‘Bersatu yang pacak bendera sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Bersatu yang pacak bendera sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Naib Presiden Bersatu, DATUK SERI AHMAD FAIZAL AZUMU menegaskan bahawa parti itu memasuki medan pilihan raya dengan keyakinan lebih tinggi, tanpa masalah kekurangan jentera malah semakin tersusun dan bersedia menghadapi saingan.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL bersama jurufoto FAUZI BAHARUDIN, Ahmad Faizal atau lebih mesra dipanggil Peja turut menjelaskan persepsi mengenai hubungan antara parti komponen PN, khususnya Bersatu dan Pas, selain mempertahankan bahawa kerjasama dalam gabungan itu masih kukuh demi mencapai matlamat bersama.

Katanya, perjuangan politik tidak seharusnya tertumpu kepada percaturan gabungan atau perebutan jawatan semata-mata. Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada isu yang lebih dekat dengan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan serta tadbir urus negara, tanpa mengabaikan prinsip perjuangan parti.

 

PASUKAN JENTERA BAHARU
MINGGUAN MALAYSIA: Datuk Seri boleh perincikan persiapan jentera Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi PRN Johor? Sebab penamaan calon diumumkan berasingan malah ada yang mengibaratkan hubungan Pas-Bersatu seperti pepatah, ‘tidur sebantal tetapi mimpi berbeza’?
Jika dibandingkan dengan pilihan raya sebelum ini, saya mendapati keadaan sekarang jauh lebih baik. Parti ini ditubuhkan pada 2016 dan pertama kali menyertai pilihan raya pada 2018, diikuti Pilihan Raya Umum 2022 serta PRN 2022. Berdasarkan pengalaman itu, saya lihat kekuatan jentera pada kali ini meningkat ketara berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat sedikit cabaran di beberapa bahagian apabila berlaku permasalahan dalaman parti baru-baru ini. Ada kumpulan mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti. Keadaan itu menyebabkan sedikit gangguan di kawasan-kawasan tertentu.

Namun, setakat hari ini saya melihat masalah itu berjaya diselesaikan. Daripada segi jumlah anggota jentera, tidak timbul masalah besar kerana kita telah berjaya membentuk pasukan baharu.

Cuma, sebahagian mereka masih kurang berpengalaman dan memerlukan pendedahan tentang tanggungjawab, kaedah bekerja serta pengurusan gerak kerja pilihan raya.

Memasuki minggu kedua kempen PRN ini, saya mendapati pergerakan calon-calon dan pembahagian tugasan kepada para jentera menjadi semakin teratur dan berkesan.

Daripada segi kerjasama dengan parti-parti komponen pula, di Johor kita tidak melihat sebarang masalah besar. Bersatu agak dominan dari segi kekuatan organisasi di negeri ini. Selain itu, Gerakan mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon, sekali gus membolehkan jentera mereka memberi tumpuan sepenuhnya membantu kempen di semua bahagian yang terlibat dalam pilihan raya.

RUNDINGAN BAIK
Mengenai persepsi terdapat ketidakserasian antara parti komponen dalam PN, boleh Datuk Seri jelaskan?
Saya mengakui perkara itu timbul kerana umum mengetahui Pas sebelum ini mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan Bersatu. Namun, pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon, Majlis Tertinggi PN telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan secara panjang lebar pembahagian kerusi dan perkara-perkara berkaitan. Saya sendiri terlibat secara langsung sebagai wakil Parti Bersatu dalam rundingan tersebut.

Sepanjang proses itu, saya mendapati hubungan dan perbincangan antara semua pihak berjalan sangat baik. Hampir semua permasalahan berjaya diselesaikan. Walaupun terdapat satu atau dua perkara yang tidak mencapai persetujuan sepenuhnya, secara keseluruhannya semua pihak menerima keputusan yang dipersetujui bersama.

Di peringkat akar umbi pula, saya melihat setiap parti memberi tumpuan kepada kawasan masing-masing dan bekerja bersungguh-sungguh demi memastikan kejayaan PN.

Baru-baru ini, kita juga mendengar kenyataan daripada Pengerusi PN yang menegaskan tidak pernah ada arahan kepada Pas untuk memboikot atau tidak mengundi mana-mana calon daripada parti komponen lain. Begitu juga, tiada arahan kepada penyokong Pas supaya tidak menyokong calon-calon PN daripada Bersatu.

Alhamdulillah, dengan penegasan tersebut, saya yakin semua rakan dalam komponen PN akan terus bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon-calon di 33 kerusi yang ditandingi.

GERAK JENTERA BERSATU
Bagaimana dengan gerak kerja jentera dan kempen, ada calon di DUN tertentu hanya bergerak dengan jentera Bersatu, komen Datuk Seri?
Saya akui ada kawasan yang mana jentera Bersatu ini agak lemah. Saya juga perlu menyatakan ada juga kawasan yang mana jentera Bersatu kuat dan jentera parti-parti komponen lain pula lemah tetapi itulah namanya kita bekerjasama dalam sebuah gabungan

Jadi, apa yang saya hendak nyatakan, kadang-kadang walaupun kita mempunyai jentera ramai tetapi duduk berlonggok di dalam bilik gerakan tanpa membuat kerja untuk mendapatkan undi dan sebagainya tidak akan memastikan atau menentukan kejayaan bagi parti. Jangan kerana kita ada satu ceramah dan didatangi oleh ramai orang dan itu yang menentukan kemenangan bagi parti kita.

Kita perlu memahami keadaan di setiap kawasan berbeza. Sebagai contoh, di DUN Stulang, majoriti pengundinya bukan terdiri daripada pengundi Melayu. Oleh itu, adalah perkara biasa jika kehadiran jentera Pas di kawasan tersebut tidak begitu ketara.

Bagaimanapun, jentera Bersatu di sana turut dibantu sayap parti serta rakan daripada parti komponen PN seperti MIPP dan Gerakan. Sebab itu, saya katakan keadaan berbeza mengikut kawasan. Jika dibandingkan dengan kawasan seperti Parlimen Pagoh, khususnya DUN Bukit Pasir dan Bukit Kepong, saya melihat jentera Bersatu sangat ramai dan benar-benar bersedia. Bendera, papan iklan dan bahan kempen juga telah dipasang dengan meluas.

Memang, jika dilihat secara zahir, bantuan daripada jentera parti-parti komponen lain tidak begitu ketara di kawasan-kawasan tersebut.

Namun begitu, ketika saya turun ke DUN Serom, terdapat juga ahli dan penyokong Pas yang hadir membantu kempen. Walaupun jumlahnya tidak begitu besar, kehadiran tetap ada. Apabila saya bertanya kepada mereka, mereka menjelaskan bahawa secara peribadi mereka tetap menyokong PN.

Jika tiada bantuan daripada mana-mana parti rakan dalam PN, hanya Bersatu sahaja, maksudnya tidak mendapat bantuan gerak kerja, mampukah Bersatu bergerak dan memacak bendera sendiri?
Itulah yang saya cuba sampaikan tadi melalui jawapan saya, bahawa di kerusi-kerusi yang Bersatu bertanding menggunakan logo PN, hari ini kami menggunakan jentera kami sendiri.

Saudara-saudara boleh turun ke padang melihat, kalau ada bendera yang dipacak, budak-budak Bersatulah yang menaikkannya. Saya akui di Johor, jenama Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih popular daripada jenama Bersatu ataupun jenama PN. Ke mana-mana saya pergi, apabila saya mengatakan saya daripada PN dan Bersatu, antara perkara yang saya ketawalah juga apabila mereka bertanya kembali, “Kenapa awak datang berkempen tetapi gambar Tan Sri Muhyiddin belum dipasang lagi?” Bagi mereka, Tan Sri Muhyiddin ikon yang cukup istimewa dalam kalangan orang Johor.

ADA PERUBAHAN SOKONGAN
Bertanding di 16 kerusi, adakah Bersatu terasa membawa beban atau ada sasaran untuk capai kemenangan?
Insya-Allah, kerana di tempat-tempat yang kami pergi dan tandingi, kami telah membuat kajian dan mendapati sokongan daripada pengundi di kawasan tersebut amat positif. Oleh itu, kami mempertaruhkan calon-calon kami dan berharap dapat memenangi kerusi-kerusi tersebut. Usaha telah dibuat, dan jika mendapat sokongan yang baik daripada para pengundi pada 11 haribulan nanti, insya-Allah kami akan memberikan satu kejutan dalam pilihan raya ini.

Ramai yang mengatakan peluang kami agak tipis, namun selepas penamaan calon, kami dapat melihat perubahan keadaan. Ramai juga yang tidak berpuas hati dengan pelbagai perkara dan mahu mengalihkan sokongan mereka kepada calon baharu daripada Bersatu.

FOKUS MASALAH RAKYAT
Secara atas kertas, Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu. Namun masih berada dalam keluarga PN. Jadi, adakah PRN Johor ini untuk melihat sejauh mana kekuatan dan sokongan Bersatu, dan sama ada tidak mustahil Bersatu akan disingkirkan daripada PN? Adakah Bersatu bersedia menghadapi kemungkinan itu?
Wallahu a’lam, saya bukanlah orang yang ada ilmu atau kasyaf untuk mengetahui perkara-perkara seperti itu, saya tidak dapat melihat perkara yang tidak nampak.

Tetapi bagi kami, kami adalah antara pengasas Bersatu dan PN yang diilhamkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rakan-rakan komponen lain. Saya fikir kalau tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, sepatutnya bukan Bersatu yang keluar, itu yang sepatutnya berlaku. Hendak tendang kami ini saya fikir maksudnya, kami yang buat rumah itu? Ya, takkan kami yang kena keluar macam itu?

Tetapi kalau kita sudah duduk serumah, dalam konteks Malaysia hari ini, kalau kita hendak cakap tentang perpaduan, tidak bolehlah kita terlalu sangat macam sesetengah orang itu yang mengikut keadaan dan masanya berkata saya ialah penyokong nombor satu sampai menangis-nangis, lepas satu masa lain saya musuh nombor satu, kemudian oleh kerana terlalu terpersona dengan orang ini kita hendak halau teman serumah kita keluar dari rumah kita ataupun kita mahu memusnahkan rumah tersebut. Itu tidak kenalah.

Kalau kita bercakap tentang perpaduan orang Melayu, kita perlu mulakan dengan diri sendiri. Jangan cakap lain buat lain, dan jangan cepat percaya maklumat tidak tepat tanpa bersemuka. Masalah komunikasi perlu diselesaikan satu persatu, tanpa perlu bergaduh tentang siapa yang patut jadi Perdana Menteri, Timbalan atau menteri.

Kita sepatutnya fokus kepada masalah rakyat seperti kos sara hidup yang meningkat, kesusahan rakyat untuk bekerja, berniaga dan belajar. Ramai juga yang sudah bekerja tetapi sukar naik pangkat, malah doktor pun hanya dikontrakkan. Itu semua masalah rakyat yang perlu dibincangkan, bukan lagi soal (cubaan mencatur) jika Pas campur UMNO, campur ini, Bersatu ‘mati’, atau jika gabungan yang ini dan ini bergabung, yang itu akan runtuh.

FIKIR KEPENTINGAN BERSAMA
Jadi Datuk Seri, bagaimana cara untuk membina ‘rumah’ PN yang benar-benar kukuh?
Apabila kita mahu memperkukuhkan rumah yang telah dibina, membesarkan dan menguatkan lagi asasnya, kita sendiri perlu membersihkan hati dengan sebaiknya. Jangan kerana ingin menjadi ketua rumah menyebabkan kita bergaduh dengan teman serumah, kerana itu tidak penting.

