PADA 15 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Empat hari kemudian, Jemaah Menteri bersetuju membangunkan kerangka Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA). Persoalan utama kini ialah bentuk semak dan imbang penggantinya serta kewujudan badan bebas yang berwibawa untuk menyelesai pertelingkahan warga kampus.
Statistik Pendidikan Tinggi 2025 merekodkan 634,706 mahasiswa universiti awam dan 1,367,929 mahasiswa dalam keseluruhan sistem. Pertikaian tatatertib, pengajian, pekerjaan, diskriminasi, gangguan, kebebasan akademik dan salah tadbir tidak dapat dielakkan.
Aduan yang melibatkan pengurusan tertinggi pula boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan jika keseluruhan proses kekal dalam struktur institusi yang sama.
Pemansuhan AUKU tidak menyelesaikan semua persoalan. Tatatertib kakitangan universiti awam masih berkait dengan Akta 605. Pelan Tindakan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2028 menyasarkan kajian semula Peraturan 17, 18 dan 19, manakala Surat Pekeliling KSU KPT Bil. 1/2025 membenarkan pernyataan tertentu oleh kakitangan akademik.
OHEA perlu diselaraskan dengan Akta 605 sambil melindungi kegiatan akademik yang sah serta mengekalkan tanggungjawab terhadap fitnah, kerahsiaan, keselamatan, etika dan integriti penyelidikan.
OHEA juga hendaklah menjadikan keadilan semula jadi sebagai asas. Seseorang mesti mengetahui kes terhadapnya, diberi peluang munasabah untuk menjawab dan diputuskan oleh pihak yang bebas daripada berat sebelah atau konflik kepentingan.
Ini memerlukan pertuduhan jelas, akses kepada bukti penting, masa mencukupi untuk pembelaan, perwakilan apabila undang-undang memerlukannya, keputusan bertulis beralasan serta laluan rayuan bebas. Keadilan bukan jaminan pengadu menang tetapi keyakinan terhadap proses yang adil dan dipercayai.
SIAPA MENGADILI PERTIKAIAN KAMPUS?
RPTM turut menggariskan Program Penubuhan Ombudsman Pendidikan Tinggi Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti awam dan swasta.
Mekanisme ini wajar diperkukuh dengan Ombudsman Pendidikan Tinggi Nasional yang bebas secara institusi dan operasi daripada KPT serta pengurusan universiti.
Ombudsman bukan mahkamah. Peranannya menyiasat, meminta penjelasan, memudah cara penyelesaian serta mengenal pasti kelemahan sistem secara bebas, berkesan.
Ombudsman nasional boleh menangani salah tadbir, kelewatan, diskriminasi, gangguan, konflik kepentingan, tindakan balas dan pencabulan kebebasan akademik, manakala Tribunal Pendidikan Tinggi mengendalikan pertikaian serius yang memerlukan keputusan mengikat dan remedi statutori.
Kedua-duanya boleh disusun sebagai Sistem Keadilan Kampus Tiga Lapis. Lapisan pertama ialah ombudsman dalaman universiti bebas dan mengutamakan penyelesaian awal.
Lapisan kedua ialah Ombudsman Pendidikan Tinggi Nasional bebas daripada pengurusan universiti dan KPT. Lapisan ketiga ialah Tribunal Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan Parlimen serta memberikan remedi, manakala Mahkamah Tinggi kekal menjalankan semakan kehakiman. Sistem ini mesti menjadi laluan tersusun, bukan birokrasi tiga kali.
Ombudsman nasional wajar dilantik melalui proses dipimpin Parlimen, bukan Menteri KPT atau pengurusan universiti. Calon hendaklah dipilih terbuka, telus dan berasaskan merit, disaring jawatankuasa pilihan khas Parlimen serta disahkan merentas parti. Selaras dengan Prinsip Venice, satu penggal panjang tanpa pembaharuan, dengan tujuh tahun sebagai penanda aras, wajar dipertimbangkan. Belanjawan dan laporan tahunan perlu dilindungi daripada campur tangan eksekutif.
Pemecatan Ombudsman hendaklah dihadkan kepada alasan seperti ketidakupayaan atau salah laku, selepas proses adil dan diawasi Parlimen. Menteri tidak sepatutnya boleh menamatkan jawatannya kerana tidak bersetuju dengan dapatan Ombudsman. Kebebasan institusi boleh terjejas jika tempoh jawatan bergantung pada pihak yang berpotensi disiasat.
Bidang kuasa Tribunal perlu jelas dan terhad. Ia boleh meliputi keputusan tatatertib berat, pemecatan atau penurunan pangkat kakitangan universiti awam, penamatan atau penggantungan pengajian, tindakan balas terhadap pengadu atau pemberi maklumat serta pelanggaran prosedur serius.
Bagi institusi swasta, OHEA tidak patut mengambil alih pertikaian pekerjaan atau perhubungan perusahaan agar Tribunal tidak bertindih dengan forum lain.
Umumnya, warga kampus perlu memberi peluang kepada universiti menyelesaikan pertikaian secara dalaman. Namun, syarat ini tidak boleh menjadi perangkap prosedur.
Ombudsman nasional patut boleh menerima kes apabila berlaku kelewatan tidak munasabah, risiko tindakan balas, konflik kepentingan nyata, halangan, keadaan mendesak atau proses dalaman tidak membawa manfaat. Bagi kes serius, keputusan rayuan dalaman boleh menjadi prasyarat tetapi aduan kepada Ombudsman tidak semestinya diwajibkan.
Sistem ini wajar meliputi institusi institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/S). Bagi kakitangan IPTS, bidang kuasa perlu tertumpu pada tadbir urus, kebebasan akademik, penyelidikan, tatatertib akademik dan keadilan prosedur.
Pertikaian mengenai gaji, kontrak pekerjaan, pembuangan kerja atau perhubungan perusahaan hendaklah kekal di bawah undang-undang pekerjaan berkenaan.
Namun, status pekerja tidak dengan sendirinya menyingkirkan aduan daripada Ombudsman. Kes bercampur memerlukan mekanisme rujukan jelas bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa, pemilihan bidang kuasa yang menguntungkan dan remedi berganda.
Sistem ini juga wajib melindungi data peribadi, saksi dan pemberi maklumat. Tanpa perlindungan tindakan balas, saluran aduan mungkin gagal memenangi kepercayaan warga kampus.
Pengalaman antarabangsa memberi panduan, bukan acuan. Di England dan Wales, Pejabat Adjudikator Bebas menilai aduan mahasiswa selepas proses dalaman, dengan pengecualian tertentu, tanpa menggantikan pertimbangan akademik.
Australia mengendalikan Ombudsman Pelajar Kebangsaan sejak 1 Februari 2025 sebagai saluran bebas aduan mahasiswa.
Sweden mempunyai Lembaga Rayuan Pendidikan Tinggi bagi kategori rayuan tertentu, termasuk beberapa keputusan pekerjaan di institusi pengajian tinggi kerajaan.
Dua mekanisme pertama terutama melayani mahasiswa, manakala Sweden mempunyai bidang rayuan lebih pelbagai. Model ini menunjukkan kebebasan institusi memerlukan bidang kuasa jelas dan prosedur tidak membebankan. Malaysia boleh mengambil pendekatan lebih menyeluruh.
OHEA perlu menjamin hak untuk didengar, pengisytiharan konflik kepentingan, akses kepada bukti penting, keputusan beralasan, larangan tindakan balas dan tempoh penyelesaian munasabah.
Ombudsman patut boleh meminta dokumen, menyiasat masalah sistemik, memudah cara penyelesaian dan menerbitkan laporan tahunan tanpa mendedahkan identiti. Tribunal pula perlu boleh mengesahkan, mengetepikan atau mengembalikan keputusan untuk dipertimbangkan semula serta, dalam keadaan mendesak yang ditetapkan undang-undang, mengeluarkan perintah sementara bagi mengelakkan kemudaratan serius.
Namun, Tribunal tidak boleh menjadi ‘mahkamah senat’. Ia tidak patut menentukan sama ada tesis layak menerima ijazah doktor falsafah, calon layak mendapat gred tertentu, atau karya profesor cukup bermutu untuk kenaikan pangkat.
Tribunal hanya menilai sama ada prosesnya sah, rasional, adil dan konsisten serta bebas daripada diskriminasi dan konflik kepentingan. Garis pemisah ini melindungi autonomi akademik sambil memastikan kuasa institusi dipertanggungjawabkan.
Kejayaan OHEA tidak diukur semata-mata pada pemansuhan AUKU tetapi pada sama ada warga kampus memperoleh sistem lebih adil dan dipercayai.
Reformasi matang tidak menganggap setiap pentadbir bersalah, mekanisme dalaman penting tetapi mempunyai batas tertentu. Perundingan awam mesti melibatkan mahasiswa, ahli akademik, persatuan pekerja, pentadbir dan pakar undang-undang.
Draf rang undang-undang wajar diterbitkan awal. Malaysia memerlukan saluran dalaman berkesan, Ombudsman bebas, Tribunal dengan bidang kuasa terhad tetapi bermakna, serta penyelarasan OHEA dengan Akta 605. Barulah pertanyaan “siapa membela warga kampus?” memperoleh jawapan: sebuah sistem yang adil, bukan semata-mata seorang penguasa. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) dan Timbalan Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










