Tiada pembangunan boleh atasi kepentingan awam - Utusan Malaysia

Tiada pembangunan boleh atasi kepentingan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Banjir kilat, lubang benam, isu warga asing dan penjaja haram antara cabaran yang terus menjadi perhatian dan tuntutan tinggi bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur, DATUK SERI FADLUN MAK UJUD dalam memastikan setiap isu ditangani secara berkesan dan berterusan.

Selepas hampir lapan bulan menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau mengakui pengurusan sebuah bandar raya besar memerlukan pendekatan yang lebih kompleks, melibatkan pelbagai agensi, perancangan jangka panjang serta penggunaan teknologi yang lebih meluas.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, dibantu jurufoto dan juruvideo, SADDAM YUSOFF serta MOHD. FIKRI FADZIL, Fadlun menjelaskan langkah dan pencapaian DBKL dalam menangani pelbagai isu bandar, selain berkongsi visi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih selamat, teratur, mampan dan berdaya saing menjelang 2040.

Memuatkan artikel berkaitan…

MINGGUAN MALAYSIA: Hampir lapan bulan Datuk Seri menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur, mungkin ada perbezaan jika dibandingkan ketika mengurus bandar Putrajaya?
Dalam mengurus bandar, isu asasnya sebenarnya sama ada di Putrajaya, Kuala Lumpur atau bandar lain. Yang membezakan hanyalah tahap kompleksitinya. Contohnya, isu sampah wujud di kedua-dua tempat, tetapi di Kuala Lumpur pengurusannya lebih mencabar kerana kawasan lebih luas, masyarakat lebih pelbagai, dan terdapat pelbagai premis seperti pasar borong, pusat penjaja serta kompleks perniagaan yang menghasilkan jumlah sisa yang lebih besar.

Selain itu, pengurusan di Kuala Lumpur melibatkan lebih banyak agensi dan syarikat berbanding Putrajaya. Namun saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sukar kerana saya dibantu oleh pasukan yang berpengalaman di DBKL.

Sepanjang lapan bulan memegang jawatan, saya telah banyak belajar mengenai pengurusan sebuah bandar raya yang besar dan kompleks seperti Kuala Lumpur.

TUNGGAKAN SEWA PPR TURUN
Apakah status tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam(PA) kendalian DBKL setakat ini?
Pendekatan Pelan Pengurusan Hasil Sewa telah menunjukkan hasil yang positif.

Jumlah tunggakan sewa yang pernah mencecah RM53.83 juta pada 2022 berjaya dikurangkan kepada RM51.41 juta pada 2024 dan seterusnya menurun dengan lebih ketara kepada RM39.16 juta pada tahun lalu.

Sehingga 31 Mei lalu, jumlah tunggakan terus menurun kepada RM37.2 juta, iaitu penurunan sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya. Lebih penting, angka ini merupakan jumlah tunggakan terendah yang direkodkan dalam tempoh tujuh tahun.

Perkembangan ini menunjukkan semakin ramai penghuni memahami kepentingan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Matlamat akhirnya bukan sekadar mengurangkan tunggakan, tetapi memastikan Kuala Lumpur terus menyediakan perumahan awam yang selesa, terurus dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

HOTSPOT BANJIR KILAT BERKURANGAN
Isu banjir kilat masih berulang di beberapa kawasan Kuala Lumpur. Apakah langkah jangka pendek dan jangka panjang yang sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah ini?
Alhamdulillah, hasil pelbagai usaha yang dilaksanakan, jumlah lokasi hotspot air bertakung di Kuala Lumpur telah berjaya dikurangkan daripada lebih 30 lokasi kepada 14 lokasi.
Flying Squad DBKL akan dikerahkan ke tapak dalam masa satu jam selepas hujan lebat untuk membersihkan inlet longkang yang tersumbat oleh daun contohnya bagi memastikan air segera surut.

Bagi jangka pendek, tumpuan diberikan kepada langkah-langkah yang boleh memberikan kesan segera kepada rakyat. Ini termasuk kerja-kerja pembersihan saliran dan parit, pengorekan kelodak sungai dan longkang, penyelenggaraan kolam takungan banjir, pembersihan perangkap sampah, pemotongan semak samun serta naiktaraf sistem saliran di kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Kerja-kerja mengorek sungai (desilting) dilakukan secara berkala, contohnya di Sungai Toba dan Sungai Kerayong. Selain itu, terdapat 9 On Site Detention (OSD) Pond bawah tanah untuk menampung air larian sebelum dilepaskan ke sungai, yang mana air tersebut juga boleh dikitar semula untuk penyiraman pokok.

Aset seperti pam dan lori tangki digunakan untuk mempercepatkan pengaliran air bertakung apabila berlaku hujan lebat. Pada masa sama, penguatkuasaan terhadap tapak pembinaan turut dipertingkat bagi memastikan sistem kawalan kelodak diselenggara dengan baik dan tidak menjejaskan aliran air.

Dari aspek pemantauan pula, CCTV digunakan bagi membolehkan keadaan semasa, dipantau secara masa nyata. Maklumat ini membolehkan pasukan di lapangan digerakkan dengan lebih pantas untuk menguruskan aliran trafik, membantu pengguna jalan raya dan mengurangkan impak banjir kepada warga kota.

Untuk jangka panjang, semua tindakan dilaksana secara terancang melalui Pelan Induk Mitigasi Banjir DBKL. Pelan ini memberi keutamaan kepada kawasan yang kerap mengalami banjir berdasarkan rekod kejadian dan kajian teknikal yang terperinci.

Bagi tahun ini, sebanyak lapan projek tebatan banjir sedang dilaksanakan dengan nilai sekitar RM60 juta.

Saya ingin tegaskan, menangani banjir memerlukan pelan jangka panjang; ia bukan penyelesaian singkat. Ia perlukan dana berterusan dan perancangan komprehensif.

Bagaimanapun, keutamaan saya tidak berubah iaitu menjamin keselesaan warga kota dan memastikan Kuala Lumpur selamat serta berdaya huni.

KOLAM TAKUNGAN: /KETATKAN KELULUSAN PEMBANGUNAN
Dengan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya berbaki sekitar 30 peratus daripada saiz asal, apakah penyelesaian lanjut diambil dan sama ada DBKL mengenalpasti kawasan kolam takungan baharu?
Kolam takungan banjir ditentukan dan dikawal oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berdasarkan kawasan tadahan air (catchment). Sebahagian kawasan yang dahulunya dikhaskan sebagai rezab kolam takungan telah berkurangan kerana telah diberi hak milik atau dibangunkan.

Oleh itu, pihak berkuasa kini memberi kelulusan pembangunan yang lebih ketat bagi memastikan fungsi kolam takungan tidak terjejas.

JPS menetapkan jumlah kapasiti air yang perlu dikekalkan dalam kolam takungan, contohnya sekitar 2.1 juta liter. Semua pembangunan di kawasan berhampiran kolam perlu mematuhi syarat yang ditetapkan JPS.

Laluan penyelenggaraan mesti disediakan supaya JPS boleh menjalankan kerja korekan dan penyenggaraan bagi mengekalkan kapasiti kolam.

Untuk kawasan yang melibatkan tapak di atas atau berhampiran kolam takungan, kelulusan hanya diberikan selepas semua jabatan berkaitan mengeluarkan surat tiada halangan.

Tiada lagi amalan kelulusan bersyarat; pemaju perlu memenuhi syarat sepenuhnya terlebih dahulu.

Pemaju diwajibkan memberi hak kepada JPS untuk memasuki kawasan tertentu bagi tujuan penyelenggaraan kolam takungan.

Bagi perancangan jangka panjang, JPS dijangka mempunyai pelan induk bagi memastikan air larian permukaan dapat ditampung sebelum memasuki sungai. Matlamatnya adalah mengurangkan risiko banjir dan mengawal aliran air hujan.

DBKL juga mewajibkan pembinaan On-Site Detention (OSD) di kawasan pembangunan. OSD berfungsi seperti kolam takungan tetapi dibina di bawah tanah. Air hujan disimpan sementara di dalam OSD dan hanya dilepaskan ke sungai apabila paras air sungai menurun. Air yang disimpan dalam OSD turut boleh digunakan semula untuk tujuan pengairan seperti menyiram pokok.

Semua pembangunan swasta diwajibkan menyediakan OSD masing-masing. Dalam jangka panjang, kewujudan banyak OSD dijangka membantu menggantikan sebahagian keperluan kolam takungan terbuka dan meningkatkan pengurusan air larian bandar.

Walaupun keluasan rezab kolam takungan telah berkurangan, pihak berkuasa dan JPS berusaha mengekalkan kapasiti kawalan banjir melalui syarat pembangunan yang lebih ketat, penyediaan OSD, akses penyelenggaraan kepada JPS, dan perancangan jangka panjang pengurusan air larian.

LAPORAN KAJIAN LUBANG BENAM SIAP NOVEMBER

Dalam isu lubang benam di sekitar ibu kota, apakah hasil laporan kajian setakat ini?
Laporan kajian kini hampir siap. Kajian struktur tanah yang dijalankan oleh pakar perunding Kumpulan IKRAM Sdn. Bhd. (Ikram) sekitar kawasan segitiga emas Kuala Lumpur melibatkan keseluruhan jajaran sepanjang 32.2 kilometer dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2026.

Setakat ini, kerja-kerja cerapan di lapangan hampir selesai sepenuhnya dan kajian kini memasuki peringkat analisis sampel serta ujian teknikal yang lebih terperinci.

Kajian yang sedang dijalankan bukan hanya tertumpu kepada isu lubang benam, tetapi turut melibatkan pemetaan utiliti bawah tanah, keadaan paip dan infrastruktur berkaitan bagi mengenal pasti risiko serta langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

Keutamaan diberikan kepada kawasan Jalan Masjid India. Kerja pemetaan di kawasan tersebut telah selesai dan tindakan susulan akan dilaksanakan dengan segera.

Sistem laluan pejalan kaki di kawasan Jalan Masjid India akan ditambah baik. Laluan yang kini menggunakan interlocking pavers akan ditukar kepada permukaan konkrit bagi meningkatkan keselamatan pengguna sekiranya berlaku kebocoran paip atau hakisan di bawah tanah.

Penggunaan konkrit dapat mengurangkan risiko permukaan mendap atau runtuh akibat masalah di bawah tanah seperti kebocoran paip. Ini membantu memastikan keselamatan pejalan kaki.

Kajian turut melibatkan cadangan kepada agensi berkaitan seperti Air Selangor sekiranya terdapat keperluan untuk membaiki atau menggantikan paip tertentu. Hasil penuh kajian dijangka diumumkan kepada umum selepas laporan siap pada November tahun ini, termasuk cadangan dan tindakan susulan yang akan diambil.

Apakah tindakan yang diambil bagi menangani dan menyelesaikan isu penjaja haram dan premis perniagaan warga asing di ibu kota?
Saya berkongsi kebimbangan peniaga tempatan dan warga kota yang mahukan persekitaran perniagaan yang adil, teratur dan mematuhi undang-undang.

Keutamaan saya bukan sekadar mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi memastikan mereka yang berniaga secara sah tidak terjejas akibat persaingan yang tidak adil.

Apabila ada pihak yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran atau menggunakan warga asing secara tidak sah, mereka bukan sahaja melanggar peraturan, malah menafikan hak peniaga yang mematuhi syarat lesen serta membayar cukai dan permit yang ditetapkan. Tindakan diambil secara bersepadu dengan kerjasama agensi lain seperti Imigresen, polis untuk keberkesanan optimum.

Apakah tindakan yang dilaksanakan oleh DBKL bagi menambah baik proses kelulusan perancangan?
Saya memahami bahawa rakyat mahu melihat setiap keputusan pembangunan di Kuala Lumpur dibuat secara telus, adil dan mengutamakan kepentingan awam.

Dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) telah dinyatakan semua lot– lot tanah mempunyai nisbah plot yang dibenarkan untuk pembangunan.

Kepercayaan rakyat terhadap proses perancangan bandar adalah sangat penting kerana keputusan yang dibuat hari ini akan memberi kesan kepada kehidupan warga kota untuk puluhan tahun akan datang.

Pendirian saya jelas. Tiada pembangunan boleh mengatasi kepentingan awam dan semua permohonan pembangunan mesti mematuhi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).

Pada masa ini, DBKL telah mempunyai proses kelulusan perancangan yang baik dengan penglibatan agensi-agensi yang berkaitan. Apa yang DBKL lakukan ialah dengan membuat penambahbaikan ke atas sistem contohnya memberi peluang kepada pemilik lot–lot bersebelahan untuk mengemukakan pandangan sekiranya perancangan pembangunan melebihi intensiti atau plot ratio yang dibenarkan.

Ahli-ahli Parlimen juga boleh mengetahui berkenaan cadangan pembangunan di kawasan masing-masing dengan mengakses maklumat berkaitan di portal OSC.

Mereka juga selaku Ahli Parlimen boleh mengemukakan cadangan atau bantahan terhadap cadangan pembangunan tersebut. Sekiranya permohonan pembangunan mematuhi semua keperluan dan syarat-syarat, DBKL akan memberi kelulusan segera dalam tempoh 21 hari. Ia bagi menggalakkan pembangunan yang memberi impak kepada ekonomi negara.

PENGURUSAN KEWANGAN TELUS
Dengan bajet hampir RM3 bilion setahun, bagaimana rakyat boleh diyakinkan bahawa pengurusan kewangan DBKL benar-benar telus dan bebas daripada Ketirisan?
Untuk bajet tahun 2027, DBKL telahpun memulakan proses mendapatkan pandangan melalui portal yang disediakan. Ia akan melalui banyak peringkat termasuk projek-projek yang akan dilaksanakan mengikut kawasan Parlimen.

Sebelum bajet diluluskan oleh Yang Berhormat Menteri, pembentangan bajet kepada Ahli Parlimen juga diadakan menerusi Majlis Menteri Wilayah. Sebagai langkah memperkukuh semak dan imbang, DBKL telah menubuhkan lima Jawatankuasa Pemantau Belanjawan yang dipengerusikan oleh Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada masa sama, pemantauan terhadap penggunaan peruntukan dan pelaksanaan projek turut dilaksanakan secara berkala melalui Mesyuarat Konsultansi di semua 11 kawasan Parlimen Kuala Lumpur yang melibatkan Ahli Parlimen dan pengurusan tertinggi DBKL.

Bagi saya, setiap dana yang diuruskan oleh DBKL adalah amanah. Wang ini perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih baik, kemudahan awam yang berkualiti, persekitaran bandar yang lebih bersih dan selamat.

Sebab itu, keutamaan saya adalah memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara telus, berakauntabiliti dan tertakluk kepada pemantauan yang berterusan.

BANDAR PINTAR: MANFAAT TEKNOLOGI AI, CCTV
Dengan perkembangan teknologi dan konsep bandar pintar (smart city), apakah visi Datuk Seri untuk menjadikan Kuala Lumpur lebih mesra rakyat, digital dan mampan?
DBKL telah melepasi peringkat pertama sebagai Smart City Adopter dan kini sedang bergerak ke peringkat seterusnya untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai bandar pintar yang berwawasan. Kita juga baru melantik perunding untuk buat kajian bagi penyediaan blueprint Smart City sehingga 2040, ke mana hendak kita bawa halatuju Kuala Lumpur melalui teknologi.

DBKL akan memperluaskan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai aspek pengurusan bandar. Teknologi ini akan membantu meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong proses membuat keputusan yang lebih tepat dan pantas.

AI akan digunakan untuk menganalisis data bandar secara lebih menyeluruh, membantu pemantauan infrastruktur, keselamatan, trafik dan pelbagai aspek pengurusan bandar. Penggunaan AI juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dalam proses pemantauan dan analisis.

DBKL kini mempunyai 10,000 CCTV yang akan digunasama oleh agensi- agensi lain terutamanya PDRM, JPJ dan DBKL sendiri. Sistem dengan penggunaan AI ini boleh membantu pemantauan trafik, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan awam serta pengeluaran saman secara lebih berkesan.

CCTV yang ada bagi pengawalan keselamatan juga turut digunakan untuk pengecaman wajah dan analisis imej. Teknologi ini membantu mengenal pasti individu atau mengesan pergerakan tertentu dalam kawasan bandar apabila diperlukan oleh pihak berkuasa. Kita sudah boleh scan, kita mulakan dengan scan ulat-ulat foto (jurugambar haram).

Teknologi pintar juga akan digunakan untuk memantau kesihatan pokok matang secara masa nyata, mengurus risiko cerun, mengawal banjir, serta memantau kawasan yang berisiko mengalami sinkhole atau mendapan tanah. Data yang tepat membolehkan pihak pentadbir membuat keputusan yang lebih tepat.

Dengan maklumat yang lengkap, tindakan pencegahan boleh diambil lebih awal sebelum sesuatu masalah berlaku, sekali gus mengurangkan risiko dan kos penyelenggaraan.

Kita akan segera menyiapkan Kuala Lumpur Urban Observatory (KLUO) yang akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pengurusan data bandar atau Big Data System. Sistem ini akan menjadi hab maklumat yang membantu agensi membuat analisis serta keputusan berdasarkan data yang lebih komprehensif.

Sebagai contoh, jika data menunjukkan sesuatu paip telah mencapai usia yang memerlukan penggantian, tindakan boleh diambil lebih awal sebelum berlaku kerosakan atau kebocoran.
Semua perancangan ini bermatlamat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bertaraf dunia yang setanding dengan bandar-bandar maju lain. Dengan data yang kukuh dan penggunaan teknologi yang berkesan, perkhidmatan bandar dapat dipertingkatkan dan kualiti hidup warga kota dapat terus diperkasa. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini