LEBIH lima dekad sudah berlalu sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971, membawa janji besar untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur ekonomi masyarakat Malaysia.
DEB lahir daripada detik genting dalam sejarah negara, dirangka sebagai penawar kepada jurang sosioekonomi yang ketika itu dianggap ancaman kepada perpaduan bangsa.
Namun, selepas lebih 50 tahun berlalu dan pelbagai generasi turut membesar di bawah bayangannya, satu ironi mula terbongkar iaitu adakah dasar yang dirangka dengan niat murni ini turut membentuk satu struktur yang, secara tidak sengaja, membuatkan sebahagian golongan penerima lebih selesa bergantung kepada bantuan negara berbanding bersaing secara terbuka di pasaran terbuka?
Persoalan ini bukan sekadar retorik atau polemik, ia disokong data yang mencabar naratif kejayaan yang selama ini diperkatakan.
Sasaran asal untuk mencapai pemilikan ekuiti korporat bumiputera sebanyak 30 peratus menjelang 1990 masih belum tercapai walaupun selepas lebih enam dekad, di mana angka itu hanya berlegar sekitar 18.4 peratus, memaksa sasaran tersebut dilanjutkan berkali-kali sehingga kini disasarkan semula pada 2035.
Timbul persoalan mendasar adakah kegagalan ini berpunca daripada pelaksanaan yang tidak sempurna atau daripada rangka dasar itu sendiri yang gagal memutuskan kitaran pergantungan yang dibentuknya sejak awal?
Keadaan ini turut diparahkan lagi oleh amalan seperti pengaturan penama, di mana peluang perniagaan yang diperuntukkan khas kadangkala hanya menjadikan sesetengah individu sebagai ‘muka depan’ tanpa penglibatan sebenar dalam pengurusan atau pemilikan syarikat.
Lebih membimbangkan, kadar kemiskinan mutlak dalam kalangan bumiputera masih kekal tertinggi berbanding kaum lain sehingga hari ini, walaupun dasar afirmatif telah dilaksanakan lebih setengah abad.
Keadaan ini mencetuskan persoalan getir, adakah manfaat sebenarnya lebih tertumpu kepada segelintir golongan elit, sementara nasib golongan bawahan tidak banyak berubah?
PENCAPAIAN DEB TERBUKTI
Namun begitu, gambaran ini tidak lengkap tanpa mengambil kira pencapaian sebenar yang turut dicatatkan sepanjang lima dekad pelaksanaan dasar ini.
Dari segi pembasmian kemiskinan, kadar kemiskinan bumiputera menyusut drastik daripada lebih 60 peratus pada 1970 kepada paras yang amat minimum pada dekad ini. Ini merupakan satu penurunan yang jarang dicapai oleh mana-mana negara membangun dalam tempoh yang sama, walaupun jurang relatif antara kaum masih wujud dan perlu ditangani.
Akses pendidikan turut berkembang pesat sebagai asas mobiliti sosial dengan bilangan pelajar bumiputera di institusi pengajian tinggi meningkat daripada 7,392 orang pada 1971 kepada 25,444 orang pada 1980 sahaja, lebih tiga kali ganda dalam tempoh hanya sedekad.
Peningkatan sebegini membuka laluan kepada generasi yang sebelum ini tiada akses langsung kepada pendidikan tinggi.
Angka-angka ini membuktikan DEB bukan sekadar dasar simbolik tetapi turut membawa hasil nyata dan terukur pada peringkat asas kehidupan rakyat.
Persoalan sebenarnya mungkin bukan terletak pada konsep dasar afirmatif itu sendiri tetapi pada cara dilaksanakan selama ini.
Data menyokong hujah ini, pegangan ekuiti bumiputera hanya bergerak dari 17.2 peratus (2019) kepada 18.4 peratus (2020), peningkatan yang terlalu perlahan untuk mencapai sasaran 30 peratus dalam tempoh yang munasabah.
Justeru, laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 2026 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mencadangkan dasar perlu beralih fokus daripada sekadar mengejar sasaran ‘pemilikan ekuiti’ secara kuantitatif, kepada pembinaan keupayaan sebenar seperti kemahiran, akses modal dan penyelidikan.
Namun, peralihan ini bukan tanpa cabaran, mengukur ‘keupayaan’ jauh lebih rumit berbanding mengira peratusan saham dan berisiko disalahguna jika tiada penanda aras yang jelas.
Walaupun begitu, pendekatan ini dilihat lebih mampan dalam jangka panjang kerana bantuan yang diberi tidak lagi berfungsi sebagai subsidi berterusan tanpa hujung, sebaliknya membina daya saing tulen yang berkekalan dengan asas lebih kukuh untuk kelestarian ekonomi rakyat itu sendiri.
KONTEKS UNIK KOMPOSISI KAUM MALAYSIA
Satu perkara sering disalahfaham dalam perbincangan ini ialah struktur demografi Malaysia sebenarnya agak luar biasa berbanding negara lain yang turut mengamalkan dasar afirmatif.
Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, komposisi warganegara terdiri daripada bumiputera sekitar 69.5 peratus (merangkumi Melayu 58.3 peratus serta bumiputera Sabah dan Sarawak 12.3 peratus), diikuti kaum Cina sekitar 22.1 peratus dan kaum India sekitar 6.5 peratus.
Fakta ini membawa implikasi penting iaitu dasar afirmatif Malaysia sebenarnya tergolong dalam kategori yang jarang ditemui di dunia kerana memberi keutamaan kepada kumpulan majoriti penduduk, bukan kumpulan minoriti seperti yang lazim diamalkan di negara-negara lain.
Perbezaan asas inilah yang menjadikan perbincangan tentang dasar afirmatif di Malaysia lebih kompleks, bukan sekadar isu membantu golongan terpinggir dari segi bilangan tetapi turut melibatkan persoalan kuasa politik, pengagihan kekayaan negara, serta bagaimana sebuah kumpulan majoriti turut boleh mengalami ketinggalan struktur berbanding kumpulan minoriti yang lebih dominan dalam sektor ekonomi tertentu.
PERBANDINGAN ANTARABANGSA
Melihat kepada pengalaman negara lain, corak yang sama turut kelihatan. Di India, sistem kuota untuk kumpulan minoriti tertindas dari segi kasta bukan majoriti penduduk. Namun selepas hampir 75 tahun, dasar ini bukan sahaja masih diteruskan, malah terus diperluas melalui pindaan perlembagaan terbaru yang menambah kuota baharu, menunjukkan dasar afirmatif memang cenderung sukar ditamatkan walaupun sebahagian matlamat asalnya sudah tercapai.
Di Afrika Selatan pula, dasar pemerkasaan ekonomi kulit hitam turut menghadapi kritikan yang serupa. Manfaatnya dilihat lebih tertumpu kepada golongan elit dan kelas pertengahan, sementara golongan miskin dan pekerja biasa kurang terkesan, mencerminkan isu elit lawan golongan bawahan yang turut wujud dalam konteks tempatan.
Sebaliknya, Amerika Syarikat (AS) menunjukkan trend berbeza apabila dasar afirmatif berasaskan kaum untuk kemasukan universiti diharamkan sepenuhnya oleh mahkamah tertinggi pada 2023, mencerminkan peralihan global ke arah kriteria ekonomi dan keperluan, bukan lagi semata-mata kaum. –UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.











