PELANCARAN Kerangka Transformasi India Muslim (IMTF) 2030 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan detik penting dalam sejarah pembangunan masyarakat India Muslim di Malaysia.
Kerangka ini bukan sekadar pengiktirafan simbolik kepada sebuah komuniti minoriti tetapi usaha menyusun agenda pembangunan masyarakat secara lebih sistematik, berfokus dan berorientasikan hasil.
Masyarakat India Muslim yang dianggarkan menghampiri 800,000 orang mempunyai sejarah panjang dalam perdagangan, pendidikan, kewartawanan, kesusasteraan, kebajikan, politik dan pembangunan masyarakat. Walaupun bilangannya lebih kecil berbanding komuniti utama lain, namun sumbangannya terhadap pembentukan negara tidak boleh dipandang remeh.
Dalam konteks ini, kesediaan Perdana Menteri untuk mendengar keluhan masyarakat, mengakui masih terdapat kekurangan dalam pelaksanaan dasar serta memberikan komitmen terhadap pendidikan, perumahan, pembiayaan, pekerjaan, kebajikan dan perniagaan wajar dihargai.
Inilah kepimpinan yang diperlukan oleh rakyat, iaitu kepimpinan yang tidak mendakwa kerajaan sudah sempurna, sebaliknya bersedia mengakui kekurangan, mendengar suara masyarakat dan mengambil tindakan untuk memperbaikinya.
Pendekatan tersebut memperlihatkan bentuk kepimpinan yang lebih responsif. Kerajaan tidak seharusnya sekadar mengumumkan dasar dari atas tetapi mesti membuka ruang kepada organisasi masyarakat untuk menjadi jambatan antara rakyat dengan institusi awam.
IMTF2030 menepati keperluan tersebut kerana berfungsi sebagai pelan tindakan lima tahun yang memberikan tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan, pembangunan kepimpinan dan penyertaan dalam pembangunan negara.
Selama ini, banyak inisiatif pembangunan masyarakat dilaksanakan secara terpisah, bermusim atau bergantung kepada usaha organisasi dan individu tertentu. IMTF2030 cuba mengubah keadaan ini melalui pendekatan yang lebih tersusun, dengan sasaran yang boleh diukur dan dinilai pencapaiannya.
Antaranya ialah menggerakkan dana RM50 juta bagi biasiswa dan pembangunan bakat, meningkatkan kemahiran 50,000 individu, membantu pendigitalan 2,500 perusahaan serta memperkasa sosioekonomi 10,000 keluarga.
IMTF2030 turut menyasarkan pembangunan 500 perusahaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, pembentukan 50 jenama tempatan yang bersedia menembusi pasaran eksport, penciptaan peluang perolehan RM10 bilion dalam rantaian bekalan tempatan serta penjanaan nilai ekonomi terkumpul sehingga RM250 bilion menjelang 2030.
Sasaran-sasaran tersebut sememangnya besar. Namun begitu, transformasi tidak akan berlaku dengan meletakkan sasaran yang terlalu kecil. Masyarakat India Muslim perlu diberikan keberanian untuk berfikir jauh, meneroka sektor baharu dan keluar daripada lingkungan ekonomi tradisional.
Kita mahu generasi baharu masyarakat India Muslim bukan sahaja mewarisi perniagaan keluarga tetapi turut menjadi jurutera kecerdasan buatan, pakar semikonduktor, saintis data, pemimpin korporat, penyelidik, ahli akademik, profesional undang-undang serta usahawan teknologi bertaraf antarabangsa.
Antara tonggak terpenting IMTF2030 ialah Biasiswa Pemimpin Masa Depan MUKMIN (MFLS). Melalui kerjasama dengan lapan institusi pengajian tinggi, inisiatif ini memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM10 juta dan membuka lebih 400 peluang pendidikan kepada generasi muda.
MFLS penting kerana ramai pelajar berbakat daripada keluarga berpendapatan rendah masih terhalang oleh kekangan kewangan, kekurangan pendedahan dan ketiadaan jaringan sokongan. Bagaimanapun, biasiswa semata-mata tidak memadai. Ia perlu disertai latihan kepimpinan, bimbingan kerjaya, penguasaan bahasa, kemahiran digital, penempatan industri dan sistem pementoran.
Dalam hal ini, kelulusan segera RM2 juta oleh Perdana Menteri bagi pendidikan dan kebajikan anak-anak daripada keluarga yang memerlukan menunjukkan bahawa sokongan kerajaan tidak terhenti pada ucapan. Ia diterjemahkan melalui tindakan dan peruntukan yang boleh menjadi pemangkin kepada pelaksanaan awal IMTF2030.
Dalam sektor ekonomi, masyarakat India Muslim mempunyai pengalaman panjang dalam perniagaan restoran, peruncitan, tekstil, perdagangan dan perusahaan keluarga. Kekuatan tradisional ini perlu dipertahankan, tetapi pada masa sama dimodenkan melalui automasi, pembayaran tanpa tunai, AI, pemasaran digital dan pengurusan data.
Arahan Perdana Menteri supaya isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor restoran diselesaikan mengikut keutamaan dalam tempoh maksimum sebulan menunjukkan suara pengusaha didengar.
Namun, penyelesaian jangka panjang bukan sekadar menambah pekerja asing. Peningkatan produktiviti, automasi, latihan pekerja tempatan dan pembaharuan model perniagaan mesti menjadi sebahagian daripada agenda transformasi.
Keupayaan IMTF2030 turut diperkukuh oleh kepimpinan Presiden MUKMIN, Datuk Shahul Dawood. Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman merentasi sektor keusahawanan, awam dan korporat.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet Berhad pernah mengetuai HRD Corp dan menerajui agenda pembangunan bakat yang melibatkan jutaan rakyat Malaysia.
Shahul juga merupakan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian ASEAN, Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Latar belakang akademik dan jaringan beliau merangkumi kerajaan, industri, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat, menjadikannya tokoh yang sesuai untuk menghubungkan aspirasi komuniti dengan mekanisme pelaksanaan sebenar.

BINA EKOSISTEM KERJASAMA RENTAS SEKTOR
Namun demikian, kejayaan IMTF2030 tidak boleh bergantung kepada seorang pemimpin atau satu organisasi sahaja. Kekuatan sebenarnya terletak pada keupayaan membina ekosistem kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), sektor swasta, institusi kewangan, badan profesional dan organisasi masyarakat.
Kita yakin setiap sasaran akan disertakan garis masa, pihak bertanggungjawab, petunjuk prestasi dan laporan kemajuan yang telus bagi memastikan IMTF2030 tidak berakhir sebagai dokumen pelancaran yang sarat dengan aspirasi tetapi lemah dari segi pelaksanaan.
IMTF2030 membawa satu mesej besar iaitu masyarakat India Muslim tidak mahu hanya dilihat sebagai penerima bantuan tetapi sebagai rakan pembangunan negara. Ia membuka ruang kepada perubahan daripada pendekatan sementara kepada strategi tersusun, daripada kebergantungan kepada penciptaan peluang serta daripada penyertaan terhad kepada sumbangan lebih besar dalam ekonomi nasional. –UTUSAN
PROFESOR Dr. Mizan Aslam ialah Profesor Kehormat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










