Hak pengundi perlu dilindungi

Hak pengundi perlu dilindungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah Raja Berperlembagaan. Melalui sistem ini, rakyat memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui proses pilihan raya yang diuruskan secara bebas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pilihan raya merupakan nadi kepada sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Melalui pilihan raya, rakyat bebas memilih wakil yang akan membentuk kerajaan serta menentukan hala tuju pentadbiran negara.

Namun, proses demokrasi yang sihat tidak hanya bergantung pada perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil, malah turut bergantung pada siapa yang berhak mengambil bahagian dalam proses tersebut melalui undang-undang kewarganegaraan seperti mana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

SEBARANG keraguan status kewarganegaraan pengundi boleh menimbulkan persepsi negatif, menghakis kepercayaan awam dan mencetuskan polemik.

Oleh yang demikian hubungan antara pilihan raya dan undang-undang kewarganegaraan sangat penting kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam memastikan integriti demokrasi terus terpelihara.

Undang-undang kewarganegaraan menentukan status seseorang dalam menentukan haknya untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya, serta tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan mempertahankan kepentingan negara.

Ia memainkan peranan penting sebagai mekanisme yang memastikan hanya individu yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan diberikan hak sebagai warganegara.

Peruntukan berkaitan kewarganegaraan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan kaedah seseorang memperoleh kewarganegaraan sama ada melalui kuat kuasa undang-undang, pendaftaran, penaturalisasian atau percantuman wilayah.

Pada masa yang sama, Perlembagaan turut memperuntukkan keadaan yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan kewarganegaraannya.

Kesemua peruntukan ini diwujudkan bagi memastikan status kewarganegaraan mempunyai kepastian undang-undang dan tidak disalahgunakan.

Status kewarganegaraan seseorang amat penting dalam memastikan daftar pemilih kekal bersih, tepat dan diyakini.

Daftar pemilih yang mengandungi hanya warganegara yang layak akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keputusan pilihan raya.

Sebaliknya, sebarang keraguan terhadap status kewarganegaraan seseorang pengundi boleh menimbulkan persepsi negatif, menghakis kepercayaan awam dan mencetuskan polemik yang akhirnya menjejaskan legitimasi kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Dalam era globalisasi, pentadbiran undang-undang kewarganegaraan telah menjadi semakin kompleks dan mencabar.

Mobiliti manusia yang tinggi, penghijrahan rentas sempadan, perkahwinan antarabangsa, kelahiran di luar negara serta perkembangan teknologi telah mewujudkan pelbagai cabaran baharu kepada pentadbiran kewarganegaraan.

Kerajaan perlu memastikan setiap warganegara memiliki kewarganegaraan berasaskan undang-undang, tanpa mengabaikan aspek keselamatan negara dan kepentingan awam.

Perkembangan teknologi digital telah mengubah landskap pengurusan pilihan raya.

Penggunaan sistem pangkalan data yang lebih bersepadu antara agensi kerajaan membolehkan semakan status kewarganegaraan dilakukan dengan lebih cepat dan tepat.

Pendigitalan rekod juga membantu mengurangkan risiko pertindihan maklumat serta meningkatkan kecekapan dalam penyediaan daftar pemilih.

Walau bagaimanapun, aspek keselamatan siber dan perlindungan data peribadi perlu diberi perhatian serius agar keyakinan rakyat terhadap sistem tersebut terus terpelihara.

Pada 17 Oktober 2024, Dewan Rakyat menempa sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan, telah diluluskan tujuh bulan selepas ia dibentangkan bagi bacaan kali pertama.

Pindaan itu penting susulan pelbagai isu membabitkan pemohon yang ingin mendaftar kewarganegaraan terpaksa menunggu lama, malah ada hingga puluhan tahun berikutan halangan dan kekangan di bawah beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Langkah pindaan itu dibuat dengan tujuan menambah baik kaedah pemberian taraf kewarganegaraan dan bukannya penafian hak kemanusiaan.

Pindaan yang telah diluluskan itu menjurus kepada tujuh pindaan, tiga pewujudan dan tiga pemansuhan bagi memenuhi keperluan semasa dalam menentukan keselamatan dan kedaulatan negara, selain memastikan kesejahteraan dan keharmonian negara terpelihara.

Semasa proses pindaan tersebut ia telah dibuat secara lebih berhati-hati kerana cabaran serta keadaan keselamatan negara harus menjadi keutamaan kepada agenda nasional iaitu memelihara rakyat dan negara daripada sebarang ancaman keselamatan luar, yang sekiranya jika tidak ditadbir urus secara ketat boleh melumpuhkan sistem pentadbiran negara.

Keseimbangan perlu dicapai antara melindungi hak individu dengan memastikan keselamatan negara, integriti pilihan raya dan kepentingan awam terus dipelihara. Ini kerana pindaan yang tergesa-gesa atau dipengaruhi sentimen politik semata-mata boleh membawa implikasi jangka panjang terhadap sistem demokrasi negara.

Dalam memastikan integriti pilihan raya terus diperkukuh, kerjasama erat antara pelbagai institusi adalah amat penting.

Kerajaan, SPR, Jabatan Pendaftaran Negara, badan kehakiman dan agensi penguat kuasa perlu memainkan peranan masing-masing secara profesional, bebas dan berintegriti.

Penyelarasan maklumat antara agensi mampu mengurangkan kesilapan pentadbiran, manakala mekanisme semakan dan rayuan yang berkesan dapat memastikan setiap keputusan berkaitan kewarganegaraan dan pendaftaran pemilih dibuat secara adil serta telus.

Rakyat sendiri mempunyai tanggungjawab untuk memahami kepentingan kewarganegaraan dalam sistem demokrasi.

Pendidikan sivik dan literasi undang-undang seawal persekolahan peringkat menengah perlu diperkasakan supaya masyarakat memahami bahawa hak mengundi bukan sekadar satu keistimewaan, tetapi merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Kefahaman yang baik mengenai proses pilihan raya dan undang-undang kewarganegaraan juga dapat mengelakkan penyebaran maklumat palsu serta mengurangkan salah faham yang sering timbul dalam ruang media sosial.

Hakikatnya, kekuatan sesebuah demokrasi tidak hanya diukur melalui kekerapan pilihan raya diadakan, tetapi juga melalui keyakinan rakyat terhadap integriti keseluruhan sistem.

Kepercayaan itu hanya dapat dipertahankan apabila proses penentuan kewarganegaraan dilaksanakan secara telus berlandaskan Perlembagaan dan bebas daripada sebarang penyalahgunaan.

Apabila status kewarganegaraan ditentukan dengan jelas dan hak mengundi diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, keputusan pilihan raya akan lebih mudah diterima oleh semua pihak.

Pilihan raya dan undang-undang kewarganegaraan merupakan dua komponen penting dalam sesebuah negara demokrasi.

Undang-undang kewarganegaraan yang telus menjadi asas kepada pelaksanaan pilihan raya yang berintegriti, bersih dan adil bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara.

Malaysia perlu terus memperkukuh kedua-dua aspek ini melalui tadbir urus yang baik, pematuhan kepada Perlembagaan dan komitmen semua pihak untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah dan Timbalan Pengarah di Pusat Undang-Undang Harun M. Hashim, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim(AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN