KITA kini berada dalam era perkembangan teknologi maklumat yang sangat pesat dan pantas dengan media sosial menjadi sebahagian daripada aktiviti kehidupan seharian masyarakat.
Platform media sosial membuka ruang komunikasi dan kelompok komuniti tanpa sempadan serta mempercepatkan proses penyebaran maklumat. Perkembangan ini bukan sahaja mengubah cara masyarakat berkomunikasi, malah turut mempengaruhi cara mendapatkan maklumat, membentuk pandangan dan berinteraksi.
Dalam perkembangan tersebut, muncul kelompok yang semakin berpengaruh, iaitu pempengaruh media sosial. Golongan ini mempunyai keupayaan membina kelompok pengikut yang besar serta berinteraksi secara berterusan dengan khalayak melalui kandungan dihasilkan.
Pengikut bukan sekadar menjadi penerima maklumat, malah turut berinteraksi memberikan tanda suka, komen, perkongsian dan pandangan. Keadaan ini menjadikan pempengaruh mempunyai ruang besar untuk mempengaruhi pemikiran, sikap dan tingkah laku khalayak.
Namun begitu, jumlah pengikut tinggi tidak semestinya menunjukkan seseorang pempengaruh mempunyai pengaruh yang berkualiti. Populariti dan kredibiliti merupakan dua perkara berbeza.
Populariti merujuk tahap kemasyhuran seseorang dalam kalangan khalayak yang lazimnya dapat dilihat melalui jumlah pengikut, tanda suka, komen, perkongsian dan jumlah tontonan.
Walaupun ukuran tersebut menunjukkan tahap capaian sesuatu kandungan, namun tidak semestinya menggambarkan tahap kepercayaan atau kualiti maklumat yang disampaikan. Sebaliknya, kredibiliti merujuk sejauh mana seseorang pempengaruh dipercayai khalayaknya.
Dalam konteks komunikasi, kredibiliti sumber lazimnya dikaitkan dengan dimensi antaranya terdiri daripada kepakaran, kebolehpercayaan dan daya tarikan.
Pempengaruh berkredibiliti bukan sahaja menyampaikan kandungan yang menarik tetapi turut menunjukkan pengetahuan, kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab terhadap maklumat yang dikongsikan.
KREDIBILITI MEMBENTUK PENGIKUT BERKUALITI
Kepentingan kredibiliti menjadi semakin jelas dan penting apabila kandungan media sosial mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi keputusan dan tingkah laku khalayak.
Kandungan yang sensasi atau kontroversi mungkin mendapat perhatian tinggi dalam tempoh singkat tetapi populariti tersebut tidak semestinya menghasilkan kepercayaan jangka panjang. Sebaliknya, kandungan berinformasi, tepat dan bermanfaat berpotensi membina hubungan lebih kukuh antara pempengaruh dengan pengikut.
Dalam hal ini, pempengaruh yang berkredibiliti bukan sahaja berpotensi mempunyai ramai pengikut, malah mampu membentuk pengikut berkualiti dari segi interaksi. Pengikut berkualiti tidak sekadar memberikan tanda suka atau berkongsi kandungan tetapi turut membaca, memahami, bertanya, memberikan pandangan dan terlibat dalam perbincangan.
Pempengaruh berkredibiliti juga boleh membentuk budaya komunikasi yang lebih positif.
Kandungan yang berfakta dan bertanggungjawab dapat mendorong pengikut supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Sebaliknya, kandungan yang tidak sahih, mengelirukan atau tidak beretika berpotensi mencetuskan salah faham, penyebaran maklumat palsu dan perbalahan dalam masyarakat.
Oleh itu, kualiti pengikut tidak boleh dipisahkan daripada kualiti kandungan serta tahap kredibiliti pempengaruh itu sendiri. Wujudnya pengikut yang berkualiti, maka dapat mengelakkan unsur buli siber.
PEMPENGARUH SEBAGAI DUTA
Peranan pempengaruh tidak lagi terhad kepada hiburan atau pemasaran, malah boleh diperluaskan sebagai duta kepada sesuatu kempen, agenda pendidikan dan mesej kepentingan awam. Dengan jumlah pengikut yang besar dan hubungan yang lebih dekat dengan khalayak, pempengaruh mempunyai kelebihan untuk menyampaikan mesej menggunakan bahasa yang lebih mudah, santai dan sesuai dengan kelompok sasaran mengikut saluran-saluran media sosial.
Dalam konteks pendidikan, misalnya, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan inisiatif Edufluencer (pempengaruh dalam bidang pendidikan). Mereka ini dilantik dalam kalangan guru atau pakar pendidikan untuk berkongsi ilmu, idea dan inspirasi melalui media sosial platform digital lain.
Edufluencer berperanan sebagai ejen perubahan dan menyebarluaskan maklumat serta dasar KPM melalui platform digital. Mereka berkongsi amalan terbaik, inovasi dan teknologi dalam pengajaran serta menjadi duta kepada KPM bagi menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat.
Peranan pempengaruh sebagai ejen komunikasi turut dapat dilihat dalam pendidikan tinggi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui #RakanKPT melantik 50 individu bagi sesi 2026/2027, terdiri daripada dua wakil setiap universiti awam serta 10 wakil daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). #RakanKPT yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, alumni dan akademia. Mereka mempunyai pengaruh dan pengikut serta capaian di media sosial yang tinggi.
#RakanKPT berperanan sebagai ejen komunikasi strategik untuk membantu menyebarluaskan agenda, dasar, program dan maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Inisiatif Edufluencer dan #RakanKPT harus dipuji kerana memperlihatkan peranan pengaruh media sosial yang boleh dimanfaatkan secara strategik apabila digabungkan dengan kredibiliti dan pengetahuan.
Pempengaruh yang mempunyai kepakaran serta memahami khalayaknya berpotensi menjadi jambatan antara institusi dengan masyarakat. Mereka bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi boleh membantu menyebarkan mesej rasmi yang lebih mudah difahami, menarik dan dekat dengan kehidupan khalayak.
Pempengaruh juga perlu mengamalkan netiquette (tatasusila dalam komunikasi di alam siber).
Kandungan yang diterbitkan perlu mengambil kira ketepatan fakta, sensitiviti masyarakat serta kesan terhadap khalayak. Populariti tanpa etika boleh menjejaskan kepercayaan, manakala kredibiliti yang disertai tanggungjawab boleh membina hubungan jangka panjang dengan pengikut.
Justeru, ukuran kejayaan seseorang pempengaruh tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah pengikut, tanda suka atau jumlah tontonan. Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana pengaruh tersebut membina kepercayaan, menghasilkan interaksi bermakna dan membentuk khalayak lebih berinformasi serta bertanggungjawab.
Populariti memberikan capaian tetapi kredibiliti memberikan kepercayaan. Pempengaruh yang menggabungkan kedua-duanya berpotensi membentuk pengikut yang bukan sahaja ramai tetapi berkualiti dari segi interaksi, pemikiran dan tingkah laku.
Dalam era AI dan lambakan maklumat digital, pempengaruh berkredibiliti boleh berfungsi sebagai duta, rakan advokasi dan ejen komunikasi strategik untuk menyampaikan maklumat yang tepat, beretika dan bermanfaat kepada masyarakat. –UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Calon Doktor Falsafah (Phd) (Komunikasi), Pusat Kajian Media dan Komunikasi (MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).