Kita mahu kebaikan untuk semua, bukan untuk kumpulan kecil atau parti yang kita wakili semata-mata. Dalam persatuan ini, perjuangan kami adalah untuk agama, bangsa dan negara. Apabila kami menjadi kerajaan nanti, kami juga mahu menjaga semua pihak termasuk PKR, Amanah dan DAP, supaya mereka faham bahawa di Malaysia ini kita perlu hidup secara harmoni dalam masyarakat berbilang bangsa, bukan hanya fokus kepada kepentingan sendiri.

Namun dalam rumah kami juga, saya mahu jelaskan, saya tidak mengatakan saya sahaja betul, dan orang lain juga tidak boleh merasakan hanya dia sahaja yang betul. Kita perlu lebih banyak berfikir tentang kepentingan bersama, walaupun ada perkara yang mungkin perlu kita korbankan.

Saya sendiri telah buktikan banyak kali, jika perlu saya turun daripada jawatan seperti Menteri Besar, saya akan turun tanpa bergaduh dengan pengganti. Tetapi kadang-kadang, ada pihak yang berubah sikap dan tidak mahu bekerjasama, sedangkan kita bercakap tentang perpaduan.

Kalau benar hendak perpaduan, bentuklah kerajaan bersama, tetapi cakap lain, buat lain, dan kemudian bercakap tentang perjuangan agama dan bangsa, sedangkan itu tidak konsisten. Dalam perjuangan ini, jika itu takdirnya, kita tetap sahabat. Kalau benar kita yakin kepada Allah, kita boleh teruskan perjuangan walaupun seorang diri.

KEKANGAN KEWANGAN?

Walaupun ada pihak mengatakan sumber kewangan parti sudah tidak sekuat dahulu kerana ada akaun yang dibekukan atau disita, bagaimana keadaan ini memberi kesan kepada gerak kerja dan jentera pilihan raya, adakah Bersatu masih mampu menanggung semua kos itu?
Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada Mingguan Malaysia bertanya soalan ini. Saya juga ingin bertanya balik di sini, sampai bila akaun Bersatu hendak disita? Ini adalah duit parti. Presiden kami juga telah didakwa kerana isu berkaitan dana sumbangan parti dan masih dalam perbicaraan mahkamah, dan keadaan ini menyebabkan parti kami sukar untuk bergerak seperti biasa.

Jadi, bagaimana kita hendak bergerak dalam keadaan begitu? Tetapi setakat ini alhamdulillah, walaupun penuh kepayahan, penderitaan dan kesukaran, kami tetap bergerak. Rupa-rupanya Allah telah menetapkan rezeki, kalau ulat dalam batu pun ada rezekinya.

Kami bergerak dengan cara yang sangat sederhana, ada kawan yang menyumbang sedikit-sedikit, lima atau sepuluh ringgit, untuk membantu program dan perjalanan. Kadang-kadang kami terpaksa berkongsi kos, sewa rumah kecil untuk tidur ramai-ramai, ada yang tidur di homestay, ada yang tidur dalam kereta, dan jentera bergerak secara bergilir-gilir, dua malam di satu tempat sebelum diganti dengan pasukan lain.

Itulah cara kami bergerak, dan jika ada pilihan raya lain pun mungkin kaedah sama akan digunakan. Dalam keadaan susah, manusia tetap akan mencari jalan, dan rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah, jadi tidak perlu terlalu risau. Sebenarnya, walaupun sukar, kami masih mampu bergerak, walaupun tidak semewah dahulu, tetapi alhamdulillah masih berjalan dengan baik.

Adakah bermaksud untuk bertanding di keseluruhan negeri itu, Bersatu melihat kekangan kewangan sebagai faktor utama? Dan untuk kemungkinan PRN lain seperti Negeri Sembilan, adakah keputusan bertanding berapa kerusi juga dipengaruhi sumber kewangan atau lebih kepada kekuatan di kawasan yang boleh menang?
Kedua-duanya. Kita ambil kira semua perkara. Kewangan pun penting, kekuatan pun penting, tetapi kami lebih fokus sekarang ini kepada apa yang kami mahu dan apa yang perlu kami lakukan.
Kami tahu tahap mana yang kami hendak capai dan di mana serta apakah peranan yang kita hendak mainkan. Kami faham perkara itu.

PERSAINGAN ANTARA PARTI
Bagaimana Datuk Seri melihat persaingan Bersatu dengan parti lain dalam PRN Johor?
Bila ditemuramah ini, maknanya Bersatu, PN masih ada cengkaman dan nilainyalah, tetapi saya tidak menafikan kemampuan parti lain di Johor, termasuk UMNO dan Barisan Nasional yang kelihatan agak solid. Saya fikir itu juga antara sebab mengapa tidak semua parti lain, kecuali PH, bertanding di kesemua 56 kerusi kerana PH mempunyai kekuatan kewangan, Kerajaan Persekutuan, dan sebagainya, manakala di peringkat negeri pula UMNO memerintah, jadi parti-parti lain terpaksa memilih kerusi tertentu sahaja.

Akhirnya, yang penting adalah jika kami berjaya, kami akan menjadi kerajaan, dan jika tidak berjaya sekalipun kami akan menjadi pengimbang yang baik. Namun jika kami bergabung dengan parti-parti lain seperti Muda atau Bersama yang turut bertanding, ia masih boleh membentuk kerajaan kerana politik ini sangat dinamik.

Dengan 16 kerusi Bersatu sahaja memang tidak cukup untuk membentuk kerajaan, tetapi melalui kerjasama dengan parti lain, ia masih boleh berlaku. Dalam keadaan itu, UMNO pula boleh menjadi pengimbang yang baik.

Terdapat persepsi dalam kalangan orang ramai dan pihak tertentu yang mengatakan Bersatu tidak mustahil akan bergabung dengan PH. Ada juga yang melihat perkara ini sebagai satu kemungkinan politik berdasarkan sejarah sebelum ini pada 2018 ketika pernah bersama dalam kerajaan?
Saya tidak pasti sama ada ia satu harapan atau doa daripada segelintir pemimpin yang terlalu ingin kami bersama PH. Ya, memang pernah bersama pada 2018 ketika awal penubuhan kerajaan, tetapi saya melihat ada kelompok tertentu yang baru menubuhkan parti yang sangat mahukan perkara itu berlaku. Mereka terlalu berkehendakkan hal tersebut, sedangkan saya nampak mereka sendiri pernah bersama pihak lain sebelum ini.

Saya rasa ini semua seperti permainan persepsi, orang suka bercakap jika Bersatu bersama PH, siapa jadi Perdana Menteri, siapa jadi Timbalan Perdana Menteri, kalau Bersatu bersama Pas atau UMNO pun perkara sama akan ditanya. Ini semua perbincangan yang tidak membawa manfaat.

Saya ingin menyeru wartawan untuk bertanya kepada semua pimpinan tentang perkara sebenar yang lebih penting, iaitu keadaan orang Melayu hari ini, sama ada cukup makan, pendidikan baik atau tidak, dan sama ada keadaan kita lebih baik daripada dahulu? Saya rasa kita terlalu fokus kepada permainan politik sedangkan itu merugikan negara dan pemikiran rakyat. Kita sepatutnya membincangkan perkara yang lebih penting seperti kesejahteraan rakyat, bukannya terus berbicara tentang siapa jadi apa dalam politik.

Kita hanya mahu memperjuangkan agama, memartabatkan bangsa, dan memastikan Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa. Kita mahu rakyat hidup lebih baik, kos sara hidup terkawal, dan rakyat di kampung mendapat akses kesihatan yang baik. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN