KEBELAKANGAN ini, filem dan peristiwa di sekeliling kita seolah-olah membawa satu pesan yang sama: Hargailah mereka yang masih ada sebelum kehilangan mengajar kita erti sebuah kehadiran.
Filem Ibu Jangan Tinggalkan Aku, Jangan Buang Ibu, Istimewa dan filem pendek Pulang bukan sekadar hiburan. Karya ini mengetuk pintu hati melalui kisah kasih sayang, pengorbanan, penerimaan dan kerinduan terhadap keluarga.
Pulang, khususnya, mengingatkan kita bahawa rumah bukan semata-mata sebuah tempat berlindung bagi panas dan hujan. Rumah merupakan institusi awal dalam pembinaan karakter insan.
Rumah adalah madrasah pertama yang membekalkan kita tentang keinsanan serta sebuah permulaan bagaimana kognitif berkembang dan mempengaruhi cara seseorang itu berfikir, bertindak dan seterusnya memberikan impak kepada diri, keluarga, komuniti, organisasi dan seterusnya kepada negara keseluruhannya.
Rumah juga tempat insan-insan tersayang setia menanti kepulangan serta bersedia melepaskan ahli-ahlinya satu persatu untuk keluar dari sarang keluarga seterusnya berdikari untuk berdepan dengan sebuah harapan, impian mahupun menempuh badai yang tidak dapat diungkapkan.
Keluarga jugalah tempat pertama memahami untuk memaafkan serta tetap membuka pintu hati bagi bersedia dengan gelora yang akan membawa kita meniti perjalanan hidup yang jauh.
Kehilangan bagi sesetengah kita pula adalah berdepan dengan kematian. Ada manusia yang masih hidup berdepan pula dengan kehilangan perhatian.
Ada yang kehilangan kesihatan, keupayaan fizikal, keyakinan diri atau peluang untuk menjalani kehidupan seperti orang lain.
Ada warga emas yang kehilangan pasangan dan sahabat satu demi satu, lalu menghabiskan hari-hari dengan menunggu suara serta wajah yang pernah memenuhi kehidupan mereka.
Dalam memahami isu alam sekitar serta manusia yang ada di dalamnya, kami berpeluang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat bersama warga emas.
Aktiviti seperti memasak dan menikmati hidangan bersama, meraikan hari lahir, menyanyi, melakukan senaman ringan serta berkongsi tawa dengan warga emas adalah hal yang amat bermakna.
Warga emas tidak mengharapkan pemberian hadiah yang mahal.
Mereka hanya mahu seseorang duduk di sisi, mendengar cerita yang mungkin sudah berkali-kali diceritakan dan meyakinkan mereka bahawa kewujudan mereka masih bermakna.
Dek kerana kesibukan, kita adakalanya terlupa insan-insan yang pernah berjuang untuk kita selama ini. Usahlah sampai menunggu kerusi itu kosong atau khabar duka yang akan menghukum kita untuk pulang. Peruntukkanlah ruang masa, perhatian dan kasih kepada insan-insan ini yang suatu ketika dahulu telah berusaha dengan tulang empat keratnya serta doa untuk membina kita yang hari ini.
Laporan Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan bahawa 14.7 peratus warga emas di Malaysia memenuhi kriteria penuaan sejahtera.
Penuaan sejahtera didefinisikan sebagai individu yang mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi, tiada limitasi kognitif, tiada kemurungan, mampu berdikari dalam melakukan aktiviti harian, serta tiada penyakit kronik atau penyakit kronik yang terkawal.
NHMS 2025 juga melaporkan bahawa 18.8 peratus warga emas tinggal bersendirian, iaitu hampir tiga kali ganda peningkatan daripada 6.3 peratus pada 2018.
Walau bagaimanapun, tinjauan juga mendapati bahawa 61.3 peratus warga emas yang tinggal bersendirian mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi.
Peratusan ini signifikan terhadap usaha kita menyantuni warga emas dalam negara di samping kita memacu agenda reformasi ekonomi dan taraf hidup rakyat.
Usai menyantuni warga emas, kami mendekati pula golongan belia melalui kursus yang menekankan kepentingan kecerdasan buatan. Generasi muda perlu dipersiapkan untuk menghadapi dunia yang semakin dipacu teknologi.
Mereka perlu tahu menggunakan kecerdasan buatan atau AI untuk belajar, bekerja, mencipta dan menyelesaikan masalah.
Namun, lebih penting daripada kecekapan menggunakan teknologi ialah kebijaksanaan menentukan bagaimana teknologi itu digunakan.
AI mampu meniru suara, menghasilkan imej dan menjawab pertanyaan dalam beberapa saat.
Namun, AI tidak mampu menggantikan kehangatan sebuah pelukan, keikhlasan seorang anak yang pulang menjenguk ibu atau ketabahan petugas yang meredah pedalaman demi merawat pesakit.
Jika kemajuan menyebabkan kita semakin jauh daripada keluarga, hilang adab dan kurang peduli terhadap manusia lain, maka kita mungkin menjadi lebih pintar tetapi belum tentu lebih berperikemanusiaan.
Ketika kita berbicara tentang kehilangan, negara dikejutkan dengan tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Sarawak.
Lima nyawa terkorban, terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan yang sedang membawa perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Dalam segala kekurangan dan kepayahan mereka menunaikan tanggungjawab kepada negara sepenuh hati. Mereka tidak mengejar kemasyhuran. Mereka membawa amanah, ubat dan harapan kepada insan yang sukar mendapatkan rawatan.
Namun, perjalanan untuk membantu orang lain itu menjadi perjalanan terakhir mereka.
Tragedi tersebut bukan sekadar isu pengangkutan udara atau angka dalam laporan berita. Setiap nama yang terkorban mempunyai keluarga, impian dan kehidupan yang ditinggalkan.
Kehilangan mereka dirasai bukan sahaja oleh insan tersayang, malah oleh sektor kesihatan, masyarakat pedalaman dan negara. Pengorbanan mereka wajar dikenang dengan penuh hormat.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengelakkan spekulasi tentang punca nahas sementara siasatan rasmi masih dijalankan.
Menghormati mangsa bererti memberikan ruang kepada keluarga untuk berduka dan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh.
Daripada tragedi ini, perhatian perlu diberikan kepada penyelenggaraan, pematuhan prosedur, latihan kecemasan dan pengurusan risiko dalam setiap bentuk pengangkutan.
Daripada tragedi ini, keselamatan tidak terhenti di darat sahaja malah meliputi jalan raya, laut atau udara termasuk keselamatan dalam trafik digital dan maya.
Keselamatan bermula dengan disiplin, tanggungjawab dan kesediaan bertindak sebelum sesuatu yang buruk berlaku. Kita tidak seharusnya menunggu kehilangan untuk melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan sejak awal.
Ayuh bersama-sama membina masyarakat yang maju dan unggul dengan cakna serta menjaga golongan rentan, menghormati warga emas, membimbing generasi muda dan melindungi setiap nyawa.
Teknologi seharusnya mendekatkan manusia, meningkatkan keselamatan dan memelihara kehidupan, bukannya menjadikan kita semakin dingin terhadap penderitaan di sekeliling. – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Sosiologi (Bahasa, Komunikasi Strategik & Media) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










