SEPATUTNYA status negara ini, lebih-lebih lagi Persekutuan Tanah Melayu, sebagai bumi Melayu-Islam, bukan sahaja sudah difahami, juga diterima seadanya. Namun ia masih dipertikai dan menjadi sengit kebelakangan ini.
Status ini sewajarnya disedari apabila Perjanjian Etnik 1955 dimeterai yang kini secara longgarnya dikenali sebagai Kontrak Sosial.
Sehubungan perjanjian ini, permohonan kerakyatan kepada etnik Melayu oleh bukan Melayu, penanda jelas bahawa tempat ini adalah bumi etnik Melayu.
Permohonan ini dengan syarat penerimaan empat perkara Melayu-Islam memperlihat adanya pengetahuan pada etnik bukan Melayu tentang bumi Melayu-Islam. Ini kerana empat syarat itu merangkumi asas primer etnik Melayu dari segi agama, bahasa, kedudukan dan raja mereka.
Setelah negara ini tertubuh pada 1957, kelima-lima perkara pada Perjanjian Etnik 1955, iaitu kerakyatan, agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kedaulatan Raja Melayu, dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ia menjadi Perkara 3 untuk agama Islam, Perkara 152 bagi bahasa Melayu, Perkara 153 untuk kedudukan istimewa etnik Melayu dan Perkara 181 bagi kedaulatan Raja Melayu. Manakala untuk kerakyatan, bermula dengan Perkara 14 sehingga Perkara 31.
Sesungguhnya, hakikat negara ini berakar daripada bumi Melayu-Islam diketahui sejak awal, termasuk melalui sejarah sebelum penjajahan. Ia merupakan wilayah Melayu dengan Islam sebagai agama utama dalam pentadbiran negeri dan kehidupan rakyat.
Memang tidak ada peruntukan secara jelas menyatakan negara ini sebagai bumi Melayu-Islam, termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, teras Melayu-Islam jelas tercermin dalam Perlembagaan, antaranya melalui Perkara 3 yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 160 yang mentakrifkan orang Melayu.
Hakikat negara ini berakar daripada tradisi Melayu-Islam juga telah lama difahami masyarakat. Justeru, ia tidak memerlukan pengisytiharan berulang, apatah lagi penegasan daripada orang Melayu kepada masyarakat bukan Melayu, kerana perkara tersebut dianggap sebagai fakta sejarah dan perlembagaan yang telah diketahui umum.
Namun kebelakangan ini semenjak hampir satu dasawarsa yang lampau, terdapat naratif dan narasi negara ini adalah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnisiti. Sehubungan ini, tema kenegaraan bersatu dalam kepelbagaian bukan sahaja mahu diangkat tinggi, malah ingin
ditunggang kuat untuk menegaskan kemajmukan ini. Selain itu juga hendak dijulang bagi tujuan layanan sama rata bagi semua etnisiti.
Dari satu segi, memang benar negara ini bersifat majmuk, khususnya dari segi kependudukannya. Ini berasaskan penelitian taburan penduduk dari beberapa sisi. Antaranya migrasi sewaktu penjajahan dahulu selain kelahiran pada masa ini daripada migrasi itu.
Dalam masyarakat majmuk, kepelbagaian penduduk tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan sejarah serta hakikat tanah ini mempunyai masyarakat asal sebelum kedatangan kelompok bukan Melayu.
Begitu juga dengan istilah ‘tuan’, khususnya dalam ungkapan ‘ketuanan Melayu’, yang sering diperdebatkan dan dipolitikkan. Istilah itu tidak semestinya membawa maksud pihak yang lebih berkuasa atau memiliki kedudukan superior terhadap kelompok lain.
Dalam konteks tertentu, ‘tuan’ juga merujuk kepada pemilikan atau hak terhadap sesuatu. Justeru, ungkapan ‘ketuanan Melayu’ perlu difahami dalam konteks sejarah dan kedudukan masyarakat Melayu sebagai penduduk asal, bukannya ditafsirkan sebagai keinginan untuk merendahkan atau menindas masyarakat lain. Kekeliruan terhadap makna ini hanya akan memperluas salah faham terhadap konsep tersebut.
Kepada mereka ini, hanya berlegar pemahaman apakah tuannya pada etnik Melayu yang secara umumnya didapati tiada apa-apa jua kekuasaan terhadap etnik lain, khususnya Cina.
Sepatutnya perkataan ‘tuan’ pada ungkapan itu dihuraikan dari segi pemilikan. Ia bukan sahaja amat tepat, juga itulah kebenaran hakiki, iaitu tempat ini adalah milik etnik Melayu yang sah dari pelbagai sisi. Antaranya termasuklah hak moral, apatah lagi yang sah.
Berbalik naratif dan narasi yang bukan sahaja kerap, malah kencang pula penyampaiannya akhir-akhirnya, hendaklah dipatahkan untuk selama-lamanya. Dengan kata lain, hendaklah
segera diberhentikan agar bukan sahaja tidak menjadi besar lagi buruk. Juga sehingga tidak dapat diperbetul lagi kerana sudah dinormalisasikan.
Sesungguhnya teras Melayu-Islam bagi negara majmuk ini hendaklah bukan sahaja selalu diangkat. Juga dijadikan tunjang pembangunan negara, baik dari segi pembinaan negara Malaysia itu sendiri pada prasarananya. Begitu juga dengan pembentukan rakyat dalam konteks Bangsa Malaysia dalam konteks kesusilaannya.
Sebetulnya setelah mengangkat agama Islam sebagai agama persekutuan, Malaysia secara rasminya sudah berupa sebuah negara Islam. Dengan ini, urus tadbir, undang-undang dan lain-lain, termasuk tradisi budaya dan normal sosial, bukan sahaja dipengaruhi, malah dikawal agama dan prinsip Islam.
Sehubungan ini, walaupun Malaysia bukan seperti Iran dan Brunei yang merupakan negara Islam mutlak, namun tetap negara Islam, sama ada yang bersifat Islamik pada sesetengah hal, dan Islamis pada yang lain-lain.
Dalam hal ini, Malaysia adalah negara Islamik apabila Islam sebagai agama untuk mengurus tadbirnya. Manakala dikatakan Islamis apabila menggunakan prinsip Islam untuk urusan pentadbiran negara.
Apa-apa jua, sama ada Islamik mahu Islamis, tidak dapat dinafikan lagi Malaysia adalah negara Islam. Ini kerana kriteria sejagat dalam penggolongan ini ialah dasar yang diambil oleh sesebuah negara itu untuk menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi atau utamanya.
Sesungguhnya, tidak ada yang perlu dibimbangkan mengenai kedudukan Melayu dan Islam dalam negara ini. Sepanjang sejarah moden, seluruh wilayah negara diperintah oleh kerajaan Melayu-Islam, yang tercermin dalam struktur kuasa, birokrasi dan pentadbiran, termasuk jawatan ketua negara, kerajaan, negeri dan wilayah.
TIDAK PINGGIR BUKAN MELAYU
Inilah asas sistem bernegara, berwilayah, bernegeri dan berkerajaan di Malaysia. Meskipun terasnya berlandaskan Melayu-Islam, namun sifat majmuk negara ini memastikan masyarakat bukan Melayu tidak pernah disisihkan daripada pentadbiran dan kehidupan bernegara.
Dalam kerangka tersebut, masyarakat bukan Melayu sebagai kelompok minoriti tetap mempunyai kedudukan yang sewajarnya serta bebas mengamalkan budaya dan tradisi masing-masing.
Dalam kerangka ini, masyarakat bukan Melayu turut dilibatkan dalam pelbagai institusi negara, termasuk politik, ekonomi, budaya dan pendidikan.
Sejak pembentukan Malaysia pada 1957 dan 1963, terdapat usaha untuk memastikan kelompok minoriti turut mempunyai ruang dalam pentadbiran negara, negeri dan wilayah.
Justeru, kedudukan negara yang berteraskan Melayu-Islam tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat lain. Prinsip kesaksamaan memberikan setiap kelompok hak dan ruang berdasarkan kedudukan serta kelayakan masing-masing, termasuk dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya.
Kehidupan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam yang turut berkembang dalam pelbagai bidang, khususnya sektor swasta dan perniagaan, menunjukkan bahawa kepelbagaian merupakan sebahagian daripada realiti negara. Budaya serta tradisi setiap komuniti juga terus mempunyai ruang untuk berkembang dalam kehidupan bersama.
Inilah yang membentuk etos kehidupan bernegara di Malaysia, iaitu kewujudan bersama dalam sebuah masyarakat majmuk yang mempunyai latar etnik dan agama berbeza. Dalam kerangka tersebut, perkongsian ruang dan peluang perlu terus berasaskan hak, tanggungjawab serta kelayakan, demi memastikan keharmonian dan kestabilan negara dapat dipelihara. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










