Hala tuju baharu Malaysia-Jepun

Hala tuju baharu Malaysia-Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FORUM Nikkei ke-31 berlangsung ketika persaingan kuasa-kuasa besar semakin meruncing, tekanan baharu terhadap perdagangan global kembali meningkat dan ketidakstabilan yang berterusan melibatkan keselamatan tenaga, persaingan dalam sektor kritikal, ketegangan maritim di Laut China Selatan, serta ketidakstabilan di Timur Tengah dan Asia Barat.
Bagi Malaysia, ia mempunyai kepentingan strategik yang bersasar, dengan matlamat untuk memperdalam keterlibatan strategik, ekonomi dan teknologi baharu dengan Jepun, sambil memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah kuasa serantau yang semakin meningkat, dengan status pemimpin ASEAN dan rakan yang semakin penting dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan kepentingan geopolitik yang saling berkait.
SALING BERGANTUNG
Pelaburan Jepun dalam sektor bernilai tinggi khususnya semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, peralihan tenaga, pembuatan termaju dan rantaian bekalan berdaya tahan merupakan antara teras utama hubungan Tokyo-Kuala Lumpur.
Peralihan ekonomi dan teknologi kritikal memerlukan Malaysia terus memperkukuh kesalingbergantungan strategik antara kedua-dua negara, dengan memanfaatkan kekuatan Malaysia dalam bidang semikonduktor dalam bab pemasangan, pengujian dan advanced packaging, serta kelebihan Jepun dalam industri ini.
Ini memberikan satu lagi lonjakan strategik kepada usaha Malaysia dalam rantaian nilai ekosistem semikonduktor dan tidak terus kekal sebagai pangkalan pengeluaran bermargin rendah.
Ia membuka ruang strategik kepada peralihan menuju struktur ekonomi berteknologi tinggi, sekali gus keluar daripada perangkap ekonomi berasaskan ekstraktif dengan sumber komoditi dan ekosistem intensif buruh.
Malaysia dilihat sebagai pembekal tenaga yang stabil, dengan menyediakan platform yang mampan untuk Jepun memperkukuh keselamatan tenaganya.
Perjanjian gas asli cecair (LNG) jangka panjang baharu antara Petronas dan JERA dari Jepun merupakan satu hasil utama yang kritikal, dengan mewujudkan jaringan kesepakatan institusi yang amat diperlukan bagi keselamatan tenaga kedua-dua pihak, yang kini telah dirangkumi dengan persetujuan bersama.
Ia memperkukuh peranan Malaysia dalam keselamatan tenaga Jepun dan pada masa yang sama memberikan Malaysia satu pangkalan komersial dan fallback option jangka panjang dengan salah sebuah ekonomi paling maju di Asia.
Objektif Jepun
Pertama, Tokyo mahu menjamin bekalan tenaga dan rantaian bekalan kritikal yang boleh dipercayai, dan Asia Tenggara menawarkan lebih daripada sekadar tenaga dan laluan perdagangan.
Ini melengkapkan serta memperkukuh kehadiran Jepun selama berdekad-dekad di rantau ini, yang telah menghasilkan limpahan ekonomi dan perdagangan positif, menggalakkan pemindahan teknologi dan pengetahuan, merangsang pertumbuhan serantau, meningkatkan mobiliti sosial serta menjana pertumbuhan domestik.
Malaysia merupakan pembekal LNG penting kepada Jepun dan Jepun mengimport kira-kira 15 peratus LNG dari Malaysia, menjadikan Malaysia pembekal LNG kedua terbesar kepada Jepun selepas Australia.
Ini memperlihatkan kepentingan strategik dan kesalinghubungan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara dalam sektor jaminan tenaga.
Kedua, Jepun mahu memperdalam kerjasama maritim dan keselamatan dengan Malaysia dilihat sebagai sebahagian daripada percaturan yang lebih besar untuk mengukuhkan barisan kedua di rantau ini, yang penting bagi mengekalkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka serta mempertahankan keluhuran undang-undang antarabangsa.
Ini mencerminkan agenda Free and Open Indo Pacific yang lebih luas, tetapi yang penting, ia dilaksanakan bersama Malaysia secara praktikal dan berteraskan pembangunan kapasiti, bukannya berasaskan pakatan, dengan mengambil kira pendekatan dasar luar rantau ini yang pragmatik dan tidak berpihak.
Ketiga, Jepun berhasrat untuk memperkukuh hubungannya dengan ASEAN melalui Malaysia, memandangkan Kuala Lumpur kekal sebagai antara pelaku utama pertumbuhan dan daya tahan masa hadapan rantau ini dalam semua bidang, termasuk kesalinghubungan maritim, perdagangan, serta daya tahan ekonomi dan geopolitik.
Malaysia mempunyai kelebihan geografi strategik, dengan ekonomi terbuka dan berada di tengah-tengah kesalinghubungan maritim Asia Tenggara, yang menghubungkan Asia Tenggara tanah besar dengan kepulauan Asia Tenggara, di samping menghubungkan Eropah dan Timur Tengah dengan Asia Timur dan Pasifik.
Jepun melihat ASEAN sebagai rantau yang amat penting dalam mengekalkan aturan serantau yang terbuka, rantaian bekalan berdaya tahan dan kepelbagaian ekonomi, daripada sekadar pilihan sandaran kepada rakan selari yang semakin penting dalam pertumbuhan sektor baharu.
Kerjasama dengan Malaysia memberikan Jepun akses lebih mendalam kepada sebuah hab pembuatan dan tenaga, serta jambatan diplomatik kepada Global Selatan, dunia negara Islam dan seni bina serantau ASEAN yang lebih luas.
Keempat, Jepun berusaha memperdalam kerjasama teknologi dengan mengambil kira kepimpinan Malaysia yang semakin meningkat serta kelebihan semula jadinya dalam bidang ini, daripada AI hingga semikonduktor. Bagi Jepun, Malaysia bukan sahaja berguna sebagai pangkalan pengeluaran, tetapi juga sebagai rakan dalam membina ekosistem digital dan perindustrian yang dipercayai di Asia Tenggara.
Selain teknologi, sektor mineral kritikal terutamanya nadir bumi menjadi antara faktor pelengkap. Jepun yang sentiasa mengalami risiko rantaian bekalan mineral kritikal, memerlukan faktor Malaysia dalam susunan dan jaringan nadir bumi, terutamanya melalui pelaburan strategik dalam rangkaian Lynas.

HUBUNGAN STRATEGIK
Ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada 2027 membawa hubungan kedua-dua negara melangkaui ikatan konvensional dalam bidang tradisional semata-mata.
Dasar Pandang ke Timur tidak lagi hanya berkisar tentang pembelajaran disiplin dan budaya industri Jepun; ia telah berkembang kepada penjajaran dalam bidang berorientasikan masa hadapan yang berasaskan keperluan bersama, termasuk penciptaan bersama, teknologi, daya tahan dan kepercayaan strategik.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Platform AI Jepun-Malaysia, memperkukuh kerjasama mineral kritikal serta menggalakkan rantaian bekalan tenaga dan barangan kritikal yang berdaya tahan di bawah inisiatif POWERR Asia Jepun.
Kerjasama dan sokongan bidang keselamatan termasuk Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) kekal sebagai faktor utama dalam kerangka keselamatan dan pertahanan, dengan sokongan berterusan melalui aset-aset kritikal untuk mengekalkan laluan maritim yang bebas dan terbuka, yang amat penting kepada rantau ini dan juga Jepun.
Ini memperkukuh kapasiti serta kesiapsiagaan serantau untuk mengurus risiko maritim, mengekalkan kesedaran situasi dan melindungi laluan laut yang menjadi barisan hadapan utama bagi negara-negara serantau yang bergantung pada perdagangan sebagai ekonomi berorientasikan eksport.
Kerjasama Malaysia-Jepun menyumbang kepada cegah rintang melalui daya tahan dan bukannya melalui provokasi.
Jepun melihat Malaysia sebagai pembekal yang stabil, pelaku ASEAN yang pragmatik dan rakan ekonomi yang boleh dipercayai, di mana Jepun telah lama mempunyai kehadiran strategik dan penting sebelum kemunculan kuasa-kuasa besar Asia yang lain.
Malaysia pula melihat Jepun sebagai pelabur jangka panjang, rakan teknologi dan penstabil strategik. Kepercayaan inilah yang menjadi asas sebenar hubungan kedua-dua negara yang menghasilkan manfaat praktikal, termasuk infrastruktur, tenaga, keselamatan maritim, piawaian digital, daya tahan rantaian bekalan dan modal insan.
Impak EKONOMI
Malaysia akan mendapat manfaat kerana firma-firma Jepun, dengan rekod prestasi yang terbukti dan kesan limpahan yang besar, boleh membantu memperkukuh peralihan Malaysia ke arah pembuatan bernilai lebih tinggi khususnya semikonduktor, peranti perubatan, teknologi hijau dan industri berteraskan AI. Kesemua ini memperkukuh dorongan menuju ekonomi bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi yang berasaskan teknologi tinggi serta sektor kritikal, dan tidak lagi terikat kepada ekonomi ekstraktif dan berkemahiran rendah.
Realiti baharu percaturan kuasa serantau memerlukan perkongsian praktikal antara negara-negara yang saling mempercayai, dengan kepercayaan dan rekod prestasi menjadi faktor penentu yang melangkaui ruang lingkup seni kenegaraan diplomatik semata-mata.
Malaysia dan Jepun kini sedang meletakkan hubungan mereka sebagai salah satu daripada perkongsian tersebut yang berteraskan kepercayaan dan kesefahaman asas yang kukuh pada peringkat hubungan rakyat dengan rakyat dan peringkat tertinggi, serta semakin relevan kepada hala tuju masa hadapan keselamatan dan ekonomi Asia.

COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN