Perbincangan mengenai rasuah lazimnya tertumpu kepada pesalah, wang diseleweng, kontrak dimanipulasi dan kuasa disalahgunakan. Namun, jarang memberi perhatian yang sama kepada mereka yang memilih untuk berkata “tidak” ketika orang lain mengambil jalan mudah dengan berdiam diri.
Terdapat sebuah kisah lama dari zaman peperangan yang membawa pengajaran mendalam. Sekumpulan tentera menyerang sebuah perkampungan dan melakukan kekejaman terhadap penduduknya. Dalam sebuah rumah, seorang wanita mempertahankan dirinya ketika kehormatannya cuba dicabuli sehingga penyerangnya terbunuh.
Selepas tentera berundur, wanita itu keluar dengan berani mempertahankan tindakannya. Namun, keberaniannya tidak diraikan oleh kelompok wanita lain yang berada dalam ketakutan. Sebaliknya, keberanian itu menjadi cermin kepada pengalaman yang mereka lalui. Kisah tersebut berakhir tragis apabila wanita berkenaan dibunuh oleh kelompoknya sendiri.
Kisah ini sama sekali tidak wajar dibaca sebagai penghukuman terhadap mangsa keganasan seksual. Setiap manusia memberikan tindak balas berbeza apabila berdepan ketakutan, ancaman dan trauma. Bertahan hidup bukan tanda pengecut.
Sebaliknya, kisah itu membawa persoalan lebih luas, apakah yang berlaku apabila keberanian seseorang menjadi cermin kepada kebisuan orang lain?
Kadangkala manusia lebih rela memecahkan cermin daripada berdepan dengan imej yang dipantulkannya.
Dalam perjuangan menentang rasuah, keadaan hampir sama boleh berlaku.
Apabila sesuatu kesalahan terlalu lama dinormalisasikan, individu yang mempersoalkannya pula dianggap pelik atau menyusahkan.
“Diamlah.”
“Jangan cari pasal.”
“Jangan susahkan organisasi.”
“Awak tidak faham cara sistem bekerja.”
Ayat seperti ini mungkin kedengaran biasa tetapi apabila terus diulang, ia membentuk budaya yang mengajar manusia supaya tidak bertanya.
Pegawai yang melihat ketidakaturan memilih untuk tidak bersuara. Kakitangan yang mengetahui prosedur dilanggar takut kehilangan pekerjaan. Mereka yang enggan menandatangani dokumen meragukan pula boleh dianggap tidak memahami keadaan.
Lebih membimbangkan apabila individu yang tampil mendedahkan sesuatu yang tidak betul akhirnya dipersoalkan latar belakang, kesetiaan dan motifnya.
Apabila keadaan ini berterusan, rasuah tidak lagi sekadar kesalahan individu. Ia mula berkembang sebagai budaya dalam organisasi dan masyarakat.
Rasuah hari ini tidak semestinya berlaku melalui pertukaran wang secara terang-terangan.
Ia boleh hadir dalam bentuk kronisme, nepotisme, konflik kepentingan, manipulasi perolehan, campur tangan dalam keputusan profesional atau pemberian kontrak berdasarkan hubungan, bukannya kelayakan.
Kadangkala bermula dengan satu panggilan ringkas seperti “Tolong settle.”
Dalam mesyuarat, semua orang mungkin tahu sesuatu keputusan tidak wajar tetapi tiada siapa mahu bersuara. Ada yang melihat angka tidak masuk akal namun memilih untuk meluluskan. Ada pula yang mengetahui prosedur telah dilanggar tetapi menganggap perkara itu bukan tanggungjawab mereka.
Sedikit demi sedikit, perkara salah menjadi kebiasaan.
Kebisuan pula dianggap sebagai cara paling selamat untuk terus berada dalam sistem.
Pada tahap itu, integriti mula dilihat sebagai sesuatu yang menyusahkan.
Sistem yang sudah terbiasa dengan kompromi tidak semestinya takut kepada individu paling berkuasa. Ada kalanya, yang paling menggugatnya ialah seorang pegawai biasa yang berani berkata “tidak”.
Pendirian seperti itu memerlukan keberanian, terutama apabila seseorang tahu tindakannya mungkin memberi kesan kepada kerjaya.
Individu berkenaan boleh dipinggirkan, diketepikan daripada mesyuarat, dipersoalkan prestasinya atau dilabel sebagai sukar bekerjasama. Dalam keadaan tertentu, dia mungkin dipindahkan atau hilang peluang untuk berkembang dalam kerjaya.
Yang lebih menyedihkan, semua itu boleh berlaku bukan kerana dia melakukan kesalahan tetapi kerana dia enggan melakukannya bersama-sama orang lain.
SIAPA MELINDUNGI MEREKA YANG BERSUARA?
Malaysia mempunyai undang-undang, institusi penguatkuasaan, mekanisme audit dan pelbagai sistem tadbir urus. Namun, kekuatan usaha membanteras rasuah tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah tangkapan atau pendakwaan semata-mata.
Kita juga perlu bertanya tentang nasib mereka yang tampil memberikan maklumat.
“Adakah mereka benar-benar dilindungi?”
“Adakah laporan mereka disiasat secara adil?”
“Adakah organisasi bersedia mendengar sebelum membuat kesimpulan?”
“Adakah rakan sekerja sanggup berdiri bersama individu yang mempertahankan integriti?”
Rasuah tidak hidup melalui mereka yang mengambil habuan sahaja. Ia turut subur apabila orang lain memilih untuk tidak mahu tahu.
“Bukan hal saya.”
“Saya hanya ikut arahan.”
“Semua orang buat.”
“Dari dulu memang macam ini.”
Apabila alasan sebegini diterima sebagai perkara biasa, budaya menutup mata menjadi lebih kuat daripada keberanian untuk membetulkan keadaan.
MALAYSIA MEMERLUKAN KEBERANIAN MORAL
Malaysia tidak kekurangan manusia berpendidikan, undang-undang atau institusi. Kita juga mempunyai prosedur, audit dan pelbagai kempen berkaitan integriti.
Apa yang perlu terus dibina ialah keberanian moral.
Keberanian bertanya ketika diam lebih selamat. Keberanian menolak sesuatu yang salah walaupun ada ganjaran menanti. Keberanian mempertahankan rakan sekerja yang jujur apabila orang lain memilih menjauhkan diri.
Pada masa sama, institusi perlu menunjukkan kejujuran bukan tindakan yang membawa padah.
Setiap kali seseorang yang berintegriti dihukum demi melindungi sistem yang bermasalah, mesej yang sampai kepada generasi muda amat berbahaya seperti :
“Jangan bertanya. Jangan melawan. Jangan dedahkan. Diam dan selamatkan diri.”
Jika pemikiran itu berakar, kerosakannya jauh lebih besar daripada wang yang hilang.
Wang boleh diganti. Dasar boleh diperbaiki. Struktur organisasi boleh diubah.
Namun, apabila masyarakat mula percaya bahawa harga menjadi jujur lebih mahal daripada harga menjadi tidak jujur, yang terhakis ialah hati nurani bangsa.
Sebab itu, Malaysia memerlukan lebih ramai manusia yang berani bertanya soalan sukar.
Kita memerlukan penjawat awam yang berani menolak arahan bercanggah dengan peraturan, pekerja yang sanggup melaporkan ketidakaturan, ahli lembaga yang tidak takut bertanyakan soalan dan wartawan yang terus menyiasat berdasarkan fakta.
Namun, keberanian juga perlu disertai keadilan.
Apabila seseorang tampil membawa maklumat mengenai kemungkinan salah laku, jangan terus menghukum atau menganggapnya sebagai wira. Siasat dakwaan itu secara telus, lindungi prosesnya dan tentukan kebenaran berdasarkan bukti.
Tuduhan tidak boleh menggantikan pembuktian. Pada masa sama, kuasa tidak boleh digunakan untuk membungkam mereka yang membawa maklumat yang wajar disiasat.
Apabila kebenaran membuatkan ramai orang tidak selesa, jangan pecahkan ‘cermin’ dan jangan serang pembawa ‘cermin’. Sebaliknya, lihat apa yang dipantulkannya.
Pada akhirnya, sejarah bukan sekadar akan bertanya siapa yang melakukan rasuah. Ia juga akan bertanya siapa yang tahu, siapa yang memilih untuk diam dan siapa yang mempunyai keberanian untuk berkata:
“Cukup.”
Malaysia memerlukan keberanian itu.
Kita mahu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah negara yang menghormati integriti, bukan menghukum mereka yang mempertahankannya.
Lindungi yang berani. Siasat yang didakwa. Tegakkan kebenaran. –UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










