Dwibahasa tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan

Dwibahasa tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA dah submit assignment semalam.”

“Class cancel today ke, sir?”

Ungkapan-ungkapan seperti ini semakin biasa didengari dalam perbualan harian mahasiswa.

Tanpa disedari, mereka bertukar antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat yang sama.

Bagi ramai dalam kalangan kita, ia sekadar cara berkomunikasi yang pantas dan mudah. Namun, di sebalik kebiasaan itu, timbul persoalan yang wajar kita renungkan. Adakah kita benar-benar semakin menguasai dua bahasa atau sebenarnya semakin kurang menguasai kedua-duanya?

Persoalannya bukan sama ada mahasiswa perlu memilih antara bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Dalam dunia yang semakin global, penguasaan bahasa Inggeris sememangnya menjadi satu kelebihan. Bahasa itu membuka akses kepada ilmu, teknologi, penyelidikan dan peluang pekerjaan yang merentasi sempadan negara. Hakikat ini tidak dapat dinafikan.

Namun, kelebihan menguasai bahasa Inggeris tidak seharusnya membawa kepada pengurangan penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan mahasiswa yang bakal menjadi golongan profesional dan pemimpin masyarakat.

Kedua-dua bahasa mempunyai fungsi yang berbeza tetapi saling melengkapi. Cabaran sebenar bukanlah memilih salah satu daripadanya, sebaliknya memastikan kedua-duanya terus dikuasai dengan baik.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong perubahan ini. Globalisasi menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam banyak bidang, khususnya pendidikan tinggi, penyelidikan, teknologi dan ekonomi. Sebahagian besar jurnal ilmiah, buku rujukan dan pangkalan data akademik diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Dalam masa sama, banyak syarikat antarabangsa menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa komunikasi rasmi.

Maka, tidak menghairankan jika ramai mahasiswa melihat penguasaan bahasa Inggeris sebagai satu keperluan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas menamatkan pengajian.

Perubahan cara kita berkomunikasi juga memainkan peranan. Media sosial dan aplikasi pemesejan segera menggalakkan penggunaan bahasa yang ringkas, pantas dan tidak formal.

Bahasa rojak, singkatan perkataan serta campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris menjadi kebiasaan dalam komunikasi harian. Tambahan pula, algoritma media sosial banyak memaparkan kandungan antarabangsa, menyebabkan pengguna lebih terdedah kepada bahasa asing berbanding bahasa Melayu. Lama-kelamaan, corak penggunaan bahasa ini menjadi satu kebiasaan yang jarang dipersoalkan.

 

PENGUASAAN bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring, bukan dengan mengutamakan satu dan mengabaikan yang lain.

UBAH PERSEPSI

Yang lebih membimbangkan ialah apabila bahasa mula dikaitkan dengan persepsi terhadap status dan kecemerlangan. Masih terdapat segelintir mahasiswa yang menganggap penggunaan bahasa Inggeris lebih mencerminkan tahap pendidikan atau profesionalisme berbanding bahasa Melayu.

Persepsi seperti ini boleh menyebabkan mereka kurang yakin menggunakan bahasa Melayu ketika membuat pembentangan, berbincang dalam forum akademik atau berinteraksi dalam suasana rasmi. Sedangkan keyakinan berbahasa tidak sepatutnya bergantung pada bahasa yang digunakan tetapi pada kejelasan idea yang ingin disampaikan.

Kesan perubahan ini mungkin tidak begitu ketara dalam jangka masa pendek tetapi lambat-laun boleh menjejaskan penguasaan bahasa Melayu itu sendiri.

Pensyarah semakin kerap berhadapan dengan penulisan yang dipenuhi kesalahan ejaan, penggunaan istilah yang kurang tepat serta struktur ayat yang lemah. Apabila bahasa yang digunakan setiap hari semakin longgar, keupayaan menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti juga boleh terjejas.

Lebih penting daripada itu ialah peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Selama puluhan tahun, bahasa Melayu telah berkembang melalui pembinaan istilah, penerbitan buku, jurnal dan pelbagai hasil penyelidikan.

Jika bahasa ini semakin kurang digunakan dalam persekitaran akademik, menyebabkan usaha memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan juga akan menjadi semakin perlahan. Akhirnya, generasi akan datang mungkin mampu membaca ilmu dalam bahasa asing tetapi semakin kurang berupaya menghasilkan ilmu baharu dalam bahasa Melayu.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh mengabaikan hakikat masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan. Tidak semua menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian.

Graduan yang bakal berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, guru, jurutera, doktor, ahli akademik atau profesional lain perlu mampu menyampaikan ilmu dan berkomunikasi dengan masyarakat menggunakan bahasa yang difahami dengan jelas. Dalam konteks inilah penguasaan bahasa Melayu terus kekal penting.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukanlah tanggungjawab kerajaan atau institusi pendidikan semata-mata. Universiti boleh memperkukuh budaya penggunaan bahasa Melayu melalui seminar, debat, penulisan ilmiah dan penerbitan akademik.

Sementara pensyarah pula boleh terus membimbing pelajar menggunakan bahasa yang gramatis dalam tugasan dan pembentangan. Pada masa sama, mahasiswa sendiri perlu melihat penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai dua kemahiran yang saling menguatkan, bukannya saling menggantikan.

Malaysia sebenarnya mempunyai satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak negara, iaitu keupayaan untuk melahirkan graduan yang benar-benar dwibahasa.

Menguasai bahasa Inggeris membolehkan kita berhubung dengan dunia, manakala menguasai bahasa Melayu memastikan kita terus mampu berfikir, menulis dan menyampaikan ilmu dalam bahasa kebangsaan. Itulah keseimbangan yang perlu dipelihara.

Cabaran hari ini bukan memilih antara bahasa Melayu atau bahasa Inggeris tetapi memastikan kita tidak kehilangan keupayaan untuk menguasai kedua-duanya dengan baik. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bahagian Kimia di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN