APABILA bercakap tentang demokrasi, ramai orang membayangkan pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN), pilihan raya kecil (PRK), calon politik, kempen, pengundi dan peti undi.
Sekiranya difikirkan, pendidikan demokrasi sebenarnya bermula jauh lebih awal. Bagi kebanyakan remaja, pengalaman pertama mengenali kuasa undi serta proses memilih pemimpin berlaku di sekolah menerusi penyertaan dalam persatuan dan kelab.
Persatuan dan kelab bukan sekadar tempat berkumpul selepas waktu pembelajaran. Organisasi ini menjadi medan latihan yang amat penting dalam membentuk warga yang memahami tanggungjawab sebagai pengundi dan pemimpin.
Dalam suasana yang lebih kecil dan terkawal, pelajar berpeluang mengalami sendiri amalan demokrasi yang kelak akan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sebagai rakyat Malaysia. Tambahan pula, pada usia 18 tahun, mereka secara automatik didaftar dalam senarai pengundi.
Semasa di sekolah rendah dan menengah, saya memang amat aktif dalam persatuan dan kelab. Saya turut diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam beberapa kelab dan persatuan.
Sesungguhnya, pengalaman itu masih memberi kesan positif kepada diri saya sehingga hari ini.
Setiap tahun, kebanyakan persatuan dan kelab di sekolah mengadakan mesyuarat agung bagi memilih ahli jawatankuasa baharu.
Para ahli diberi peluang mencalonkan nama yang dirasakan layak. Mereka juga boleh mendengar penerangan, menilai kebolehan calon dan seterusnya membuat pilihan melalui proses pengundian.
Walaupun kelihatan mudah, pengalaman ini mempunyai nilai pendidikan yang sangat besar. Melalui proses tersebut, pelajar mempelajari hakikat setiap undi mempunyai nilai. Satu undi mungkin kelihatan kecil tetapi apabila digabungkan dengan undi ahli lain, keputusan besar dapat dibuat.
Kesedaran ini membantu remaja memahami realiti suara mereka mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju sesebuah organisasi. Kesedaran inilah yang akan memastikan lebih ramai pengundi muda keluar mengundi pada PRN, PRK dan PRU.
Pada masa sama, pelajar juga akan sedar, tugas memilih pemimpin bukanlah perkara yang boleh dilakukan secara sambil lewa. Mereka perlu mempertimbangkan pelbagai aspek seperti kejujuran, komitmen, disiplin, kemampuan berkomunikasi serta kesediaan seseorang calon untuk berkhidmat.
Proses membuat pertimbangan ini melatih pelajar supaya menjadi pengundi yang lebih matang dan bertanggungjawab. Mereka akan lebih berhati-hati dan prihatin kerana menyedari peranan mengundi calon yang benar-benar layak.
Selain membentuk pengundi yang bijak, persatuan dan kelab di sekolah turut melahirkan pemimpin muda. Pelajar yang dipilih memegang jawatan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari atau ahli jawatankuasa akan memikul pelbagai tanggungjawab.
Mereka perlu merancang aktiviti, mengurus kewangan, menyelesaikan masalah serta memastikan kebajikan ahli sentiasa terpelihara.
Sesungguhnya, saya dan rakan-rakan amat menyukai serta menghargai pengalaman itu pada zaman sekolah.
Pengalaman di sekolah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami realiti kepimpinan bukanlah soal kuasa atau kedudukan. Sebaliknya, kepimpinan ialah amanah. Seorang pemimpin yang baik perlu mendengar pandangan ahli, membuat keputusan secara adil dan bersedia menerima kritikan.
Mereka juga perlu menunjukkan teladan yang baik dalam tingkah laku dan etika. Maka, pengalaman yang mungkin dianggap kurang penting itu sebenarnya membina budaya menghargai keseluruhan proses demokrasi menerusi kuasa undi.
Bagi pelajar yang bertanding bagi jawatan, mereka juga belajar etika bertanding sebagai calon pilihan raya.
Dalam konteks ini, ternyata persatuan dan kelab menjadi ruang yang selamat untuk pelajar belajar daripada kesilapan. Jika berlaku kelemahan dalam pengurusan atau perancangan, mereka dapat mengenal pasti puncanya dan mencari jalan penambahbaikan dengan bimbingan guru penasihat.
Pengalaman seperti ini sangat berharga kerana membentuk kemahiran kepimpinan yang sukar diperoleh hanya melalui pembacaan buku teks. Dalam hal ini, saya amat berterima kasih kepada guru sekolah rendah dan menengah yang membimbing saya dan rakan-rakan mengendalikan persatuan dan kelab dengan berkesan.

HORMAT PERBEZAAN
Budaya demokrasi yang dipupuk di sekolah memang membantu mengembangkan sikap hormat terhadap pandangan yang berbeza. Dalam sesebuah persatuan, ahli mungkin mempunyai idea dan pendapat yang tidak sama.
Ada kala berlaku perdebatan atau perbezaan pandangan semasa membuat keputusan. Namun, pelajar belajar bahawa perbezaan pendapat bukan alasan untuk bermusuhan.
Sebaliknya, mereka dididik supaya mendengar hujah orang lain, berbincang secara rasional dan menerima keputusan majoriti dengan hati terbuka. Sikap seperti ini amat penting dalam masyarakat demokratik yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, bahasa, budaya dan kepercayaan.
Penyertaan aktif dalam persatuan dan kelab juga membantu membentuk nilai integriti. Ahli jawatankuasa yang dipilih perlu bersikap amanah dan jujur. Mereka perlu memastikan wang persatuan digunakan secara berhemah dan segala keputusan dibuat demi kepentingan bersama.
Dalam proses ini, pelajar memahami integriti bukan sekadar istilah yang dipelajari di kelas tetapi amalan yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian sepanjang hayat.
Pengalaman mengundi di sekolah menjadi persediaan awal sebelum remaja mencapai umur 18 tahun. Jika sudah memahami budaya demokrasi sejak zaman sekolah, mereka lebih bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang berpengetahuan dan berilmu.
Mereka akan sedar, undi bukan sesuatu yang boleh dijual beli, dipermainkan atau diabaikan. Sebaliknya, undi merupakan hak dan tanggungjawab yang perlu digunakan dengan penuh kebijaksanaan. Pelajar juga lebih cenderung menilai calon berdasarkan keupayaan, rekod dan integriti berbanding pengaruh emosi atau sentimen semata-mata.
Berdasarkan pengalaman saya, persatuan dan kelab di sekolah memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada yang sering disangka. Organisasi ini menjadi sekolah demokrasi yang membolehkan remaja memahami kuasa undi, menghargai proses pemilihan dan menghayati makna kepimpinan yang sebenar.
Apabila tiba masanya untuk mengundi sebagai rakyat dewasa, mereka bukan lagi individu yang asing dengan demokrasi, sebaliknya sudah mempunyai asas kukuh untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










