Suara perjuangan, warisan kemerdekaan

Suara perjuangan, warisan kemerdekaan

LEGASI perjuangan terdahulu perlu diteruskan dengan membina generasi berilmu, berintegriti dan cinta akan tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 31 Ogos 1957 tersemat kukuh dalam jiwa setiap anak Malaysia sebagai detik bersejarah yang menandakan lahirnya sebuah negara merdeka. Kemerdekaan yang dicapai bukan hadir secara spontan, sebaliknya terhasil daripada perjuangan panjang menentang penjajahan. Pelbagai bentuk perjuangan digunakan, termasuk melalui penulisan, akhbar, pidato, puisi dan karya sastera yang menjadi wadah menyemarakkan kesedaran kebangsaan.

Sejak awal, suara perjuangan disampaikan melalui mata pena dan lisan. Penulisan akhbar pada ketika itu membawa mesej membangkitkan semangat masyarakat untuk menuntut keadilan serta membebaskan tanah air daripada penguasaan asing.

Tokoh seperti Datuk Abdul Said Omar (Dol Said),aysia, Mohammad Salleh Datu Balu (Mat Salleh) dan Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh (Dato’ Bahaman) pula dikenang kerana keberanian menentang penjajah secara fizikal. Namun, perjuangan tidak hanya bergantung pada kekuatan senjata. Apabila sistem pendidikan berkembang, minda dan pemikiran turut menjadi medan perjuangan. Kesedaran tentang hak menentukan masa depan sendiri mula berkembang dalam kalangan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

MATA PENA MENJADI SENJATA

Akhbar, majalah dan karya sastera memainkan peranan besar menyebarkan semangat nasionalisme. Penerbitan seperti Utusan Melayu menjadi antara wadah yang menyatukan pemikiran masyarakat melalui gagasan kebangsaan. Puisi, novel dan lagu pula menyemarakkan kecintaan terhadap tanah air serta menyampaikan mesej perjuangan dalam bentuk yang lebih halus.

Penulis menggunakan kiasan dan metafora untuk menyindir penjajah serta meniupkan semangat kebebasan. Dengan hanya menggunakan pena, mereka menyuarakan cita-cita merdeka tanpa mengangkat senjata. Karya yang terhasil menjadi bukti perjuangan boleh disampaikan melalui pemikiran dan kreativiti.

Peranan golongan muda turut berkembang melalui penerbitan di institusi pendidikan. Artikel, risalah dan penulisan ilmiah memberi ruang kepada pelajar mengasah pemikiran kritis serta membincangkan persoalan masyarakat. Idea yang berkembang dalam lingkungan pendidikan kemudiannya tersebar lebih luas, termasuk ke kawasan luar bandar.

Golongan wanita juga tidak ketinggalan menyumbang kepada gerakan kesedaran kebangsaan. Tokoh seperti  Zainun Munsyi Sulaiman (Ibu Zain) menggunakan ruangan wanita dalam akhbar dan majalah untuk memperjuangkan kepentingan pendidikan, hak wanita serta peranan ibu dalam membentuk generasi masa hadapan. Sumbangan ini membuktikan perjuangan kemerdekaan bukan milik satu kelompok, sebaliknya melibatkan seluruh masyarakat.

DARI SUARA KEPADA KEDAULATAN

Gelombang kesedaran yang berkembang melalui pelbagai medium akhirnya menyumbang kepada pembentukan asas sebuah negara merdeka. Proses perundingan, Suruhanjaya Reid dan pelbagai memorandum menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat.

Laungan “Merdeka!” pada 31 Ogos 1957 menjadi kemuncak kepada perjuangan panjang tersebut. Suara yang dahulunya menuntut kebebasan akhirnya bertukar menjadi pengisytiharan kedaulatan.

Warisan perjuangan itu terus terpahat melalui Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara serta dokumen kenegaraan yang menjadi lambang identiti Malaysia. 

Bahasa Melayu turut diangkat sebagai bahasa kebangsaan melalui Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai bahasa penyatuan dan lambang jati diri negara.

Karya penulisan era perjuangan tidak wajar dilihat sekadar himpunan kata-kata. Di sebaliknya tersimpan keberanian, pemikiran dan cita-cita sebuah bangsa yang mahu menentukan nasib sendiri. Warisan tersebut perlu terus dihargai supaya generasi hari ini memahami kebebasan yang dinikmati mempunyai sejarah pengorbanan yang panjang.

Hari ini, generasi muda tidak lagi dituntut mengangkat senjata untuk mempertahankan negara. Sebaliknya, tanggungjawab mereka adalah memelihara kedaulatan melalui ilmu, integriti, perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.

Semangat kemerdekaan juga perlu diteruskan melalui penulisan yang bermutu, kritis dan bertanggungjawab. Mata pena hari ini mungkin tidak lagi berdepan penjajah seperti dahulu, tetapi tetap mempunyai kuasa membentuk pemikiran masyarakat.

Justeru, sejarah perjuangan perlu terus dihayati agar erti kemerdekaan tidak berhenti pada sambutan setiap 31 Ogos. Sebaliknya, ia menjadi nilai yang membimbing setiap generasi untuk menghargai kebebasan, mempertahankan perpaduan dan memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat.-UTUSAN

PENULIS ialah Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini