Tingkat kolaborasi Mara, industri Jepun - Ahmad Zahid

Tingkat kolaborasi Mara, industri Jepun – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (empat kiri) ketika merasmikan Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2026 di Langkawi, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kolaborasi antara Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan pemain industri Jepun perlu dipertingkatkan menerusi pengukuhan peranan Mara–Japan Industrial Institute (MJII) bagi memastikan pelaksanaan program latihan lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan syarikat Jepun secara lebih kukuh dan sistematik membolehkan MJII berfungsi sebagai saluran utama pembangunan bakat dalam bidang teknikal dan vokasional.

Menurut beliau, langkah itu akan membuka ruang kepada rakan industri terlibat secara langsung dalam aspek latihan, bimbingan serta pengambilan graduan untuk diserap ke dalam operasi syarikat masing-masing.

“Malaysia komited memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tonggak utama pembangunan negara. Melalui Mara dan institusi lain, kita bukan sahaja berhasrat melahirkan tenaga kerja mahir, malah teknopreneur iaitu golongan muda yang mampu mencipta perniagaan, membangunkan teknologi dan menjana peluang pekerjaan.

“Jepun dengan kekuatan dalam kejuruteraan ketepatan, automasi dan inovasi hijau merupakan rakan strategik semula jadi dalam usaha ini,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2026 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden Eksekutif Organization for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement (OISCA) Antarabangsa, Yasuaki Nagaishi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara Mara dan OISCA yang terjalin sejak 1967 menjadi contoh kejayaan diplomasi yang diterjemahkan kepada pembangunan modal insan, sekali gus melahirkan generasi belia berkemahiran, berdisiplin dan berwawasan global.

Katanya, lebih 1,000 belia Malaysia telah menjalani latihan industri di Jepun manakala lebih 3,000 lagi mengikuti program kemahiran di Malaysia dengan kira-kira 70 peratus daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor swasta termasuk syarikat multinasional Jepun.

“Program ini bukan sekadar memberi latihan teknikal, tetapi turut membentuk sahsiah, kepimpinan serta nilai tanggungjawab, kerja berpasukan dan kecemerlangan sehingga ramai dalam kalangan peserta muncul sebagai usahawan, pengurus dan pemimpin,” katanya.

Mengulas hubungan Malaysia-Jepun, beliau berkata, kedua-dua negara berkongsi hubungan kukuh berteraskan kepercayaan, hormat-menghormati dan nilai bersama sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957.

“Kerjasama ini berkembang merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, pemindahan teknologi dan pertukaran rakyat ke rakyat.

“Kerjasama berterusan akan memperkukuh transformasi digital, teknologi hijau serta amalan industri mampan demi manfaat bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN