SEIRING dengan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), membolehkan pendekatan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dilengkapi konsep Kecerdasan Buatan Bertanggungjawab (RAI) agar pembangunan teknologi bukan sahaja inovatif serta canggih, malah beretika dan memberi manfaat kepada masyarakat
Integrasi STEAM dan RAI penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja kreatif dan inovatif tetapi juga mempunyai kesedaran terhadap implikasi sosial, moral dan kemanusiaan dalam penggunaan teknologi.
RAI menekankan aspek seperti ketelusan, keadilan, keselamatan data serta tanggungjawab dalam pembangunan dan penggunaan AI. Tanpa panduan etika yang jelas, teknologi berpotensi disalah guna atau memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Justeru, pendidikan masa kini perlu memastikan pelajar memahami bukan sahaja bagaimana teknologi dibina tetapi juga untuk apa dan kepada siapa teknologi itu memberi manfaat.
Pendekatan STEAM yang menggabungkan elemen seni, sastera dan budaya memainkan peranan penting dalam menyokong RAI. Elemen ini membantu pelajar membina empati, sensitiviti sosial dan pemikiran kritikal terhadap isu-isu seperti ketidakadilan algoritma, privasi data dan kesan automasi terhadap pekerjaan.
Dengan kata lain, STEAM menyediakan dimensi kemanusiaan, manakala RAI menyediakan kerangka etika dalam pembangunan teknologi.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ledakan teknologi AI, membolehkan sistem pendidikan negara tidak lagi kekal dalam kerangka tradisional. Dunia hari ini menuntut bukan sahaja kepakaran teknikal tetapi juga keupayaan berfikir secara kreatif, empati terhadap masyarakat, serta kefahaman mendalam tentang nilai dan budaya.
Sehubungan itu, pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini berkembang kepada konsep STEAM, iaitu integrasi bersama elemen seni, sastera dan budaya.
Pendekatan ini dilihat lebih inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan, sejajar dengan keperluan membina modal insan yang seimbang.
STEAM lebih relevan untuk murid seawal prasekolah kerana penekanan terhadap kemahiran inovasi, analisis, strategik dan kritikal bagi meningkatkan daya saing dalam teknologi yang berlandaskan IR4.0.
Selaras dengan aspirasi Dasar Sosial Negara Malaysia, pendidikan tidak hanya berperanan melahirkan individu berkemahiran tinggi tetapi juga insan yang sejahtera dari segi fizikal, emosi rohani dan intelektual.
Dalam konteks ini, STEAM muncul sebagai satu pendekatan strategik yang mampu menyokong pembangunan masyarakat secara holistik.
Dasar Sosial Negara memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan potensi individu secara menyeluruh. STEAM menyokong matlamat ini melalui integrasi pemikiran kritikal dengan kreativiti dan ekspresi.
Pelajar tidak hanya dilatih untuk menyelesaikan masalah secara logik tetapi juga didorong untuk berfikir secara inovatif, beretika dan berempati.
Dalam dunia sebenar, inovasi yang berjaya bukan hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi semata-mata. Sebaliknya, turut dipengaruhi aspek nilai manusiawi, reka bentuk, budaya serta pengalaman pengguna. Justeru, pendekatan STEAM memberi kelebihan kepada pelajar untuk memahami hubungan antara teknologi dan kehidupan manusia secara lebih menyeluruh.
Dalam konteks ini, peranan Persatuan Robotik, Kecerdasan Buatan dan Automasi Malaysia (MYRAS) juga semakin relevan dalam memacu kesedaran terhadap teknologi yang bertanggungjawab melalui program berkaitan AI, robotik mahupun inovasi.
Inisiatif sebegini mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mahir dalam teknologi tetapi juga berintegriti dalam penggunaannya.
Pendekatan STEAM turut menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan sosial seperti yang digariskan dalam dasar negara.
Pertama, dari sudut pengukuhan identiti dan budaya, elemen seni dan budaya dalam STEAM membantu generasi muda menghargai warisan tempatan serta membina jati diri nasional.
Dalam arus globalisasi yang pesat, usaha ini penting bagi memastikan identiti bangsa tidak terhakis.
Kedua, STEAM menyokong pendidikan yang lebih inklusif dan seimbang. Ia membuka ruang kepada pelajar dengan pelbagai kecenderungan, bukan sahaja kepada yang cemerlang dalam bidang akademik atau teknikal tetapi juga mereka yang berbakat dalam seni, komunikasi dan kreativiti. Ini sekali gus mengiktiraf kepelbagaian potensi insan.
Ketiga, pendekatan ini turut menyumbang kesejahteraan emosi dan mental pelajar. Aktiviti seni seperti muzik, lukisan dan drama terbukti membantu perkembangan emosi, mengurangkan tekanan pembelajaran serta membina keyakinan diri.

Dalam dunia pendidikan yang semakin kompetitif, aspek ini tidak boleh dipandang ringan. Walaupun STEM kekal penting dalam melahirkan tenaga pakar seperti saintis, jurutera dan teknologi, namun STEAM membawa nilai tambah yang signifikan. Ia melahirkan individu yang bukan sahaja kompeten tetapi juga kreatif, sensitif terhadap nilai estetika dan budaya, serta mampu mengintegrasikan teknologi dengan keperluan manusia.
Pendekatan ini amat relevan khususnya di peringkat awal pendidikan. Kanak-kanak secara semula jadi cenderung kepada eksplorasi dan kreativiti. Oleh itu, integrasi seni dalam pembelajaran sains dan teknologi dapat merangsang perkembangan kognitif dan emosi mereka secara lebih seimbang.
Jelas bahawa STEAM bukan sekadar pendekatan pedagogi tetapi merupakan agenda strategik negara dalam memperkukuh kesejahteraan sosial dan pembangunan modal insan.
Dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia Madani, pendidikan STEAM berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan teknologi dengan kemanusiaan, inovasi dengan budaya serta kecerdasan dengan nilai.
Oleh itu, sudah tiba masanya pendekatan ini diperkasakan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan negara melibatkan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
Hanya melalui pendekatan yang holistik ini, Malaysia mampu melahirkan generasi masa hadapan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global tetapi juga beridentiti kukuh, beretika dan berjiwa sejahtera. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.










