihan raya akan datang.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, mendapatkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, DATUK ROZABIL ABD. RAHMAN bagi mengulas perkara itu serta persediaan UMNO mendepani PRU16.
UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat penyatuan UMNO-Pas ?
ROZABIL: UMNO terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak apabila terdapat titik persamaan tetapi keterbukaan itu tidak bermaksud UMNO meninggalkan prinsip dan identitinya.
Apa yang berlaku di Negeri Sembilan ialah sekadar persefahaman BN dan Perikatan Nasional (PN), bukan kerjasama rasmi UMNO dan Pas.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menyatakan tiada perjanjian mengikat kedua-dua gabungan sebaliknya persefahaman itu bagi mengelakkan pertindihan kerusi.
Sebenarnya, prinsip UMNO dalam soal ini cukup mudah, UMNO tidak perlu mengejar sesiapa tetapi juga tidak menutup pintu kepada sesiapa. Andainya ada mana-mana parti politik yang mempunyai titik persamaan dengan asas perjuangan UMNO iaitu menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan, memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera, mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan, maka tidak mustahil untuk kita duduk dalam satu arena yang sama, berbincang dan cari titik persamaan.
Kita boleh melihat ruang demi kestabilan politik dan masa depan negara. Penyatuan tidak seharusnya berasaskan percaturan politik semata-mata sebaliknya mempunyai asas, prinsip dan matlamat lebih besar daripada sekadar siapa mendapat kerusi dan kuasa.
Kalau penyatuan hanya berlaku ketika kita memerlukan satu sama lain untuk menghadapi pilihan raya, maka selepas itu, penyatuan itu juga mungkin selesai. Tetapi apabila bertemu kerana prinsip, maka kita mempunyai asas untuk membina persefahaman yang lebih panjang.
Adakah penyatuan hanya sekadar UMNO-Pas semata-mata?
Soal penyatuan ini tidak seharusnya disempitkan hanya kepada satu parti sahaja. Pintunya harus lebih luas daripada itu. UMNO boleh menyediakan ruang untuk menyatukan semula kekuatan masyarakat yang berkongsi titik persamaan dengan perjuangan parti.
Kita juga telah membina BN sebagai wadah kerjasama politik masyarakat berbilang kaum. Semua pengalaman ini memberikan satu pengajaran bahawa UMNO boleh mempertahankan teras perjuangannya tanpa menafikan hak dan kepentingan masyarakat Malaysia yang lain.
Prinsip BN masih utuh dipertahankan, kita mesti kembali meyakinkan rakyat bahawa memperkukuhkan kedudukan Melayu dan bumiputera tidak bermaksud melemahkan masyarakat lain. Mempertahankan Islam tidak bermaksud menafikan kebebasan agama lain sebagaimana dijamin Perlembagaan.
Mempertahankan institusi raja-raja Melayu pula tidak bermaksud menafikan prinsip demokrasi berparlimen dan memperkukuhkan UMNO tidak seharusnya bermaksud mana-mana kaum perlu merasa tersisih daripada masa depan negara ini.
Itulah pengalaman panjang yang perlu terus kita bawa dalam kerangka BN iaitu sebuah gabungan yang selama beberapa dekad menghimpunkan parti-parti yang mewakili masyarakat berbeza dalam satu wadah politik.
Sejauh mana perbincangan dengan Pas?
Apabila ditanya adakah UMNO bersedia untuk berbincang dengan Pas, jawapannya ia bukan sekadar mengenai Pas. UMNO harus sentiasa berbincang dengan sesiapa sahaja apabila terdapat ruang untuk mencari titik persamaan yang selari dengan prinsip parti, Perlembagaan dan kepentingan negara.
UMNO juga mesti cukup yakin dengan diri sendiri. Jangan kerana mahu mencari kawan, kita hilang identiti. Jangan kerana mahu membina persefahaman, kita menggadaikan prinsip dan jangan kerana kepentingan pilihan raya, kita membina sesuatu yang tidak mempunyai asas untuk bertahan selepas pilihan raya.
Benarkah khabar angin mengatakan penyatuan dengan Pas kerana UMNO takut kalah?
Kita perlukan penyatuan kerana ada perkara yang lebih besar untuk diperjuangkan bersama iaitu agama kita pelihara, bangsa kita perkasa, raja kita junjung, Perlembagaan kita pertahankan dan keharmonian rakyat dijaga yang akhirnya, Malaysia stabil dan makmur, itulah matlamat kita bersama.
Biarlah rumah UMNO kukuh asasnya, jelas prinsipnya dan terbuka pintunya kepada mereka yang mahu bersama-sama membina negara kerana parti ini tidak perlu menjadi kecil untuk menerima orang lain.
Ada desakan untuk UMNO mengkaji kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan ?
PRU15 tidak memberikan mandat mencukupi kepada mana-mana parti atau gabungan untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Negara berdepan Parlimen tergantung dan ketidaktentuan pembentukan kerajaan.
Dalam keadaan itulah, atas kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong ketika itu mahu parti-parti politik mempertimbangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi mengembalikan kestabilan negara. UMNO dan BN akhirnya menjunjung titah dan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan.
Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan bermaksud UMNO menghapuskan identiti perjuangannya. Kita datang dengan sejarah, prinsip serta membawa amanah orang Melayu dan bumiputera iaitu mempertahankan kedudukan Islam, institusi raja-raja Melayu selain Perlembagaan Persekutuan, di samping menjaga kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Sepanjang tempoh ini, UMNO memberi komitmen kepada kestabilan negara, maka haruslah dihormati. Kita tidak perlu bermain politik tarik tali atau tidak perlu mengugut untuk menarik sokongan. Kestabilan yang dijanjikan kepada rakyat mestilah ditunaikan.
Persiapan berdepan PRU16 ?
Kalau gelanggang PRU16 semakin hampir, UMNO mesti mula bersiap sedia dari sekarang.
Jentera mesti diaktifkan, kerusi mesti dikenal pasti dan calon mesti dipersiapkan selain pengundi muda mesti didekati serta kekuatan akar umbi mesti dipulihkan.
Lebih penting, UMNO perlu memastikan apabila tiba PRU16, rakyat benar-benar memahami apa yang UMNO tawarkan atas nama UMNO dan BN kerana Kerajaan Perpaduan hanya pentadbiran yang lahir daripada keadaan pasca PRU15.
Kita mesti bersedia sebelum Parlimen dibubarkan. Antaranya, Perlis mahu melihat UMNO memasuki PRU16 dengan prinsip jelas, organisasi kukuh dan tawaran yang dapat dinilai oleh rakyat.
Apa yang perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan akar umbi?
Saya rasa sentimen yang dirasai oleh semua ahli parti adalah sama iaitu hala tuju kita ke arah PRU16. Saya yakin akar umbi tidak semestinya meminta satu formula politik yang sama untuk semua negeri tetapi mereka memerlukan kepastian, arahan dan kesatuan gerak kerja.
Hal demikian kerana, akar umbi UMNO yang setia dengan perjuangan parti akan faham dinamik politik pada hari ini. Ini juga selari dengan kenyataan terkini pimpinan bahawa strategi PRU16 tidak semestinya bersifat ‘one-size-fits-all’ dan keputusan kerjasama di sesetengah negeri boleh mengambil kira realiti tempatan sebelum dimuktamadkan di peringkat pusat.
Johor tidak sama dengan Negeri Sembilan dan Perlis tidak sama dengan Melaka. Dinamika, kekuatan parti dan sentimen pengundi juga berbeza.
Bagaimana dengan Rumah bangsa ?
Satu lagi agenda yang perlu sentiasa hadir dalam akar umbi adalah semangat Rumah Bangsa.
UMNO itu kuat, apabila kita semua bersatu hati. Gagasan Rumah Bangsa membawa cita-cita besar iaitu UMNO kembali menjadi rumah untuk menyatukan kekuatan, membuka pintu kepada mereka yang mahu kembali dan menjadikan cawangan sebagai tempat rakyat mendapatkan khidmat dan pembelaan. –UTUSAN










