‘Suka satu kolam atau banyak kolam?’ - Utusan Malaysia

‘Suka satu kolam atau banyak kolam?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Pas mencetuskan perhatian apabila memilih untuk memberi sokongan kepada UMNO di Johor walaupun masih berada dalam Perikatan Nasional (PN). Langkah itu mengundang persoalan tentang masa depan PN, malah mencetuskan spekulasi penjajaran politik baharu sedang dirintis menjelang pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas, DATUK IDRIS AHMAD, tampil menjawab pelbagai persoalan kritikal yang menjadi perhatian umum, daripada hubungan Pas dengan UMNO dan Bersatu, kemungkinan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), sehinggalah strategi parti berdepan senario Parlimen tergantung.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, MUHAMMAD FARIZ RUSADIO, Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut menjelaskan pendirian Pas terhadap kemasukan parti baharu ke dalam PN serta hala tuju gabungan itu jika Bersatu tidak lagi menjadi sebahagian daripada perjalanan politiknya.

KERJASAMA SEKAT PH
MINGGUAN MALAYSIA: Dengan memberi sokongan kepada UMNO di kerusi yang tidak ditandingi Pas di PRN Johor, mungkin kerjasama wujud di peringkat negeri?
Matlamat kita adalah no Pakatan Harapan (PH). Ertinya kita hari ini dalam situasi Johor ini mesti kita jaga, maksudnya kita mahu sekat PH.
Kita pun tidak pernah untuk menjanjikan, macam dalam isu Negeri Sembilan baru-baru ini, kita tidak pernah kata, ok, lantik kami sebagai Exco. Pada kita hanyalah untuk menyekat PH. Itu kita punya matlamat.

Sama ada untuk kerjasama dengan UMNO/BN itu terpulang kepada keadaan (selepas keputusan PRN). Jadi, sekarang ini kita tidak perlu fikir bab itu.

TAWARAN UMNO
Adakah sebelum ini wujud tawaran oleh UMNO sendiri apabila bantuan dan sokongan diberikan pada PRN?
Itu tidak ada. Kita tidak bincang bab-bab itu. Hanya setakat mahu pastikan PH tidak berkuasa di Johor.

KONGSI LOGO PN SAHAJA
Bagaimana dengan keadaan dalam PN sendiri terutamanya soal Bersatu?
Gabungan hari ini, kita sudah berpisah kerjasama antara Pas dan Bersatu, tapi gabungan itu dalam soal penggunaan simbol (PN) sahaja untuk pergi ke pilihan raya, mereka masih dalam anggota PN.

Tapi tidakkah hubungan itu pelik, apabila sudah bergaduh tapi masih duduk sebilik? Apakah akan ada parti yang akan ditendang keluar?
Itu tunggu dan lihat. Sekarang ini fokus kita kepada pilihan raya negeri yang akan datang dan pilihan raya seterusnya.

Apakah penyertaan Pejuang dan Wawasan menambah kekuatan PN?
Ya, sebab itu kita hendak seberapa banyak menyertai bersama gabungan dengan kita, yang sealiran dan punya naratif yang sama.

Apakah Bersatu sudah tiada suara dan perlu bersetuju semua perkara diputuskan dalam PN yang majoriti sudah dikuasai Pas?
Itu terpulanglah. Apabila kita duduk sekali dalam gabungan kena dengarlah suara majoriti, pandangan serta naratif yang didukung bersama. Kita pun tidak halang untuk siapa-siapa bersuara. Kita juga ada perlembagaan dan tertibnya.

SOKONGAN KEPADA UMNO/BN
Apakah sokongan sama akan diberikan Pas kepada UMNO/BN dalam PRN Negeri Sembilan dan pilihan raya seterusnya?
Itu kena tunggu dan lihat juga. Bergantung kepada keputusan di Johor, dan apa perbincangan kita pula selepas itu daripada segi think tank dan survey data. Kita pun ada big data kita. Apa pun politik ini dinamik, hari ini lain, esok lain.

MAIN KOLAM
Apakah Pas cuba ‘bermain dua kolam’ apabila dalam PN masih tidak menolak keluar Bersatu dan pada masa sama beri sokongan kepada BN di Johor?
Kita hari ini sudah tidak ada kerjasama dengan Bersatu. Cuma guna logo sama sahaja. Kita pun tidak hendak main dua kolam.
Orang kata banyak kolam lagi baik, mandi banyak kolam lagi baik. Kalau anda, anda suka satu kolam atau banyak kolam yang bagus?

Apakah halatuju PN, jika tanpa Bersatu, PN boleh terus hidup?
Ya, Insya-Allah. Kita boleh hidup. Kita hidup sebab parti Pas ini macam kita katalah berkawan dengan siapa pun. Kita ada jentera sendiri, kekuatan sendiri dan kewangan sendiri. Itu yang kita hidup. Pas kekuatan kita.

Di Perak kita lancarkan lebih kurang 6,000 tabung, nama tabung subuh untuk dapat kutipan. Kita ada ahli. Ahli kita memanglah ada yang miskin tapi kita kata sehari kita pagi-pagi sumbang 50 sen, 30 sen, niat macam itu. Beginilah cara Pas. Macam mana kita boleh buat? Sebab ada kekuatan jentera kita.

PAS TIDAK SERANG BERSATU
Adakah langkah Pas ini dilihat sebagai persediaan untuk memudahkan kerjasama bersama parti lain seandainya keputusan pilihan raya umum akan datang tergantung seperti ketika PRU-15?
Ya, kebarangkalian-kebarangkalian itu ada. Kemungkinan untuk berlaku macam itu. Namun melihat di Johor, walau kita bertanding 11 kerusi, kita tidak serang Bersatu. Hal mereka itu hal mereka. Kita tidak serang mereka, sebaliknya kita dengar, mereka yang serang kita, jadi terpulanglah, Pas tetap kekal tenang.

KISAH BURUNG BELATUK DAN IKLAN MURAH
Ada dakwaan pemimpin Bersatu, Pas dilihat cuba menjadi seperti Iran dengan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertindak seperti ‘Mullah’, komen Datuk?
Saya bimbang perkataan ‘Mullah’ itu sendiri mereka tidak faham. Ia lebih kurang orang kata apa… burung belatuk. Dia itu pun tak faham apa dia cakap. Ada kawan saya bela burung belatuk, apabila pergi rumah kita bagi salam ada yang jawab Waalaikumsalam. Kita ingat tuan rumah yang jawab, rupanya burung.

Jadi, mereka tahukah apa makna perkataan ‘Mullah’ ini? Mullah ini adalah orang yang ada pengetahuan agama, bidang agama.

Konsep ini selalu pakai, ia hanya mahu associate sahaja, padahal lama dah. Dulu orang sering anggap Pas ini macam Syiah, macam Iran, hingga Pas sudah biasa dengan tuduhan-tuduhan sebegini.

Tapi kita jawab dengan amalan. Kami Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kami tetap menyertai pilihan raya, tetap hantar laporan kepada ROS, majlis syura kami juga tetap tertakluk kepada apa yang ditetapkan ROS. Itu lumrah biasa yang dilakukan.

Jadi, mereka ini sebelum hendak tuduh itu, kena tahulah. Jangan orang apabila hendak buat tuduhan itu, dia pun tidak faham apa makna Mullah itu sendiri.

Sama macam tuduhan sebelum ini Pas tunggang agama, bertopengkan agama, macam-macam orang dok kata. Tidak mengapalah. Kami sembahyang, muslimat kami bertudung, pimpinan tertinggi kami yang lelaki tidak salam perempuan.

Setiap minggu buat kuliah, orang tuduh macam-macam. Sebab itu, apabila orang kata Pas ini menunggang agama, sebenarnya ia sudah jadi satu iklan murah dan pada akhirnya kebenaran akan terserlah.

Maksudnya keputusan dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri tidak dipengaruhi Presiden Pas?
Iyalah, dia mewakili parti. Macam juga parti-parti yang menganggotai PN, mereka tetap bawa keputusan kepada parti masing-masing. Apabila kita sebut gabungan itu, kita bawa keputusan parti, adakah ini kontra dengan keputusan induk kita, macam kita bisneslah, contoh subsidiari, kita tidak boleh kontra dengan syarikat asas kita.

Sama juga macam soal politik ini. Macam saya bercakap hari ini, saya tidak boleh mewakili parti pandangan saya ini, maknanya keputusan parti itu keputusan yang mengatasi perasaan saya.

Bercakap atas kapasiti peribadi tidak boleh, contoh kalau saya kata ok, kita semua kena bersatu dengan UMNO, (kenyataan) itu tidak boleh pakai, sebab kita ada parti, ada muktamar, perlembagaan kita jelas, kuasa politik adalah muktamar. Sebab itu, kita buat keputusan politik dan sebagainya, kita mesti bawa dalam muktamar.

BUKAN SOAL NOMBOR
Pas dilihat lebih memberi muka kepada Wawasan berbanding Bersatu, adakah sebab nombor? Kumpulan Reset ini mempunyai jumlah kerusi lebih banyak?
Ia tidak begitu. Pada kita, kita tidak mahulah sampai… banyak sebenarnya, saya tidak mahu ceritalah sebab apa yang sampai tercetusnya (kemelut), orang kata kemuncaknya adalah isu Perlis dan

Negeri Sembilan, lain-lain banyak. Kita tidak mahu cerita bab itu, sampailah masalah dalaman Bersatu, mahu suruh tukar Exco ini, Exco itu, ini apa benda? Rakyat marah bila lihat keadaan macam itu. Itu sebabnya punca perselisihan, bukan soal nombor.

Pas pernah ada satu kerusi dalam Parlimen, Pas pernah hilang negeri, di Kelantan, di Kedah. Jadi, biasalah Pas ini kan. Jangan anggap kalau kata Pas kalah di Johor, Negeri Sembilan, Pas akan lenyap. Selagi dasar Pas pegang kepada Islam, Pas tidak akan lenyap di muka bumi ini.

TARIK UNDI BANDAR
Dengan ada Wawasan dan Pejuang dalam PN, adakah itu usaha untuk menarik undi di bandar ataupun kerusi campuran ?
Ya, salah satunya. Sebab itu, dalam kita ini seperti yang selalu Haji Hadi sebut, politik Malaysia terasnya adalah Melayu, Islam dan Bumiputera mesti memimpin, barulah negara akan stabil.

Yang kedua ialah masyarakat majmuk. Kita kena terima negara kita ini masyarakat majmuk hasil daripada peninggalan penjajah.

Pada masa sama, orang bukan Melayu juga kena memahami bahawa mereka ada kontrak sosial yang dipersetujui semasa kemerdekaan, iaitu menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan orang Melayu. Perkara ini perlu dihormati oleh semua pihak. Walaupun negara ini masyarakat majmuk, kita menerima semua kaum dan bekerjasama dengan mereka, tetapi asas-asas tersebut perlu difahami dan dihormati demi mengekalkan keharmonian negara.

TANGGAPAN LAPUK
Jadi, maknanya tanggapan bahawa Pas sebuah parti yang ekstrem itu sudah lapuk dan boleh ditolak tepi?
Ya, sudah lapuk. Cuma orang masih mengulang perkara itu, sama seperti ada pemimpin DAP yang sering mengatakan orang Cina ditindas. Itu politik tahun 1960-an dan otak tahun 1969, sedangkan sekarang sudah 2026 dan masyarakat boleh menilai sendiri.

Kalau Pas benar-benar rasis, sudah tentu kami akan mengkhianati masyarakat Cina. Tetapi di Kelantan, walaupun mereka minoriti, mereka boleh hidup dengan baik dan berniaga dengan baik.

Malah, mereka boleh bercakap loghat Kelantan dengan baik. Jadi, dakwaan Pas sebuah parti rasis atau ekstrem tidak berasas.

Untuk pengundi muda pula, macam mana Datuk melihat mereka memberi undi kepada PN dan melihat PN sebagai gabungan yang mampu mentadbir negara?
Pada saya, generasi Z adalah generasi yang mempunyai knowledge politics (K-Politik). Sahabat baik mereka telefon pintar dan media sosial yang sentiasa berada bersama mereka.

Politik Malaysia juga banyak dipengaruhi generasi muda ini. Berdasarkan analisis saya, hampir setiap DUN mempunyai sekitar 50 peratus pengundi berumur bawah 40 tahun dan merekalah sebenarnya undi penentu.

Pengundi saluran 1 dan 2 kebanyakannya sudah mempunyai pendirian politik yang sukar berubah, sama ada menyokong Pas, DAP, PH atau UMNO.

Sebaliknya, yang berubah ialah anak-anak mereka. Saya sendiri banyak bekerja di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka, dan saya melihat bilik gerakan banyak diuruskan oleh anak-anak muda yang latar belakang keluarga mereka bukan daripada Pas.

Ini menunjukkan penerimaan dalam kalangan generasi muda semakin meningkat. Selain itu, berdasarkan analisis secara empirikal dan pemerhatian terhadap komen-komen di media sosial, hampir 80 peratus menunjukkan mereka menolak PH dan mahu memberi peluang kepada pilihan atau kepimpinan yang baharu.

PERPADUAN UMMAH
Mengenai perpaduan ummah, sebelum ini Pas pernah mengadakan inisiatif kerjasama melalui MN. Adakah masih ada harapan untuk melihat MN kembali hidup dengan adanya kerjasama yang mula kelihatan di Johor?
Kita dalam soal perpaduan tidak pernah berniat untuk mematikannya. Kalau politik Melayu dan Islam tidak berpadu, walaupun jumlah kita ramai, apabila berpecah kita tidak akan ada kekuatan.

Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran supaya jangan bertelagah kerana nanti kehebatan akan hilang.

Apa yang Allah beritahu itu terbukti pada 2018 apabila kita berpecah dan akhirnya orang lain menguasai serta mengatur kita. Sebab itu, di mana-mana pun kita sentiasa bercakap tentang perpaduan.

Kita tidak perlu membuka sejarah lama kerana kalau orang lain boleh membuka sejarah, kita juga boleh, tetapi kita mesti bergerak ke hadapan. Apa yang penting merancang masa depan, bukan untuk diri kita tetapi untuk anak cucu kita. Mereka tidak tahu apa yang kita bincangkan hari ini, tetapi kitalah yang perlu mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan.

Sebab itu, perpaduan tetap menjadi matlamat walaupun ada pihak yang mengatakan Pas mengkhianati dan sebagainya, itu terpulanglah, kita ada jawapan terhadap semua itu.

ISTILAH ‘UMDAP’
Datuk, adakah hubungan yang lebih baik dengan UMNO sekarang ini berlaku kerana tiada lagi kerjasama Pas-Bersatu? Sebelum ini MN tidak berjaya kerana UMNO meminta Pas tidak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi, dengan keadaan sekarang, adakah lebih mudah untuk kerjasama dibentuk?
Saya tidak fikir begitu. UMNO pun tidak melihat ketiadaan Bersatu sebagai sebab untuk mereka rapat dengan Pas.

Mereka juga berdepan tekanan daripada ahli-ahli yang sukar menerima kerjasama dengan DAP. Pimpinan UMNO sendiri memaklumkan kepada kami bahawa istilah “UMDAP” tidak dapat diterima oleh akar umbi mereka, tetapi mereka tetap menunggu keputusan daripada kepimpinan tertinggi parti.

Jadi, isu ini bukan soal Bersatu. Mereka sendiri melihat pengalaman berada dalam kerajaan bersama DAP. Memang dahulu mereka pernah mengatakan Pas juga pernah bekerjasama dengan DAP, dan itu benar. Sebab itulah kami menarik diri kerana kami sudah mempunyai pengalaman.

Kalau kami hanya mahu menjadi kerajaan, pada PRU14 lagi kami sudah boleh menjadi kerajaan, menjadi menteri, Exco atau Menteri Besar. Tapi jadi menteri macam yang ada hari inilah. Kita tahu dah ‘buah-buah’ (permainan) dia. Akhirnya kita tarik handbrake.

Kami memilih untuk berpegang kepada prinsip. Pada 2015 kami membuat keputusan untuk berpisah walaupun saya tahu sokongan orang bukan Melayu banyak membantu kemenangan saya pada 2013.

