HARI Populasi Sedunia disambut pada 11 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global terhadap isu-isu kependudukan dan implikasinya terhadap pembangunan mampan.
Sambutan ini diperkenalkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pada 1989 berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan penduduk dunia dan cabaran demografi yang semakin kompleks.
Sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan literasi masyarakat tentang perubahan struktur penduduk bukan sekadar statistik tetapi mempunyai implikasi besar terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan masa depan sesebuah negara.
Dalam konteks Malaysia, isu kependudukan semakin signifikan apabila negara kini secara rasmi memasuki fasa negara menua. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8 peratus pada 2025, melepasi ambang tujuh peratus yang menandakan sesebuah negara sedang menuju ke arah masyarakat menua.
Pada masa sama, komposisi penduduk muda berumur 0 hingga 14 tahun terus menurun daripada 22.2 peratus pada 2024 kepada 21.6 peratus pada 2025, manakala umur median penduduk Malaysia meningkat kepada 31.3 tahun.
Trend ini dijangka berterusan apabila Malaysia diunjurkan menjadi sebuah masyarakat menua menjelang 2048 apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencapai 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Menjelang 2040 pula, golongan warga emas dijangka mewakili sekitar 14.5 peratus daripada populasi negara. Pada masa sama, kadar kesuburan keseluruhan Malaysia kini berada pada tahap 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi iaitu 2.1 anak.
Penurunan kadar kelahiran ini mempercepatkan lagi proses penuaan penduduk negara.
Dari perspektif sosiologi, keluarga merupakan institusi sosial asas yang memainkan peranan penting dalam proses sosialisasi, pembentukan nilai, pemindahan budaya dan pembangunan modal insan. Namun, perubahan dalam struktur keluarga, peningkatan urbanisasi, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan serta perubahan gaya hidup telah mengubah corak penjagaan warga emas dalam masyarakat.
Jika dahulu penjagaan ibu bapa yang lanjut usia banyak bergantung kepada keluarga besar, kini keluarga nuklear dan mobiliti pekerjaan menyebabkan tanggungjawab tersebut menjadi semakin mencabar.
Fenomena masyarakat menua turut membawa implikasi besar terhadap struktur sosial negara. Peningkatan jumlah warga emas akan memberi kesan kepada pasaran buruh, sistem pencen, perbelanjaan kesihatan, penyediaan perkhidmatan penjagaan jangka panjang serta hubungan antara generasi dalam institusi keluarga. Sekiranya tidak ditangani secara strategik, fenomena ini berpotensi meningkatkan beban fiskal negara dan menjejaskan kesejahteraan sosial masyarakat.
Persoalannya, adakah Malaysia benar-benar bersedia menghadapi realiti masyarakat menua? Adakah sistem kesihatan negara bersedia menangani peningkatan penyakit kronik dan keperluan penjagaan jangka panjang dalam kalangan warga emas? Adakah sistem pencen dan simpanan persaraan sedia ada mencukupi untuk menjamin kesejahteraan hidup mereka?
Selain itu, sejauh manakah kemudahan penjagaan jangka panjang, pusat jagaan warga emas, dasar perumahan, sistem pengangkutan awam dan pembangunan bandar di Malaysia benar-benar mesra warga emas?

DASAR AWAM
Dari sudut dasar awam, Malaysia sebenarnya mengambil beberapa langkah awal bagi menghadapi fenomena masyarakat menua. Antaranya ialah pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang bertujuan memperkasakan warga emas agar terus aktif, berdikari, bermaruah dan dihormati dalam masyarakat.
Dasar ini disokong Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang memberi penekanan kepada aspek kesihatan, pembelajaran sepanjang hayat, keselamatan sosial, penyertaan masyarakat serta persekitaran yang kondusif kepada warga emas.
Selain itu, Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 turut menekankan pembangunan masyarakat yang sejahtera, inklusif dan mampan melalui pengukuhan institusi keluarga, pemerkasaan komuniti serta peningkatan sistem perlindungan sosial.
Dalam konteks masyarakat menua, DSN 2030 menyediakan kerangka penting bagi memastikan warga emas terus dilindungi, dihargai dan berpeluang menyumbang secara aktif kepada masyarakat.
Selaras dengan dasar ini, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mewujudkan persekitaran yang mesra warga emas melalui penyediaan kemudahan kesihatan yang mudah diakses, sistem penjagaan berkualiti, perumahan dan pengangkutan yang inklusif serta program pembangunan komuniti yang berkesan.
Di samping itu, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi tumpuan kepada cabaran masyarakat menua menjelang 2030. Keperluan memperkukuh sistem perlindungan sosial, memperluaskan penjagaan jangka panjang dan meningkatkan kesejahteraan rakyat sejajar dengan perubahan struktur demografi negara.
Walau bagaimanapun, cabaran utama bukanlah pada kewujudan dasar semata-mata tetapi sejauh mana pelaksanaan dan keberkesanan dasar-dasar tersebut dapat memenuhi keperluan masyarakat menua yang semakin kompleks.
Justeru, memahami isu masyarakat menua memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira hubungan antara individu, keluarga, komuniti, institusi sosial dan dasar awam.
Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan institusi keluarga amat penting dalam membina ekosistem sokongan yang mampan bagi warga emas.
Hakikatnya, masyarakat menua bukan sekadar cabaran demografi tetapi merupakan agenda pembangunan negara yang memerlukan tindakan segera, kerjasama pelbagai pihak dan perancangan dasar yang lestari.
Hanya melalui pendekatan yang holistik dan berpaksikan kesejahteraan sosial, Malaysia mampu memastikan warga emas terus menikmati kehidupan yang berkualiti, bermaruah dan sejahtera, selaras dengan aspirasi negara menuju pembangunan mampan. –UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










