ANTARA perkara mendukacitakan mutakhir ini ialah munculnya segelintir rakyat yang semakin berani mempersendakan institusi raja, malah ada yang sampai ke tahap menghina sosok tubuh raja-raja dan sultan-sultan Melayu.
Perbuatan ini tidak dapat diterima oleh mana-mana warganegara yang setia kepada negara ini. Institusi raja merupakan institusi kenegaraan yang tinggi kedudukannya serta dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, malah turut dizahirkan dalam lirik lagu kebangsaan.
Justeru, institusi ini wajib ditaati dan dihormati oleh seluruh rakyat tanpa pengecualian.

Oleh itu, tidak wajar wujud mana-mana pihak yang mengetepikan adab serta meruntuhkan adat sehingga sanggup melakukan perbuatan keji dengan menghina institusi raja.
Golongan derhaka ini jelas memperlihatkan sikap biadab terhadap raja yang menjadi lambang kedaulatan, perpaduan serta identiti negara.
Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencemar kesopanan masyarakat, malah boleh menggugat keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama.
Golongan yang terlibat ini juga sering kali terdiri daripada mereka yang buta sejarah negara serta tidak memahami akar budaya masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu yang menjadi teras kepada pembentukan negara ini.
Mereka tidak memahami bahawa institusi raja bukan sekadar simbol tradisi, tetapi mempunyai peranan besar dalam menghubungkan elemen tradisi dengan sistem pemerintahan moden.
Ini bermakna institusi raja yang wujud di negara kita masih menghidupkan warisan sejarah dan keagungan tamadun bangsa.
Walaupun negara mengamalkan sistem pemerintahan moden, institusi raja tetap menjadi warisan penting yang memelihara nilai budaya, adab serta susila bangsa yang berteraskan kesopanan dan tertib.
Hal ini turut jelas dapat dilihat melalui kehalusan budi dan keindahan bahasa yang terpancar dalam pelbagai adat istiadat diraja, termasuk pembukaan sidang Parlimen, istiadat menghadap dan sembah taat setia, serta upacara penganugerahan darjah kebesaran dan pelbagai majlis rasmi lain yang melambangkan martabat institusi tersebut.
Golongan yang bersikap biadab ini juga seharusnya memahami bahawa raja dan sultan memainkan peranan penting dalam mengawal perjalanan sistem politik negara.
Ini termasuk dalam pembentukan kerajaan, pelantikan Perdana Menteri, meredakan pertelingkahan dalam kalangan ahli politik yang berebut kuasa, serta melaksanakan pelbagai tanggungjawab pemerintahan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Sejak negara mencapai kemerdekaan, institusi raja yang diterajui oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi tonggak kepada pembinaan negara bangsa yang progresif, dinamik, berdisiplin dan moden.
Peranan ini dapat difahami melalui titah ucapan baginda di Parlimen setiap kali penggal persidangan bermula. Begitu juga titah sultan-sultan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi asas kepada perbahasan serta hala tuju dasar kerajaan.
Justeru, institusi raja amat penting dan masih kekal relevan dalam sistem politik negara. Ia tidak boleh diperlekehkan, apatah lagi dihina secara terbuka.
Mana-mana pihak yang cuba menentang institusi ini secara halus seolah-olah membawa fahaman negara republik yang menolak sistem beraja. Perkembangan tidak sihat ini boleh dianggap sebagai suatu bentuk tindakan subversif yang cuba meruntuhkan asas kenegaraan Malaysia.
Lebih membimbangkan, gerakan ini kelihatan seakan menjalar dalam kalangan kelompok tertentu yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan.
Mereka didakwa membawa pemikiran bersifat sosialis dan republik yang tidak lagi menghargai nilai tamadun bangsa, longgar pegangan adat serta cuba memperkenalkan sistem pemerintahan baharu yang menolak peranan institusi raja.
Golongan ini juga jelas memperlihatkan kelakuan biadab dan tidak bertempat, malah secara halus cuba mempengaruhi masyarakat agar bersikap kurang ajar terhadap institusi raja.
Sekiranya terdapat dalam kalangan orang Melayu yang terlibat, maka ia jelas bercanggah dengan kesopanan adat serta kehalusan budi pekerti Melayu. Rakyat perlu sedar akan bahaya sikap sedemikian dan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha yang mencemarkan institusi raja.
Pada hemat saya, golongan yang menghina institusi raja ini wajar dikenakan tindakan tegas, sama ada melalui penarikan kerakyatan atau sekurang-kurangnya tindakan undang-undang yang lebih keras mengikut peruntukan sedia ada.
Negara memerlukan pemimpin yang bukan sahaja memegang kuasa tetapi juga setia dan menghormati institusi raja di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Institusi raja tidak boleh dijadikan alat untuk meraih laba politik atau sekadar retorik untuk mendapatkan sokongan. Dalam masa sama, ada pihak yang cuba melemahkan dan merosakkannya secara terselindung, dan perkara ini perlu ditangani dengan serius.
Kata-kata yang boleh ditafsirkan sebagai penghinaan atau sabotaj terhadap institusi raja ibarat api kecil yang jika tidak dibendung akan membakar seluruh negara.
Perlu diingat majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, sangat sensitif terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi raja.
Oleh itu, pemimpin yang berkuasa harus memiliki kebijaksanaan dan hikmah dalam berurusan dengan institusi raja. Ia tidak boleh dijadikan bahan politik, sebaliknya perlu dipertahankan apabila dihina dan dipertikaikan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Institusi raja merupakan institusi yang amat berharga dan masih relevan dalam sistem kenegaraan Malaysia. Ia tidak wajar dipersoalkan, diperlekehkan atau dihina, apatah lagi cuba dimusnahkan.
Menghina institusi raja merupakan perbuatan tidak beradab, sedangkan ia memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, segala usaha untuk mengetepikan adab terhadap institusi raja oleh mana-mana pihak yang jahil sejarah, cetek tamadun serta berfahaman songsang perlu ditolak oleh seluruh rakyat yang setia kepada raja dan negara. – UTUSAN
Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