Saya juga tahu selepas berpisah saya mungkin akan kalah, dan akhirnya memang kalah, tetapi saya boleh menerimanya kerana prinsip lebih penting.

Selepas itu kami membina semula kekuatan dan gabungan kami sehingga akhirnya mempunyai maruah sendiri. Sebab itu tidak timbul bahawa apabila Bersatu sudah tiada barulah kita mahu berbaik dengan UMNO.

Kita melihat kepada suasana politik semasa. Kalau kita terus berpolitik dengan dendam dan mengungkit kisah lama, sampai bila pun kita tidak akan dapat bekerjasama.
Ketika UMNO jatuh pada 2018 pun, kita tetap menyambut mereka. Kalau asyik memikirkan dendam kesumat, kita tidak akan dapat berkawan.

PERSEPSI TENTANG KELANTAN
Persepsi yang selalu dimainkan, negeri Kelantan sebagai contoh dan mengatakan Pas tidak mampu mentadbir negara kerana pembangunan di Kelantan pun lambat selain isu air masih belum selesai. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
Saya ingat dahulu orang juga mengatakan hanya BN yang boleh memerintah dan memajukan negeri. Tetapi apabila Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang, adakah KDNK jatuh? Pelabur tidak datang atau lapangan terbang menjadi lengang? Tidak.

Pelabur tidak bertanya parti apa yang memerintah. Sebaliknya melihat sama ada sesebuah negeri mesra pelabur atau tidak. Sebab itu, tidak boleh membandingkan Kelantan dengan Selangor kerana syarat dan kemudahan asasnya berbeza.

Selangor ini kena banding dengan Johor atau Pulau Pinang. Di situ sudah ada kelengkapan maksudnya syaratnya sudah ada untuk pelabur-pelabur datang, lapangan terbang dekat, pelabuhan dekat, jalan raya baik, pelabur-pelabur yang datang tidak akan tanya apa parti awak? Mereka tanya daripada segi awak ini mesra pelabur tidak?

Siapa pun yang memerintah Kelantan, keadaannya tetap sama. UMNO juga pernah memerintah Kelantan selama 12 tahun, apa mereka buat pula? Kalau kita hendak fikirkan 12 tahun, lama juga 12 tahun bukan 12 hari. Kita bukan mahu ungkit.

Kelantan lebih sesuai dibangunkan melalui sektor pertanian berbanding industri berat kerana faktor geografi dan infrastruktur.

Daripada segi pembangunan wilayah juga tidak berlaku secara seimbang. Patutnya kena beri keutamaannya, sebaliknya diutamakan Pulau Pinang pula, beri sampai RM17 bilion untuk LRT bukan? Kelantan… apa masalah Kelantannya?

Jadi, itu kita tengok daripada segi pembangunan wilayah ini pun tidak sama berlaku. Tiba-tiba orang semua mahu banding Kelantan tidak membangun pula.

Mengenai isu air, memang ada kelemahan tertentu seperti loji terpaksa ditutup apabila hujan lebat, tetapi masalah seperti ini boleh berlaku di tempat lain juga. Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Kelantan mampu bertahan di bawah Pas, 36 tahun dan pencapaian pendidikannya tetap baik.

Ramai anak Kelantan berhijrah kerana peluang pekerjaan dan pasaran lebih luas, sama seperti rakyat negeri lain yang berhijrah mencari rezeki.

Orang Kelantan juga dikenali sebagai masyarakat yang rajin dan berjaya dalam pelbagai bidang. Sebab itu, apabila Kelantan sering dijadikan sasaran kritikan, apabila orang mahu hentam Kelantan, orang bukan Pas pun lawan dan marah.

Di Kedah pula, dengan kedudukan yang lebih hampir kepada lapangan terbang dan lebuh raya, sektor pembuatan semakin berkembang dan pelaburan semakin meningkat. Namun terdapat juga projek seperti cadangan Lapangan Terbang Kulim yang memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Pada pandangan saya, apa yang penting adalah ketelusan, integriti dan dasar yang mesra pelabur, bukannya parti yang memerintah. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN