MUKADIMAH
Kehilangan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Johor mencetuskan persoalan besar mengenai masa depan DAP, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan corak pengundian orang Melayu dan bukan Melayu.
Bekas Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, DR. ONG KIAN MING mengulas mengenai tekanan yang dihadapi parti di PRN Negeri Sembilan dalam mempertahankan kerusi tradisi termasuk cabaran mengekalkan pengaruh di negeri lain yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat parti termasuk Pulau Pinang dan Selangor.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN, Kian Ming berpandangan DAP perlu menilai semula strategi politiknya. Persoalannya, sama ada DAP mampu mengekalkan kekuatan sedia ada atau berdepan kemerosotan berterusan menjelang pilihan raya akan datang?
MINGGUAN MALAYSIA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sasar PH menang 23 kerusi di PRN Negeri Sembilan, pandangan Dr.?
Saya melihat pertarungan di Negeri Sembilan lebih sengit berbanding di Johor. Namun begitu, pada masa sama, tidak dapat dinafikan momentum ketika ini berada di pihak Barisan Nasional (BN).
Dengan kerjasama yang lebih formal bersama Perikatan Nasional (PN), kelebihan utama gabungan BN dan PN adalah keupayaan mereka untuk menarik sokongan pengundi Melayu.
Keadaan ini boleh dianggap sebagai menghidupkan semula semangat Muafakat Nasional, tetapi tanpa Bersatu. Bagi saya, itu satu fakta yang penting.
Fakta kedua adalah saya melihat terdapat satu kelemahan atau kekurangan di pihak PH. Jika kita menilai kempen PH di Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya berdasarkan liputan media, watak utama bukanlah Tok Min atau Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang saya fikir masih merupakan calon Menteri Besar PH. Sebaliknya, perhatian lebih banyak tertumpu kepada Anthony Loke.
Ini kerana beliau bertanding di Chennah, ramai pemimpin kanan PH turun memberikan sokongan kepadanya, dan Anthony Loke sendiri yang mengumumkan bahawa PH menyasarkan kemenangan 23 kerusi.
Apabila pengundi Melayu membaca laporan seperti ini, gambaran yang mungkin timbul adalah kerajaan akan dikuasai oleh DAP. Apabila naratif sebegini muncul sepanjang kempen, saya berpendapat BN dan PN tidak perlu lagi menghujahkan perkara itu secara panjang lebar.
Persepsi itu akan terbentuk dengan sendirinya dalam kalangan pengundi Melayu. Jika perkara ini berlaku, saya menjangkakan berlaku swing sokongan yang ketara dalam kalangan pengundi Melayu kepada BN dan PN, sebagaimana yang kita lihat di Johor.
Cara sepatutnya DAP dan PH dapatkan sokongan pengundi Melayu?
Anthony Loke seorang pemimpin yang boleh diterima oleh sebahagian masyarakat Melayu sebagai seorang menteri dan pemimpin. Beliau dilihat sebagai seorang yang sederhana (moderate), tidak ekstrem, dan mempunyai imej yang lebih mudah diterima. Salah satu sebab beliau lebih tampil ke hadapan dalam kempen adalah untuk mengurangkan persepsi negatif terhadap DAP serta meredakan kebimbangan masyarakat Melayu terhadap parti itu. Pada masa sama, ia juga sebagai satu bentuk damage control susulan kontroversi yang melibatkan Nga Kor Ming di Johor.
Namun begitu, seorang pemimpin sahaja tidak cukup untuk mengubah persepsi negatif sebahagian besar masyarakat Melayu terhadap DAP.
Apabila orang Melayu membaca laporan berita, mereka bukan sahaja melihat kenyataan Nga Kor Ming, yang pada pandangan saya menjadi antara faktor utama membentuk persepsi negatif terhadap DAP dalam kalangan pengundi Melayu. Mereka juga mengingati kenyataan tokoh lain seperti Tony Pua, khususnya kenyataannya berkaitan Sultan Selangor, yang dianggap menyinggung perasaan orang Melayu kerana tidak menghormati institusi kesultanan, adat Melayu dan sensitiviti masyarakat Melayu. Isu-isu seperti ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi corak pengundian orang Melayu.
Bagi BN pula, saya melihat antara kelemahan mereka ketika ini adalah ketiadaan tokoh yang jelas sebagai poster boy atau calon Menteri Besar. Faktor ini mungkin sedikit sebanyak mengurangkan sokongan pengundi Melayu kepada BN dan PN, walaupun saya tidak pasti sama ada kesannya sekitar lima atau sepuluh peratus.
Bagaimana anda melihat kempen di PRN setakat ini?
Saya berpendapat minggu kedua akan menjadi jauh lebih penting. Satu persoalan besar sama ada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, akan turun berkempen. Pada pandangan saya, hampir pasti beliau terlibat. Persoalannya, apakah strategi beliau dan kawasan manakah yang akan menjadi tumpuan kempennya?
Saya menjangkakan beliau bukan sahaja membantu calon BN, malah turut membantu calon PN, termasuk rakannya, Danny Rais. Berdasarkan apa yang saya lihat di Johor, Khairy punya keupayaan membentuk naratif kempen dan menarik perhatian media. Beliau juga pemimpin yang mampu menjawab pelbagai isu yang mungkin sukar dijawab oleh pemimpin BN lain, termasuk isu calon Menteri Besar.
Selain itu, strategi BN untuk mencabar Anthony Loke di Chennah juga wajar diberikan perhatian. Minggu kedua kempen akan memperlihatkan sama ada peralihan sokongan pengundi Melayu benar-benar memihak kepada BN dan PN. Pada masa sama, DAP mungkin terpaksa menggunakan pendekatan yang pernah digunakan di Johor bagi memastikan pengundi Cina terus memberikan sokongan. Mungkin tokoh seperti Nga Kor Ming atau Hew Kuan Yau (Superman Hew) akan tampil berceramah bagi mengukuhkan sokongan pengundi Cina.
TEKANAN untuk MENANG KERUSI
Adakah DAP dalam tekanan ekoran keputusan PRN Sabah dan Johor?
Ya, pada pandangan saya, tekanan terhadap DAP memang besar. Jangan lupa pada 16 Ogos ini akan berlangsung Kongres Khas DAP, di mana perwakilan akan mengundi menentukan sama ada menteri dan timbalan menteri daripada DAP dalam Kerajaan Madani perlu meletakkan jawatan atau tidak.
Justeru, tekanan utama ketika ini adalah memastikan DAP sekurang-kurangnya mampu mempertahankan 11 kerusi yang dimenanginya.
Saya menjangkakan kepimpinan DAP membuat penilaian yang lebih menyeluruh pada minggu kedua kempen. Mungkin mereka menjalankan tinjauan atau menggunakan kaedah lain bagi mengukur sentimen semasa pengundi. Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka mempunyai strategi luar biasa untuk mengekalkan sokongan tersebut. Namun, pada pandangan saya, jika gelombang sokongan kepada BN dan PN benar-benar kuat, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh DAP untuk membantu PH, malah mungkin juga tidak mencukupi untuk mempertahankan semua 11 kerusi yang dimiliki mereka.
Mereka mungkin masih mampu mengekalkan lapan atau sembilan kerusi, tetapi untuk mempertahankan kesemua 11 kerusi, di samping membantu rakan-rakan dalam PH memenangi kerusi lain, saya melihat itu satu cabaran yang sangat besar.
Satu lagi perkara yang wajar diberi perhatian adalah faktor pengundi India. Di Johor, peratusan pengundi India tidak begitu tinggi. Namun di Negeri Sembilan, jika saya tidak silap, jumlahnya melebihi 20 peratus. Oleh itu, saya berpendapat pengundi India akan menjadi antara faktor penentu penting dalam PRN kali ini. Kerusi seperti Chennah dan beberapa kawasan lain yang mempunyai peratusan pengundi India yang tinggi.
HILANG KERUSI LINGGI, SIKAMAT
Apabila Tok Min sendiri berpindah bertanding di Linggi dari Sikamat, pandangan Dr tentang langkah itu?
Kemungkinan PH kehilangan kedua-dua kerusi itu adalah lebih tinggi. Ramai mungkin tidak menyedari walaupun Sikamat terletak dalam kawasan Seremban, ia bukanlah kerusi yang mudah dipertahankan. Kira-kira 70 peratus pengundinya Melayu.
Sekiranya benar berlaku gelombang sokongan besar kepada BN dan PN, dan BN mampu memperoleh sehingga 90 peratus undi di kawasan mempunyai 70 peratus pengundi Melayu, maka peluang mereka untuk memenangi kerusi itu adalah sangat tinggi.
Bagi Linggi pula, walaupun ia merupakan kubu kuat BN, komposisi pengundi Melayunya sekitar 60 peratus. Saya berpendapat Tok Min memilih untuk bertanding di Linggi kerana beliau juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, manakala Linggi berada dalam kawasan Parlimen Port Dickson. Oleh itu, beliau mungkin melihat peluang untuk memenangi kerusi tersebut lebih tinggi berbanding jika terus mempertahankan Sikamat.
Adakah Datuk Jalaluddin calon poster boy/Menteri Besar terbaik BN?
Datuk Seri Jalaluddin Alias masih belum mempunyai pengaruh atau stature politik yang setanding dengan Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) di Negeri Sembilan. Sebelum ini ada pihak berpendapat Khairy Jamaluddin boleh menjadi calon Menteri Besar. Namun, saya melihat Khairy lebih cenderung memberi tumpuan kepada politik peringkat Persekutuan, khususnya kerusi Parlimen dan Kerajaan Pusat.
Sesiapa sahaja yang akhirnya dipilih sebagai Menteri Besar, sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan seperti yang dijangkakan, perlu merupakan seorang calon yang boleh diterima oleh pihak istana. Dalam hal ini, ia bergantung kepada kebijaksanaan Tok Mat untuk memastikan hubungan baik dengan pihak istana terus dipelihara serta memastikan calon dikemukakan mendapat perkenan daripada istana.
KONGRES KHAS DAP
Keputusan dalam Kongres Khas DAP nanti, tidakkah ia dilihat sebagai satu tindakan yang memberi tekanan kepada kerajaan dan Perdana Menteri?
Langkah ini merupakan strategi yang dirangka oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai satu pendekatan balancing atau pengimbangan. Beliau menyedari jika keputusan itu hanya dibuat di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, ia berpotensi menjadi isu yang memecah-belahkan kepimpinan kerana pasti akan wujud perbezaan pandangan. Ada yang mahu kekal dalam kerajaan, manakala ada juga mahu keluar daripada Kabinet.
Oleh itu, keputusan untuk menyerahkan hak membuat keputusan kepada para perwakilan parti boleh dilihat sebagai usaha menunjukkan bahawa DAP mengamalkan proses yang demokratik dalam membuat keputusan penting.
Namun, dari sudut pandang masyarakat Melayu, langkah itu juga boleh ditafsirkan sebagai satu tekanan terhadap Perdana Menteri supaya melaksanakan dasar atau mengambil tindakan yang dapat meyakinkan perwakilan DAP untuk terus menyokong penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan serta mengekalkan kedudukan menteri dan timbalan menteri daripada DAP. Itu satu lagi sudut pandang yang wajar dipertimbangkan. Sekiranya Kongres Khas ini diadakan sebelum pilihan raya negeri, saya menjangkakan majoriti perwakilan mengundi supaya DAP terus kekal dalam Kabinet.
Namun, jika kongres itu berlangsung selepas PRN, dan sekiranya PH mengalami kekalahan besar seperti yang saya jangkakan, kemungkinan perwakilan mengundi supaya DAP menarik balik penyertaan mereka dalam Kabinet akan menjadi lebih tinggi. Saya juga berpendapat para perwakilan tidak akan terlalu mengambil kira persepsi orang luar terhadap keputusan mereka.
Sebaliknya, mereka akan mengundi berdasarkan apa yang mereka anggap terbaik untuk masa depan DAP.
Kemungkinan besar pertimbangan mereka sama ada lebih baik DAP mengekalkan maruah politik parti dengan melepaskan jawatan menteri dan timbalan menteri, tetapi pada masa yang sama terus menyokong Kerajaan Perpaduan sebagai penyokong kerajaan (backbencher).
KERJASAMA BERSATU-PH?
Ada kemungkinan Bersatu, jika tidak lagi bersama PN, akan bekerjasama dengan PH?
Sebelum tahun 2022, saya rasa tidak ramai yang dapat membayangkan DAP dan UMNO akhirnya boleh berada dalam kerajaan yang sama. Jadi, saya tidak boleh menolak sepenuhnya kemungkinan perkara seperti ini boleh dibincangkan selepas PRN Negeri Sembilan. Namun, kebarangkalian itu masih rendah. Ini kerana hubungan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih tegang, manakala isu melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan PKR juga masih memberi kesan kepada hubungan politik kedua-dua pihak.
Atas sebab itu, saya berpendapat kemungkinan berlakunya kerjasama antara Bersatu dan PH adalah kurang daripada 50 peratus. Pada masa sama, jika PH mahu bekerjasama dengan Bersatu pada masa hadapan, besar kemungkinan PH perlu memperuntukkan sejumlah kerusi kepada Bersatu bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru.
CABARAN PERTAHAN PULAU PINANG
Sekiranya sokongan terhadap DAP semakin menurun, berterusan hilang kerusi di negeri-negeri, adakah hanya Pulau Pinang bakal jadi kubu terakhir?
Pulau Pinang sebagai kubu terakhir DAP satu kemungkinan besar. Ini kerana melihat kerjasama antara BN dan PN boleh menjadi efektif di sesebuah negeri, tidak mustahil pendekatan sama akan cuba dilaksanakan di negeri lain, termasuk Selangor.
Walaupun PH masih jauh lebih kuat di Selangor dan pada masa ini BN serta PN belum mempunyai tokoh utama atau poster boy yang jelas di negeri tersebut, saya berpendapat PH tidak boleh mengambil mudah sokongan di Selangor. Begitu juga dengan Pulau Pinang. PH terutama DAP tidak boleh menganggap negeri itu akan terus menjadi kubu selamat tanpa cabaran.
Bagi saya, cabaran terbesar PH di Selangor adalah bagaimana untuk meyakinkan pengundi Melayu di bandar supaya terus memberikan sokongan, mungkin pada tahap sekitar 30 peratus, di samping mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu yang menjadi asas kekuatan mereka.
Di Lembah Klang dan Selangor, dalam pilihan raya umum atau pilihan raya negeri akan datang, faktor Bersatu juga akan menjadi satu isu penting.
Bersatu mempunyai kekuatan tertentu di Lembah Klang dan berpotensi menarik sebahagian besar sokongan pengundi yang sebelum ini menyokong PH. Oleh itu, walaupun kedudukan PH di Selangor dan Pulau Pinang masih kuat, saya lihat cabaran politik terhadap kedua-dua negeri ini akan semakin besar sekiranya kerjasama BN dan PN terus berkembang serta mampu menarik sokongan pengundi Melayu.
PRU16 LEBIH AWAL?
Jika menteri dan timbalan menteri DAP keluar daripada kerajaan, tidakkah keadaan itu akan mempercepatkan lagi desakan untuk mengadakan PRU16?
Ya, saya berpendapat kemungkinan itu memang wujud. Sebahagian perwakilan DAP mungkin sudah berada pada tahap bersedia untuk menghadapi PRU16 sekiranya ia diadakan lebih awal, termasuk dalam tahun ini.
Ini kerana mereka mungkin membuat pertimbangan bahawa jika DAP terus kekal dalam Kabinet sebagai menteri dan timbalan menteri, parti itu masih perlu berdepan beberapa pilihan raya negeri yang dijangka sukar.
Sebagai contoh, Melaka dijangka menjadi negeri seterusnya yang mengadakan pilihan raya negeri. Jika prestasi DAP terus merosot, mereka mungkin menjangkakan keputusan yang kurang memberangsangkan di negeri tersebut.
Selepas itu pula, Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri. Dalam senario yang mereka jangkakan, prestasi DAP juga mungkin terus merosot, malah tidak mustahil jumlah kerusi yang dimenangi akan berkurangan dengan ketara.
Oleh sebab itu, mungkin wujud pertimbangan bahawa jika PRU16 diadakan serentak dengan pilihan raya negeri di beberapa negeri, termasuk Melaka, keadaan itu sedikit sebanyak boleh mengurangkan kelebihan yang dimiliki BN.
Pada masa sama, pilihan raya yang diadakan secara serentak juga berpotensi meningkatkan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu pada peringkat Persekutuan.
Faktor-faktor seperti inilah yang mungkin sedang diambil kira oleh sebahagian perwakilan DAP ketika mempertimbangkan pendirian mereka terhadap penyertaan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
DUA PILIHAN DAP
Apakah strategi terbaik untuk DAP bangkit semula? Bagaimana DAP boleh meyakinkan bahawa mereka benar-benar parti pelbagai kaum?
DAP akan berdepan satu persimpangan besar selepas PRU16. Saya tidak menjangkakan berlaku perubahan strategi besar untuk DAP dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan atau PRU16.
Keutamaan mereka ketika ini mempertahankan sebanyak mungkin sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina, kerana itulah asas kekuatan utama mereka.Jika matlamatnya untuk mendapatkan atau meningkatkan sokongan pengundi Melayu dalam tempoh menuju PRU16, saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang sangat sukar dilakukan. Selepas PRU16 nanti, saya lihat DAP ada dua pilihan utama.
Pilihan pertama, mereka memilih untuk terus memberi tumpuan kepada pangkalan sokongan tradisional mereka. Walaupun pangkalan itu semakin mengecil dari segi peratusan kerana komposisi pengundi Melayu semakin besar, sebahagian pemimpin DAP mungkin merasakan strategi terbaik adalah terus mempertahankan sokongan pengundi Cina.
Dalam senario ini, DAP mungkin berpuas hati untuk mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang, mungkin terus kuat di Selangor, tetapi menerima kemungkinan menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.
Pada masa itu, jika prestasi DAP di Negeri Sembilan dan PRU16 tidak memuaskan, tekanan terhadap Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung parti juga mungkin meningkat. Tidak mustahil jawatan tersebut akan diberikan kepada pemimpin lain.Sekiranya pengganti beliau mempunyai pendekatan yang lebih berorientasikan kepada pangkalan Cina, contohnya Nga Kor Ming, hala tuju
DAP mungkin akan menjadi lebih jelas ke arah strategi double down sebagai parti yang lebih tertumpu kepada sokongan kaum Cina. Dalam keadaan itu, sokongan daripada pengundi India juga mungkin terjejas.
Pilihan kedua, DAP melakukan penilaian semula terhadap strategi jangka panjang dan mencari cara untuk menghidupkan semula kekuatan parti.
Pertama, naratif DAP terhadap masyarakat Melayu perlu diubah. Isu-isu sensitif tidak semestinya perlu dielakkan sepenuhnya, tetapi pendekatan komunikasi perlu diperbaiki. Sebagai contoh, dalam ceramah politik, penggunaan bahasa Melayu perlu diberikan keutamaan. Pada masa ini, sebahagian besar ceramah DAP masih banyak guna bahasa Cina, sedangkan mendekati masyarakat Melayu, komunikasi dalam bahasa Melayu adalah sangat penting.
Kedua, saya melihat DAP telah kehilangan sebahagian kelompok pemimpin yang berimej profesional dan kuat dari sudut dasar. Tokoh seperti Tony Pua, mempunyai kekuatan dalam isu polisi dan pernah menarik sokongan daripada golongan profesional di Malaysia, termasuk sebahagian profesional Melayu.
Kekuatan dari sudut dasar tersebut merupakan sesuatu yang saya rasa semakin berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh itu, satu cabaran kepada DAP adalah bagaimana untuk mengembalikan semula imej sebagai parti yang kuat daripada segi polisi, bukan hanya dilihat sebagai parti yang mewakili identiti kaum tertentu.
Akhir sekali, DAP perlu memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin muda yang mempunyai pandangan lebih terbuka dan mampu membawa imej yang lebih inklusif, bukan hanya bergantung kepada pendekatan mempertahankan pangkalan tradisional. – Mingguan Malaysia










