Mahasiswa jangan takut bersuara

Mahasiswa jangan takut bersuara

UNIVERSITI perlu menyediakan ruang untuk melahirkan mahasiswa yang kritikal, berani dan mempunyai pendirian sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBINCANGAN mengenai kebebasan mahasiswa kembali menarik perhatian apabila ruang politik kepada golongan itu semakin terbuka. Ada yang melihat perkembangan ini sebagai kejayaan besar selepas sekian lama gerakan mahasiswa dikaitkan dengan pelbagai sekatan.

Ada pula yang bertanya, setelah ruang diberikan, namun mengapa kampus masih kelihatan tenang dan gerakan mahasiswa tidak segarang era 1970-an?

Bagi saya, kita perlu berhati-hati membuat perbandingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahasiswa hari ini bukan mahasiswa 1970-an. Zaman sudah berubah, masyarakat berubah, teknologi berubah dan cara anak muda berfikir serta menyatakan pendirian juga berubah.

Namun satu perkara tidak sepatutnya berubah iaitu universiti mesti menjadi medan melahirkan manusia yang berfikir, bukan sekadar graduan yang pandai menjawab soalan peperiksaan.

MAHASISWA BUKAN PELAJAR SEKOLAH

Saya berpendapat universiti perlu diberikan autonomi yang lebih luas. Pada masa sama, mahasiswa tidak seharusnya dilihat atau dilayan seperti pelajar sekolah.

Mereka ialah kelompok dewasa muda yang sedang membentuk identiti, pemikiran dan kepimpinan sendiri.

Mereka perlu diberikan ruang untuk bertanya, berdebat, berbeza pandangan malah mencabar pemikiran yang sudah dianggap mapan.

Kita tentu mahukan mahasiswa yang beretika, beradab, berilmu, bermoral dan mempunyai sahsiah yang baik. Semua ini penting dalam membina negara maju dan bermaruah.

Namun, adab jangan diterjemahkan sebagai diam dan disiplin jangan sampai mematikan keberanian berfikir.

Mahasiswa yang baik bukan mahasiswa yang sentiasa bersetuju dengan pihak berkuasa. Mahasiswa yang baik ialah mereka yang mampu berbeza pendapat secara berilmu, berhujah berdasarkan fakta dan mempertahankan pendirian dengan adab.

Kita mahu mahasiswa yang beradab tetapi berani, berilmu tetapi kritikal, patriotik tetapi tidak takut menegur apabila negara tersasar.

 

PERBEZAAN MAHASISWA DAHULU DAN SEKARANG

Generasi mahasiswa sekitar 1970-an mempunyai latar sosial yang sangat berbeza. Ramai memasuki universiti selepas Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Budaya mahasiswa ketika itu turut dipengaruhi gelombang aktivisme anak muda di seluruh dunia.

Mahasiswa resah dan gelisah melihat persoalan masyarakat. Mereka lantang membicarakan kemiskinan, pendidikan, ketidakseimbangan sosial dan nasib rakyat.

Gerakan mahasiswa ketika itu juga terkenal dengan sifat menentang pihak berkuasa. Mereka tidak semestinya menentang kerajaan dalam segala perkara tetapi mempunyai keberanian mempersoalkan kuasa.

Hari ini keadaannya berbeza.

Mahasiswa memasuki universiti melalui pelbagai laluan seperti matrikulasi,Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan program asas.

Mereka pula hidup dalam dunia digital yang membolehkan sesuatu maklumat diperoleh dalam beberapa saat.

Mereka mungkin tidak berkumpul beramai-ramai mendengar pidato berapi-api seperti dahulu tetapi jangan cepat membuat kesimpulan mereka tidak peduli.

Dalam diam, mereka berfikir. Dalam senyap, mereka bersuara.

Pentas mahasiswa hari ini bukan lagi hanya dataran kampus. TikTok, Instagram, X, podcast, YouTube dan pelbagai platform digital telah menjadi ‘sudut pidato’ generasi baharu.

Sebuah video mahasiswa yang berdurasi dua minit boleh ditonton ratusan ribu orang, jauh melebihi jumlah khalayak sebuah pidato kampus pada zaman kita.

 

HIDUPKAN KEMBALI SUDUT PIDATO

Namun saya tetap melihat nilai besar pada sudut pidato secara fizikal.

Saya masih tertarik dengan sejarah sudut pidato di hadapan perpustakaan Universiti Malaya. Mengapa tidak diwujudkan kembali ruang simbolik seperti itu dan diperkasakan pula di universiti-universiti lain?

Biarkan mahasiswa berdiri dan berbicara.

Biarkan mereka berdebat tentang kos sara hidup, kemiskinan, rasuah, pendidikan, peluang pekerjaan, alam sekitar, ekonomi, dasar kerajaan dan masa depan negara.

Kalau hujah mereka lemah, lawan dengan hujah. Kalau fakta mereka salah, betulkan dengan fakta.

Universiti tidak seharusnya takut kepada mahasiswa yang bertanya.

Sudut pidato bukan bertujuan melahirkan mahasiswa ‘liar’. Kita tidak mahu mahasiswa ‘liar’. Kita mahu mahasiswa berani. Itu dua perkara yang sangat berbeza.

BEBAS BERPOLITIK ATAU BEBAS DARIPADA POLITIK?

Cabaran yang lebih rumit hari ini ialah hubungan mahasiswa dengan politik kepartian.

Apabila usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan anak muda semakin penting sebagai blok pengundi, semua parti politik tentu mahu mendekati mereka.

Tidak salah mahasiswa menyokong parti politik. Tidak salah mereka menjadi ahli parti atau mempunyai kecenderungan politik tertentu jika undang-undang membenarkannya.

Namun mahasiswa mesti berhati-hati agar kebebasan politik tidak akhirnya menyebabkan mereka kehilangan kebebasan intelektual.

Jika menyokong kerajaan, jangan hilang keberanian mengkritik kerajaan.

Jika menyokong pembangkang, jangan tutup mata apabila pembangkang melakukan kesalahan.

Kalau mahasiswa hanya lantang apabila lawan politik melakukan kesalahan tetapi diam apabila kelompok sendiri melakukan perkara sama, itu bukan lagi keberanian mahasiswa. Itu politik kepartian biasa.

Mahasiswa tidak sepatutnya menjadi sayap tidak rasmi mana-mana parti politik.

Kalau mereka mahu bergerak secara partisan, biarlah mereka membawa idea dan kekuatan pemikiran sendiri, bukan sekadar mengulangi skrip pemimpin politik.

Di sinilah saya melihat cabaran terbesar generasi mahasiswa hari ini iaitu kebebasan yang paling bernilai bukan sekadar bebas berpolitik, tetapi bebas daripada dikawal oleh politik.

 

MAKLUMAT BUKAN SEMESTINYA KEBIJAKSANAAN

Generasi digital mempunyai kelebihan luar biasa. Mereka mempunyai akses kepada dunia ilmu yang tidak pernah kita bayangkan ketika menjadi mahasiswa dahulu.

Tetapi kelebihan itu datang bersama ancaman.

Maklumat yang banyak tidak semestinya menghasilkan ilmu. Ilmu pula tidak secara automatik menghasilkan kebijaksanaan.

Algoritma media sosial boleh mewujudkan gelembung pemikiran. Propaganda boleh menyamar sebagai fakta. Populariti boleh dianggap sebagai kebenaran. Kandungan yang paling emosional pula sering mendapat perhatian paling besar.

Sebab itu mahasiswa hari ini memerlukan kemahiran yang mungkin lebih penting daripada generasi sebelumnya iaitu keupayaan membezakan fakta dengan propaganda, hujah dengan sentimen, pemikiran bebas dengan naratif politik yang disuapkan kepada mereka.

JANGAN PAKSA MEREKA MENJADI GENERASI KITA

Sebagai generasi terdahulu dan veteran gerakan pelajar, kita juga perlu bermuhasabah.

Jangan terlalu ‘romantik’ dengan zaman kita sehingga menganggap hanya cara kita dahulu merupakan aktivisme sebenar.

Kita tidak perlu mengembalikan mahasiswa tahun 1970-an.

Kita perlu melahirkan mahasiswa 2020-an yang mampu menghadapi cabaran zamannya sendiri.

Biarkan mereka mencipta bentuk perjuangan mereka. Biarkan mereka menentukan medium dan bahasa generasi mereka.

Tugas kerajaan dan universiti ialah memastikan ruang itu benar-benar tersedia. Tugas pensyarah ialah merangsang pemikiran, bukan menghasilkan mahasiswa yang takut berbeza pendapat.

Tugas kita sebagai generasi terdahulu pula ialah berkongsi pengalaman tanpa cuba mengawal mereka.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sendiri lahir daripada keresahan terhadap pendidikan dan masa depan bangsa. Semangat keresahan intelektual itu perlu terus hidup.

Saya tidak terlalu bimbang jika mahasiswa hari ini kurang berdemonstrasi berbanding mahasiswa dahulu.

Saya lebih bimbang jika suatu hari nanti mahasiswa berhenti bertanya. Ini kerana universiti yang hebat bukan universiti yang kampusnya sentiasa senyap.

Universiti yang hebat ialah universiti yang mempunyai keberanian menerima perbezaan pandangan, menyuburkan perdebatan dan melahirkan manusia yang mempunyai pendirian sendiri.

Ukuran kebebasan mahasiswa bukan berapa banyak parti politik yang boleh mereka sertai atau berapa banyak demonstrasi dianjurkan.

Ukurannya ialah sama ada mereka mempunyai keberanian untuk berkata benar kepada kawan dan lawan, kerajaan dan pembangkang, malah kepada generasi kita sendiri.

Itulah mahasiswa merdeka. Daripada mahasiswa seperti itulah pemimpin negara masa depan seharusnya lahir.-UTUSAN

 

PENULIS ialah bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×