Anak bukan tempat melepas marah

Anak bukan tempat melepas marah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menggantikan hukuman mati seorang bekas anggota tentera kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan atas tuduhan membunuh anak kandungnya menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat awam.

Bagi pihak yang menentang pelaksanaan hukuman mati, mereka bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut tetapi tidak kurang juga masyarakat yang berharap agar hukuman mati dikekalkan kerana tindakan pesalah yang melampaui batas kemanusiaan.

Tragedi yang berlaku pada awal 2018 bukan sekadar menjadi satu catatan jenayah tetapi merupakan refleksi dalam diri kita, terutama ibu bapa tentang amanah dalam mendidik anak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nur Aina Nabihah meninggal dunia akibat dipijak perut dan ditendang sehingga pankreasnya terbelah oleh bapa kandungnya sendiri. Bapa yang seharusnya menjadi tempat berlindung, memberikan kasih sayang dan memastikan keselamatan anak-anak bertukar menjadi punca kesakitan yang menyebabkan beliau pergi selama-lamanya.

Kejadian ini terasa lebih menyayat hati tatkala direnung di tengah-tengah kehangatan selepas sambutan Maulidur Rasul, Selasa lalu.

Menelusuri sirah Rasulullah SAW dalam menyantuni anak kecil, baginda sangat prihatin dengan kesejahteraan jasmani dan rohani anak-anak. Rasulullah merupakan teladan terbaik sebagai seorang bapa dan datuk yang penuh dengan kehangatan kasih sayang.

Masyarakat seharusnya mencontohi cara didikan Rasulullah dan kes adik Nur Aina Nabihah ini seharusnya menjadi cerminan yang memaksa kita bertanya sejauh mana ibu bapa benar-benar menghayati cara mendidik anak berlandaskan hukum syarak.

ANAK MERUPAKAN AMANAH BUKAN HAK MILIK

Anak merupakan hadiah daripada Allah kepada suami isteri sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Syura, maksudnya, “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

Kehadirannya juga boleh menjadi ladang pahala yang berterusan kepada ibu bapa sekiranya mereka dibesarkan sebagai anak yang taat kepada agama. Tanggungjawab dan tugas sebagai ibu bapa bukanlah mudah. Anak-anak merupakan amanah yang dipinjamkan Allah. Setiap tangisan, setiap gelak tawa, dan setiap inci pertumbuhan mereka akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.

MENELADANI RASULULLAH SAW DALAM MENDIDIK

Kasih sayang serta kelembutan Rasulullah ketika melayani anak kecil menjadi antara keperibadian terpuji baginda yang dirakamkan dalam sejarah Islam.

Terdapat hadis riwayat Imam Al Bukhari, Rasulullah pernah mencium cucu-cucunya di hadapan seorang sahabat dan sahabat itu berkata, aku mempunyai 10 orang anak dan tidak pernah mencium mereka.

Rasulullah menjawab dengan penuh hikmah bahawa “sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi’.

Mencintai dan melayani anak-anak dengan kasih sayang merupakan sunnah Rasulullah yang mendidik masyarakat tentang erti kelembutan serta keikhlasan.

Ajaran Islam tidak pernah menolak disiplin dalam mendidik anak. Syarak malah membenarkan ketegasan yang munasabah untuk mengajar anak-anak mentaati perintah agama serta membentuk akhlak yang mulia. Namun, terdapat garis sempadan yang jelas antara ketegasan dalam mendidik dengan kekerasan yang mendatangkan kemudaratan.

Ketegasan yang digunakan hendaklah dengan niat untuk menyedarkan anak-anak daripada kesalahan yang dilakukan, tidak memukul bahagian muka dan mana-mana bahagian sensitif anggota badan dan tidak mendatangkan kemudaratan dari aspek emosi serta fizikal anak-anak.

Rasulullah memberi peringatan jelas, elakkan mengikut hawa nafsu ketika marah. Mendidik anak-anak memerlukan ketegasan yang didasari kesabaran, bukannya amarah yang tidak terkawal.

Apabila ketegasan atau teguran bertukar menjadi keganasan fizikal, ia bukan lagi proses mendidik yang dibenarkan syarak. Anak-anak tidak wajar dijadikan sebagai sasaran melepaskan geram sekiranya ibu bapa mengalami kekecewaan atau tekanan hidup.

Tindakan tersebut merupakan kegagalan ibu atau bapa dalam mengawal emosi sehingga menyebabkan kezaliman terhadap anak-anak.

Sebagaimana diketahui umum, kezaliman dilarang keras dalam Islam.

Sebagai seorang bekas anggota tentera, ketegasan dan disiplin yang ketat telah menjadi rutin harian di tempat kerja. Perkara ini mungkin menyebabkan pesalah terbawa- bawa pendekatan tersebut dalam konsep mendidik anak di rumah.

Namun, sekiranya ketegasan disiplin seperti ini tidak disertai dengan nilai kasih sayang dan kesediaan memberi peluang kepada anak membetulkan kesilapan, hanya akan merosakkan perkembangan minda mereka.

Perkara ini disebabkan otak anak-anak bukan sekadar belajar menerusi arahan tetapi juga pemerhatian mereka dalam kehidupan seharian.

Sambil kita melangkah keluar daripada lipatan sambutan Maulidur Rasul tahun ini, marilah kita meletakkan tangan di dada dan bermuhasabah. Tragedi ini sepatutnya menjadi pengajaran terakhir buat kita semua. Jangan biarkan tekanan hidup atau kejahilan membuatkan lupa tentang amanah berat yang dipertanggungjawabkan di bahu kita.

Banyak kes penderaan gagal dilaporkan akibat sikap masyarakat yang enggan mencampuri urusan jiran tetangga.

Konsep saling menjaga dan amar ma’ruf nahi mungkar seharusnya dijadikan asas untuk membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin.

Sekiranya berlaku kes penderaan dalam kawasan perumahan, jiran mempunyai tanggungjawab moral untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Satu laporan daripada jiran yang prihatin mungkin boleh memberi sinar baharu dalam kehidupan seorang kanak-kanak.

Buat ibu bapa, jagalah amanah yang diberikan oleh Allah sebaik mungkin. Anak-anak sentiasa meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada ibu bapa dan menganggap kita sebagai tempat yang selamat untuk bergantung hidup dan berkasih sayang.

Hukuman yang diperuntukkan menerusi undang-undang kerana menzalimi anak-anak hanyalah berbentuk duniawi dan tidak seberat kebertanggungjawaban di hadapan Allah.-UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini