1 Jun 2026 menjadi kejutan walaupun bukan di luar jangkaan ke atas pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Apabila Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN) Johor mula diperkatakan selepas itu, tumpuan terarah kepada persoalan siapa menang, siapa kalah, berapa kerusi yang bakal berubah tangan dan sejauh mana pengaruh parti-parti politik utama serta kemunculan parti baharu. Namun, melihat PRN Johor semata-mata melalui angka kerusi mungkin menyebabkan kita terlepas pandang satu perubahan lebih besar sedang berlaku dalam landskap politik negeri itu.
Hakikatnya, Johor hari ini bukan lagi sekadar sebuah negeri yang mempunyai sejarah politik yang panjang sebagai kubu tradisional Barisan Nasional (BN). Johor sedang melalui proses transformasi ekonomi dan sosial yang berpotensi mengubah cara pengundi membuat pilihan politik mereka. Atas sebab itu, PRN Johor perlu dilihat sebagai lebih daripada sekadar pertembungan politik biasa. Ia merupakan medan untuk menguji model politik baharu yang mungkin menentukan hala tuju politik Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dari Kubu Politik ke Makmal Politik
Sejak sekian lama, Johor sering dianggap sebagai fixed deposit politik bagi BN. Namun perkembangan politik sejak 2018 menunjukkan bahawa tiada lagi negeri yang boleh dianggap sebagai milik kekal mana-mana parti.
Sebaliknya, Johor kini boleh dilihat sebagai future deposit, iaitu negeri yang bakal memberi kelebihan kepada parti yang paling berjaya meyakinkan rakyat tentang masa depan yang ingin dibina.
Dalam konteks ini, PRN Johor bukan lagi soal mempertahankan legasi politik masa lalu, tetapi pertandingan menawarkan visi masa depan. Menariknya, pilihan raya kali ini berpotensi menyaksikan pertembungan dua naratif besar.
Naratif pertama adalah nostalgia politik, yang menekankan kestabilan, pengalaman dan rekod pentadbiran yang pernah membawa kejayaan kepada negeri. Naratif kedua pula, adalah aspirasi masa depan yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi baharu, peluang pekerjaan berkualiti, transformasi digital dan kedudukan Johor sebagai hab ekonomi serantau.
Persoalan utama yang bakal dijawab pengundi adalah sama ada mereka lebih tertarik kepada pengalaman masa lalu atau harapan terhadap masa depan mahupun kedua-duanya melangkaui pilihan raya emosi kepada pilihan raya ekspektasi.
Kesan Johor-Singapore Special Economic Zone
Antara faktor yang menjadikan PRN Johor berbeza daripada pilihan raya negeri lain adalah kewujudan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ). Inisiatif ini bukan sahaja mempunyai implikasi ekonomi, malah berpotensi mempengaruhi tingkah laku politik pengundi.
Jika dahulu rakyat menilai kerajaan berdasarkan isu tempatan seperti jalan raya, kemudahan awam dan pembangunan fizikal, kini semakin ramai menilai kerajaan melalui kemampuan menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan menghubungkan Johor dengan ekonomi serantau.
Dalam erti kata lain, pengundi Johor mungkin semakin melihat politik melalui lensa peluang ekonomi dan mobiliti sosial. Adakah ini penelitian pengundi rentas sempadan?
Satu lagi persoalan menarik, sama ada Johor sedang menjadi medan peralihan daripada politik identiti kepada politik peluang. Demografi dan geografi Johor boleh ditakrif sebagai ‘Mini Malaysia’.
Politik Malaysia selama beberapa dekad banyak dipengaruhi oleh faktor etnik, agama dan kesetiaan parti. Namun perubahan demografi, urbanisasi dan pendedahan kepada ekonomi global mula mengubah keutamaan sebahagian pengundi.
Bagi ramai pengundi muda khususnya, isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan dan prospek ekonomi mungkin lebih dekat dengan kehidupan harian mereka berbanding polemik politik tradisional.
Jika trend ini berterusan, Johor mungkin menjadi negeri yang menunjukkan bagaimana politik masa depan Malaysia akan berkembang.
PRN Johor juga ujian penting terhadap hubungan politik pasca-2022. Jika tidak berlaku kerjasama longgar antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, persoalan paling penting bukan sekadar jumlah kerusi dimenangi, tetapi sejauh mana berlaku pemindahan undi di peringkat akar umbi walau masing-masing menyatakan kesediaan bertanding 56 kerusi baik BN, PH dan PN serta parti lain dengan ikatan yang masih tersirat?
Kesediaan penyokong sesebuah parti mengundi calon daripada parti rakan akan menjadi indikator penting untuk memahami sama ada formula kerjasama politik semasa mempunyai asas kukuh menjelang PRU16 atau disebaliknya. Politik kemarahan diganti dengan politik ekspektasi akhirnya.
Johor mempunyai hampir semua elemen yang terdapat dalam politik nasional. Ia mempunyai kawasan bandar dan luar bandar, pengundi Melayu, Cina dan India, komuniti FELDA, kawasan industri serta generasi muda yang semakin berpengaruh. Keunikan inilah yang menjadikan Johor sering dianggap sebagai gambaran kecil kepada politik Malaysia secara keseluruhan.
Apa yang berlaku di Johor mungkin tidak menentukan masa depan negara secara langsung, tetapi ia sering memberi petunjuk awal tentang arah aliran politik yang lebih besar.
Akhirnya, PRN Johor bukan sekadar pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia pertandingan menentukan model politik yang akan mendominasi Malaysia pada masa hadapan.
Adakah pengundi akan memilih kestabilan, semak dan imbang atau pembaharuan? Adakah mereka mengundi berdasarkan identiti atau peluang ekonomi?
Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menjadikan PRN Johor bukan sekadar pilihan raya negeri, tetapi sebuah referendum terhadap masa depan politik dan ekonomi Malaysia.
PRN Johor bukan soal siapa menguasai Johor semata-mata. Ia adalah soal siapa paling diyakini untuk membawa Johor ke dekad seterusnya.
Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).










