“IA dari karangan Sultan yang adil, yang bijaksana, yang sempurna Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah, Khalifah Negeri yang diberkati yang tiada lagi sepertinya selepasnya.”
Kata-kata ini tercatat dalam kolofon Manuskrip E Hukum Kanun Pahang. Ditulis pada bulan Muharram tahun 1,000 Hijrah, bersamaan dengan tahun 1591, catatan tersebut mengenal pasti Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah ibni Sultan Abdul Kadir Muhyiddin Shah sebagai pemerintah yang untuknya, dan di bawah kewibawaannya, manuskrip itu dikumpul, disusun dan di tulis.
Ketika pertama kali menemukan kata-kata ini, saya tersentuh oleh penghormatan yang begitu tinggi daripada sang penulis terhadap Sultannya: seorang Sultan yang adil, bijaksana dan sempurna- “yang tiada lagi sepertinya selepasnya.”
Namun, tidak pernah saya bayangkan betapa mendalam dan peribadinya makna kata-kata itu kepada saya suatu hari nanti.
Ketika memulakan pengajian Sarjana, saya tidak dapat menjangka ke mana perjalanan ini akhirnya akan membawa saya.
Saya bermula dengan hasrat untuk mengkaji Hukum Kanun Pahang, sebuah manuskrip yang sekian lama dilihat terutamanya sebagai sebuah kitab undang-undang lama.
Saya ingin memahami sejarahnya, prinsip-prinsipnya dan kepentingannya kepada Pahang.
Apa yang bermula sebagai suatu penyelidikan akademik akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar.
Manuskrip itu membawa saya kepada Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah, Sultan Pahang yang ke-12, yang memerintah dari tahun 1591 hingga 1614.
Baginda muncul daripada helaian manuskrip itu bukan sekadar sebagai penaung atau penyusun sebuah teks perundangan, tetapi sebagai seorang pemerintah yang memahami bahawa keadilan, undang-undang, Islam dan pemerintahan beraja tidak dapat dipisahkan.
Di bawah kewibawaan Baginda, Hukum Kanun Pahang menjadi jauh lebih besar daripada sekadar himpunan hukuman dan larangan. Ia menggariskan suatu susunan pemerintahan.
Ia menetapkan tanggungjawab Sultan dan para pembesar Baginda. Ia mengatur keadilan, pentadbiran, perdagangan serta urusan maritim.
Ia meletakkan kuasa pemerintahan dalam suatu kerangka moral dan perundangan yang berteraskan Islam.
Semakin jauh saya menelusuri manuskrip itu, semakin kuat keyakinan saya bahawa Sultan Abdul Ghaffar merupakan salah seorang pemerintah berperlembagaan yang agung dalam sejarah Alam Melayu.
Namun, Baginda seakan-akan telah hilang daripada ingatan sejarah masyarakat kita.
Perjalanan saya kemudiannya menjadi suatu perjalanan pemulihan: menemukan kembali sebuah manuskrip, mengangkat kembali seorang Sultan dan mengembalikan suatu tradisi perlembagaan Melayu-Islam yang telah wujud lama sebelum kedatangan penjajahan.
Saya sentiasa percaya bahawa sesetengah perjalanan telah tertulis untuk kita, jauh sebelum kita memahami tujuannya. Kita merancang, memilih bidang kajian dan memulakan usaha, tetapi Allah jualah yang menentukan ke mana akhirnya perjalanan itu akan membawa kita. Perjalanan ini semakin mengukuhkan kepercayaan tersebut.
Apabila tiba masanya untuk memikirkan siapakah yang akan mengurniakan Ijazah Sarjana kepada saya, timbul suatu keadaan yang agak luar biasa.
Saya ialah Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tentulah saya tidak mungkin mengurniakan ijazah kepada diri sendiri!
Suami saya yang dikasihi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang telah memberikan restu dan dorongan kepada saya untuk mengikuti pengajian Sarjana, dengan penuh kasih menyokong cadangan agar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan, mengurniakan ijazah tersebut kepada saya.
Sultan Nazrin kini telah berkenan untuk menyempurnakannya pada Istiadat Konvokesyen Universiti pada 28 November 2026.
Sesungguhnya, pilihan tersebut amat bertepatan. Sultan Nazrin merupakan antara cendekiawan diraja yang terkemuka pada zaman ini, seorang pemerintah yang tinggi keintelektualannya, pendukung ilmu dan pendidikan yang disegani, serta seorang Canselor yang memahami kepentingan ilmu yang berkekalan merentas zaman.
Namun, ketika cadangan itu dibuat, saya dan suami langsung tidak menyedari hubungan sejarah yang begitu luar biasa di sebalik keputusan tersebut.
Perkara itu langsung tidak terlintas dalam fikiran kami. Tidak pernah terbayang dalam angan-angan kami tentang apa yang bakal ditemukan melalui salasilah keluarga diraja.
Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah telah berkahwin dengan Puteri Fatimatuz Zahra dari Brunei, yang turut dikenali sebagai Puteri Lamturak.
Baginda ialah puteri kepada Sultan Saiful Rijal, salah seorang pemerintah agung Brunei yang memimpin pertahanan Kesultanan Brunei daripada serangan Sepanyol dalam Perang Kastila pada tahun 1578.
Perkahwinan itu menyatukan dua keluarga diraja Melayu-Islam yang penting: Pahang dan Brunei. Daripada perkahwinan Sultan Abdul Ghaffar dengan Puteri Fatimatuz Zahra, lahirlah Raja Abdullah.
Raja Abdullah kemudiannya berkahwin dengan seorang Puteri Perak. Puteri mereka, Puteri Fatimah Puteh, seterusnya berkahwin dengan Sultan Muzaffar Shah II, Sultan Perak yang ke-10.
Melalui perkahwinan inilah darah keturunan Sultan Abdul Ghaffar memasuki keluarga Diraja Perak dan terus mengalir dalam generasi-generasi berikutnya. Sultan Nazrin, dengan demikian, merupakan seorang daripada zuriat Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah.
Apabila menyedari hakikat ini, bulu roma saya meremang. Sultan yang menjadi tokoh utama dalam tesis saya,
Sultan yang hampir dilupakan, yang warisan perlembagaannya telah saya usahakan untuk ditemukan kembali selama bertahun-tahun, akan menyaksikan seorang daripada zuriat Baginda sendiri mengurniakan kepada saya ijazah yang dianugerahkan atas penyelidikan tersebut.
Lingkaran sejarah itu akan lengkap tidak lama lagi. – UTUSAN
Bersambung











