CUBA perhatikan nama-nama projek pembangunan baharu yang muncul di seluruh negara hari ini. Tidak kira di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan negeri lain, kita akan menemui corak hampir sama.
Ada perkataan The Residences, The Heights, The Valley, Central Park, Lake View, Skyline, Boulevard, Eco Grandeur, Green Avenue dan pelbagai lagi variasi yang kedengaran moden, eksklusif serta bertaraf antarabangsa.
Terlalu banyak deretan papan tanda menyambut pengunjung dengan nama-nama yang kedengaran begitu antarabangsa. Malah ada yang menggunakan perkataan Inggeris sepenuhnya. Ada yang bercampur aduk dengan istilah asing, malah ada yang sukar disebut penduduk tempatan sendiri.
Jika seseorang itu baru tiba di Malaysia, mungkin menyangka dirinya berada di sebuah bandar satelit di negara Barat.
Persoalannya, mengapa semakin banyak nama tempat, bangunan, taman perumahan, pusat komersial dan mercu tanda memilih bahasa asing berbanding bahasa kebangsaan?
Adakah kita sedang membangunkan bandar atau sekadar mengimport nama?
Isu ini mungkin kelihatan kecil. Ada yang menganggapnya sekadar soal pemasaran atau strategi penjenamaan. Namun jika diperhatikan dengan lebih mendalam, nama bukan sekadar alat pengenalan. Nama membawa makna, sejarah, identiti dan jiwa sesebuah tempat.
Apabila nama tempatan semakin dipinggirkan, sedikit demi sedikit identiti tempat turut terhakis.
Nama bukan sekadar alat pemasaran. Nama ialah identiti. Nama ialah sejarah. Nama ialah cerita yang menghubungkan manusia dengan tempat.
Dalam bidang reka bentuk bandar dan pembinaan identiti tempat, nama merupakan antara elemen penting yang membentuk jati diri sesuatu tempat serta mewujudkan rasa keterikatan terhadap sesuatu lokasi. Ia membantu seseorang memahami keberadaanya dan keistimewaan sesuatu lokasi itu.
Sesebuah bandar bukan hanya dibentuk oleh bangunan dan jalan raya tetapi juga identiti menjadikannya unik. Identiti ini terhasil melalui sejarah, budaya, bahasa dan memori kolektif masyarakat.
Apabila sesebuah kawasan dinamakan menggunakan bahasa tempatan, nama tersebut secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada naratif budaya setempat. Sebaliknya, apabila terlalu banyak nama asing digunakan tanpa kaitan dengan sejarah atau konteks tempatan, kawasan tersebut mungkin kelihatan moden tetapi kehilangan keunikan yang membezakannya daripada bandar-bandar lain.
Malangnya, dalam keghairahan mengejar imej moden dan nilai komersial, kita semakin banyak menghasilkan pembangunan yang mungkin cantik dari segi fizikal tetapi ‘miskin’ identiti.
Fenomena ini bukanlah kesalahan mana-mana pihak secara khusus. Pemaju mahu menarik pembeli. Perunding mahu menghasilkan imej yang meyakinkan sementara pasaran pula sering mengaitkan nama Inggeris dengan status dan eksklusiviti. Maka lahirlah pelbagai nama yang kedengaran premium walaupun kadangkala tidak mempunyai sebarang hubungan dengan lokasi sebenar.
Ada kawasan yang tidak mempunyai tasik tetapi menggunakan perkataan lake. Ada yang tidak mempunyai bukit tetapi menggunakan istilah heights. Ada yang tidak mempunyai lebu hijau sebenar tetapi tetap menggunakan boulevard kerana bunyinya lebih mewah.
Kadangkala keadaan ini mengundang senyuman kecil. Seolah-olah kita lebih berminat menjual imaginasi berbanding realiti.
Yang lebih menarik, banyak pembangunan terletak berhampiran kampung tradisional, sungai bersejarah atau kawasan yang kaya dengan warisan tempatan tetapi nama-nama tersebut langsung tidak mencerminkan konteks setempat. Nama sungai yang wujud ratusan tahun tidak digunakan. Nama kampung asal yang mempunyai nilai sejarah diketepikan. Nama flora tempatan yang unik tidak diberi perhatian.
Sebaliknya, memilih nama yang boleh ditemui dalam ribuan projek pembangunan lain di seluruh dunia.
Jika keadaan ini berterusan, jangan terkejut jika suatu hari nanti bandar-bandar kita mula kehilangan keunikannya. Apabila semuanya menggunakan formula nama yang sama menyebabkan identiti tempat menjadi semakin kabur.
Bandar mungkin menjadi cantik tetapi generik. Moden tetapi sukar diingati.
Ironinya, negara-negara yang sering kita kagumi tidak pernah malu menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai identiti. Jepun tidak menukar nama tempatnya kepada bahasa Inggeris untuk menarik pelancong.
Korea Selatan tidak menamakan setiap pembangunan baharunya dengan istilah Barat. Begitu juga China tidak berbuat demikian.
Mereka memahami identiti budaya merupakan aset, bukannya halangan kepada kemajuan.
Di Malaysia, kita sebenarnya mempunyai khazanah bahasa yang sangat kaya untuk dijadikan sumber inspirasi. Kita mempunyai nama sungai, bukit, pantai, pokok, bunga, haiwan, tokoh sejarah dan istilah budaya yang unik.
Nama-nama seperti Merbau, Cengal, Kenanga, Tanjung, Mahsuri, Ledang, Melur, Seri Bayu, Damai Perdana atau Sungai Emas mempunyai karakter yang jauh lebih kuat kerana lahir daripada konteks tempatan. Lebih penting, nama-nama ini mempunyai cerita.
Apabila seseorang menyebut Kampung Morten, kita terus terbayang warisan Melayu Melaka. Apabila menyebut Bandar Hilir, teringat sejarah penjajahan dan perdagangan. Apabila menyebut Gunung Ledang, teringat legenda yang telah hidup beratus-ratus tahun.
BAHASA TEMPATAN JUGA BERNILAI KOMERSIAL
Pun begitu, itu tidak bermaksud semua nama Inggeris perlu dihapuskan. Malaysia ialah negara terbuka yang meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa. Bahasa Inggeris mempunyai peranan penting dalam ekonomi dan hubungan antarabangsa.
Kadangkala kita perlu berani bertanya soalan yang sedikit tidak selesa. Mengapa sesetengah pihak merasakan nama tempatan kurang bernilai? Mengapa nama Melayu sering dianggap kurang eksklusif? Mengapa perkataan tempatan yang kaya dengan sejarah dan budaya dianggap kurang komersial?
Jika benar persepsi ini masih wujud, maka masalah sebenar bukan terletak pada bahasa itu tetapi pada cara kita menilai bahasa tersebut.
Hakikatnya, identiti tempatan semakin menjadi nilai tambah dalam era globalisasi. Pelancong hari ini mencari keaslian. Mereka mahu mengalami sesuatu yang berbeza. Mereka mahu mengenali budaya tempatan, bukan melihat salinan identiti bandar lain.
Sebab itulah bandar-bandar yang mempunyai identiti kuat sering menjadi lebih dikenali dan dihargai.
Orang datang ke Kyoto kerana identiti Jepunnya, bukan kerana menyerupai New York.
Orang datang ke Istanbul kerana sejarah dan budayanya, bukan kerana kelihatan seperti bandar lain.
Mengapa kita pula sering merasakan sesuatu pembangunan hanya akan kelihatan gah apabila menggunakan nama asing?
Mungkin tanpa disedari, kita masih terperangkap dalam persepsi lama bahawa bahasa asing membawa status yang lebih tinggi. Sedangkan kemajuan sesebuah negara tidak pernah ditentukan oleh bahasa pada papan tandanya.
Sebaliknya, kemajuan diukur melalui ilmu, inovasi, integriti dan kesejahteraan rakyat. Malaysia juga tidak sepatutnya berbeza.
Dalam usaha membangunkan bandar masa depan, kita perlu memastikan pembangunan fizikal bergerak seiring dengan pemeliharaan identiti budaya. Antara langkah yang paling mudah tetapi sering diabaikan ialah melalui penamaan tempat.
Keadaan ini menyebabkan generasi muda semakin terputus daripada sejarah tempat mereka sendiri. Sedangkan nama tempat sebenarnya boleh menjadi medium pendidikan yang sangat berkesan.
Melalui nama, masyarakat dapat mengenali asal usul sesuatu kawasan, tokoh penting, elemen alam semula jadi atau peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ.
Mungkin sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju memberi perhatian yang lebih besar kepada aspek ini.
Nama pembangunan baharu tidak semestinya kuno jika menggunakan bahasa tempatan. Dengan kreativiti yang tepat, nama tempatan boleh menjadi moden, elegan dan beridentiti dalam masa sama.
Akhirnya, papan tanda hanyalah sebahagian kecil daripada bandar. Namun kadangkala perkara kecil itulah yang menentukan sama ada sesebuah bandar mempunyai jiwa atau sekadar mempunyai bangunan.
Sebuah bandar hebat bukan hanya dikenali melalui ketinggian pencakar langitnya tetapi juga melalui cerita yang terkandung pada nama-namanya.
Mungkin selepas ini, sebelum menamakan sebuah bangunan atau kawasan pembangunan baharu, kita boleh bertanya satu soalan yang mudah, adakah nama ini sekadar kedengaran moden atau adakah benar-benar mencerminkan jiwa Malaysia?
Dan cerita itu seharusnya lahir daripada tanah, budaya dan bahasa yang menjadi milik kita sendiri. –UTUSAN
DR. Mohd. Ramzi Mohd. Hussain ialah Profesor di Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










