MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan di Dewan Rakyat pada 2 Julai 2026 bahawa kerajaan sedang memuktamadkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bersama peraturan subsidiari bagi memperkukuh tanggungjawab platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam tempoh 1 Januari hingga 1 Julai 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memohon penurunan sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan, dengan kira-kira 91 peratus daripadanya melibatkan penipuan dalam talian dan perjudian.
Walaupun sebahagian besar kandungan tersebut berkaitan jenayah siber, mesej yang lebih besar ialah ancaman terhadap integriti maklumat negara.
Dalam ekonomi moden, pembangunan bukan sahaja bergantung kepada modal, teknologi atau tenaga kerja, malah turut bergantung kepada keyakinan.
Keyakinan pengguna, pelabur dan institusi kewangan terbentuk daripada maklumat yang dipercayai. Apabila maklumat yang diterima tidak lagi diyakini, keputusan ekonomi turut menjadi tidak rasional dan berasaskan ketakutan, bukannya fakta.

Ahli ekonomi, George Akerlof menerusi karyanya, The Market for ‘Lemons’: Quality Uncertainty and the Market Mechanism (1970) menjelaskan bahawa ketidakseimbangan maklumat (information asymmetry) boleh menyebabkan pasaran menjadi kurang cekap, meningkatkan kos transaksi dan menghakis kepercayaan antara pihak yang terlibat dalam urus niaga.
Apabila maklumat yang tidak tepat, mengelirukan atau palsu tersebar secara meluas, masalah ketidakseimbangan maklumat menjadi lebih kritikal.
Pengguna, pelabur dan pelaku pasaran berisiko membuat keputusan berdasarkan maklumat yang salah, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan, menambah kos menjalankan perniagaan serta melemahkan keyakinan terhadap pasaran dan ekonomi secara keseluruhannya.
Dalam era digital hari ini, apabila maklumat dapat disebarkan kepada jutaan pengguna hanya dalam beberapa saat, cabaran ketidakseimbangan maklumat menjadi jauh lebih kompleks dan berpotensi memberi kesan yang lebih besar terhadap kestabilan ekonomi.
Ini selari dengan dapatan terkini dalam Laporan Risiko Global 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia, yang meletakkan misinformation dan disinformation sebagai risiko global paling serius dalam tempoh dua tahun.
Laporan tersebut menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu bukan sahaja mengancam kestabilan politik dan sosial, malah boleh menjejaskan prestasi ekonomi, mengurangkan keyakinan terhadap institusi serta meningkatkan ketidakstabilan pasaran.
Dalam konteks ekonomi, maklumat palsu bukan sekadar mencipta kekeliruan. Ia meningkatkan kos ekonomi. Kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak sumber untuk penguatkuasaan, syarikat perlu meningkatkan pelaburan dalam keselamatan digital dan pengurusan reputasi, manakala institusi kewangan perlu memperkukuh sistem pengesanan penipuan.
Pada masa yang sama, pengguna pula menjadi lebih berhati-hati dalam membuat keputusan penggunaan dan pelaburan. Semua kos ini akhirnya mengurangkan kecekapan ekonomi.
Lebih membimbangkan, dunia kini memasuki era kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan kandungan palsu dihasilkan dengan lebih pantas dan lebih sukar dikenal pasti.
Teknologi seperti deepfake, manipulasi audio dan imej, serta kandungan yang dijana AI boleh digunakan untuk menyebarkan naratif yang mengelirukan mengenai ekonomi, institusi kewangan atau dasar kerajaan.
Oleh itu, ancaman maklumat palsu tidak lagi boleh dilihat sebagai isu media sosial semata-mata, tetapi sebagai cabaran kepada keselamatan ekonomi dan keselamatan kognitif (cognitive security) negara.
Keselamatan kognitif merujuk kepada keupayaan masyarakat menilai, menapis dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih.
Jika persepsi masyarakat berjaya dimanipulasi melalui maklumat palsu, propaganda atau kandungan yang direka menggunakan AI, maka kesannya bukan sahaja terhadap individu tetapi juga terhadap sentimen pasaran, pelaburan dan kestabilan ekonomi.
Dalam keadaan tertentu, penyebaran maklumat palsu boleh menjadi sebahagian daripada peperangan maklumat (information warfare) yang bertujuan melemahkan keyakinan terhadap sesebuah negara tanpa menggunakan kekuatan ketenteraan.
Beberapa negara telah mengambil langkah proaktif bagi membina daya tahan terhadap ancaman ini. Singapura memperkenalkan Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan Dalam Talian dan Manipulasi (POFMA) pada 2019 bagi membolehkan pembetulan segera dibuat terhadap maklumat yang terbukti palsu.
Kesatuan Eropah pula menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Digital untuk meningkatkan akauntabiliti platform digital terhadap kandungan berisiko.
Finland pula sering dijadikan penanda aras dunia dalam aspek literasi media apabila pendidikan pemikiran kritis dan pengesahan maklumat diterapkan sejak di bangku sekolah.
Pendekatan negara-negara ini menunjukkan bahawa kejayaan menangani maklumat palsu memerlukan keseimbangan antara pendidikan, teknologi, tadbir urus dan penguatkuasaan.
Malaysia juga perlu bergerak ke arah pendekatan yang lebih strategik. Pendidikan literasi digital perlu dijadikan agenda nasional, bukan sahaja di sekolah dan universiti, malah dalam sektor awam, sektor swasta dan komuniti.
Masyarakat perlu dibimbing supaya memahami bahawa setiap perkongsian maklumat mempunyai implikasi ekonomi dan sosial.
Budaya “semak sebelum sebar” perlu menjadi norma dalam kalangan rakyat Malaysia.
Negara perlu memperkukuh kapasiti penyelidikan dan kepakaran. Universiti mempunyai peranan penting dalam melahirkan pakar dalam bidang ekonomi digital, keselamatan siber, AI, analitik data, komunikasi strategik dan ekonomi tingkah laku. Bidang-bidang ini perlu diperkasakan kerana ancaman maklumat palsu tidak boleh diselesaikan oleh satu disiplin sahaja.
Sehubungan itu, Malaysia wajar mempertimbangkan penubuhan sebuah Pusat Integriti Maklumat Ekonomi Negara yang menghimpunkan pakar ekonomi, saintis data, pakar AI, pakar keselamatan siber, ahli psikologi tingkah laku, pakar komunikasi strategik dan pakar perundangan digital.
Pusat ini boleh berfungsi sebagai mekanisme amaran awal bagi mengesan naratif ekonomi yang dimanipulasi, menjalankan analisis impak terhadap pasaran dan membantu kerajaan menggubal respons dasar yang pantas serta berasaskan bukti.
Yang lebih penting, usaha memerangi maklumat palsu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan kebebasan tersebut dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam masyarakat demokratik, hak bersuara perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab untuk tidak menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan kepentingan awam dan kestabilan negara.
Kekuatan sesebuah negara bukan lagi hanya diukur melalui saiz ekonominya atau kekuatan ketenteraannya, tetapi juga melalui keupayaannya mempertahankan integriti maklumat.
Negara yang memiliki maklumat yang dipercayai akan menikmati keyakinan pelabur yang lebih tinggi, kos transaksi yang lebih rendah, institusi yang lebih kukuh dan ekonomi yang lebih berdaya tahan.
Justeru, usaha membendung maklumat palsu perlu dilihat sebagai satu pelaburan strategik dalam memperkukuh keselamatan ekonomi Malaysia, demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi hari ini dan akan datang. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Shazida Jan Mohd. Khan ialah Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).










