AWAL pagi 20 November 2022, ketika semua calon Perikatan Nasional (PN) sudah berkumpul di Kompleks Pas Kangar bagi meraikan kemenangan bersejarah merampas negeri ini daripada Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abu Bakar Hamzah masih di Kuala Perlis.
Nasib beliau sebagai calon PN untuk menang di kawasan tersebut masih tidak menentu dengan kedudukan undi pada masa itu sengit membabitkan seorang lagi calon dari Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Takdir menentukan, Abu Bakar bejaya memenangi kerusi DUN Kuala Perlis dengan majoriti hanya 154 undi berbanding rakan-rakan lain di 14 lagi kerusi yang menang majoriti selesa malah ada sehingga majoriti lebih 5,000.
Abu Bakar menangis, sujud syukur, maka selepas itu bermulalah perjalanan baharu beliau sebagai wakil rakyat selepas puluhan tahun bergelumang dalam politik dengan sebahagian besar perjalanan hanya sekadar menjadi akar umbi atau pemimpin setempat yang sudah faham benar selok-belok berkhidmat kepada rakyat.
Ironinya, beliau dengan majoriti paling rendah tetapi menjadi antara wakil rakyat PN paling ‘perform’. Kuala Perlis daripada ‘biasa-biasa’, namun dengan hasil ‘air tangan’ Abu Bakar, kawasan itu berubah menjadi destinasi yang cukup popular.
Dalam tempoh kira-kira dua tahun itu, Abu Bakar yang ketika itu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Timbalan Pengerusi PN negeri hanya memberi tumpuan berkhidmat di Kuala Perlis selepas dinafikan memegang jawatan exco, meskipun dari segi hierarki parti, beliau sekurang-kurangnya layak memegang jawatan exco kanan kerajaan negeri.
Dalam tempoh itu, beliau seolah-olah berseorangan, hanya ditemani rakan-rakan rapat daripada Bersatu dan berada jauh daripada pentadbiran kerajaan negeri. Bagaimana perasaan beliau ketika itu sebagai pemimpin tertinggi parti politik yang tidak dilantik sebagai exco?
Namun beliau tidak mengalah, terus memberi khidmat kepada rakyat selain berjaya menganjurkan pelbagai program besar seperti Pesta Air Kuala Perlis, Malam Citrawarna Kuala Perlis dan banyak lagi.
Kuala Perlis meriah, rakyat gembira dan penduduk setempat turut merasai limpahan ekonomi hasil ‘air tangan’ Abu Bakar.
MEMBAWA PERUBAHAN UNTUK PERLIS
Usaha sesekali tidak akan pernah mengkhianati, selepas dua kali tidak terpilih, Abu Bakar akhirnya dilantik sebagai exco kerajaan negeri dan memegang portfolio pelancongan pada 2024 yang sangat bertepatan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Sektor pelancongan Perlis yang semakin meningkat pasca Covid-19 pada 2021 terus berkembang dengan pesat. Daripada 3.2 juta pelancong pada 2024 melonjak sehingga 5.12 juta pada 2025 serta anggaran pada tahun ini menarik lebih 5.5 juta pengunjung ke negeri ini.
Pada hujung tahun 2025, krisis politik melanda negeri ini yang menyaksikan Mohd. Shukri Ramli hilang sokongan majoriti mudah seterusnya meletak jawatan sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan. Tindakan beliau itu membuka ruang kepada lantikan Menteri Besar baharu.
Takdir sekali lagi menentukan, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melantik Abu Bakar sebagai Menteri Besar baharu. Baginda menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan dan pertimbangan terbaik dalam memilih Menteri Besar baharu demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri ini.
Dalam tempoh lapan bulan menjawat tugas sebagai Menteri Besar, ia tidak mudah.
Abu Bakar diserang dan dilabel dengan pelbagai gelaran seperti pengkhianat serta banyak lagi sinikal lain namun hal-hal itu tidak melemahkan semangat beliau menjalankan tanggungjawab serta amanah demi rakyat dan negeri ini.
Meskipun tempoh pentadbiran beliau masih baharu namun pelbagai inisiatif dan kebajikan telah dilaksanakan.
Antara pencapaian besar setakat ini termasuklah lonjakan dalam sektor pelancongan yang mencecah sehingga lebih lima juta pengunjung, pelaburan projek kilang Top Dolomite serta kejayaan membuka kembali laluan maritim dari Kuala Perlis ke Tammalang, Thailand.
Kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk memastikan industri tuna bertapak di sini memandangkan ia mempunyai potensi besar kepada Perlis dengan menggunakan perkhidmatan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) selain pentadbiran beliau juga komited menghidupkan semula projek-projek Persekutuan yang tertangguh di negeri ini.
Malah, impian anak muda untuk menyaksikan Perlis mempunyai litar permotoran semakin direalisasikan apabila sebuah litar permotoran yang dianggarkan bernilai RM20 juta akan dibangunkan di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA).
Pembangunan litar menerusi kerjasama kerajaan negeri dengan sebuah syarikat permotoran, ESR Motor itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan pemotoran moden dan mempunyai laluan lurus sepanjang kira-kira 1.3 kilometer dengan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Daripada segi kebajikan, kerajaan negeri antaranya memperkenalkan program Imarah Ramadan, sumbangan Aidilfitri kepada hampir 20,000 penduduk di 15 DUN di negeri ini serta ibadah korban melibatkan hampir 120 ekor lembu di Perlis sempena sambutan Aidiladha lalu
Terbaharu, ketegasan beliau bertindak mengikut peruntukan undang-undang dalam isu perobohan kuil haram mendapat pujian ramai. Isu penempatan kuil haram itu sudah berlarutan sejak sekian lama sebelum diselesaikan di zaman Abu Bakar.
“Apabila saya diamanahkan oleh Raja Perlis sebagai Menteri Besar, segala cabaran, dugaan saya ketepikan. Biarlah orang nak cakap apa pun, yang penting saya akan jaga negeri saya, raja saya dan rakyat.
“Biarlah segala rintangan, kritikan benda yang tidak betul itu, saya abaikan. Kepada mereka yang sering mengecam saya, tepuk dada, tanya selera, adakah kecaman itu betul atau tidak dan ia sedikit pun tidak melemahkan semangat saya,” kata Abu Bakar.
Bagi rakyat Perlis, nilailah sejauh mana gerak kerja dan prestasi Menteri Besar ketika ini.
Nilailah dengan adil, bukan sentimen atau kebencian semata-mata. Jika dinilai dengan kebencian, buatlah apa kebaikan sekali pun, tetap nampak buruk. –UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










