UMUMNYA masjid berperanan debagai pusat pembangunan masyarakat dan bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat.
Masjid juga institusi sosial untuk menyampaikan pendidikan, menghulurkan bantuan kebajikan dan sebagai pusat perpaduan.
Di kebanyakan bandar besar dunia, masjid dan surau dibina berdekatan dengan kawasan perniagaan dan pusat kewangan bagi memenuhi keperluan pekerja.
Cadangan untuk membina sebuah masjid di kawasan Tun Razak Exchange (TRX) juga boleh menjadi lambang bahawa pembangunan moden dan nilai keagamaan mampu bergerak seiring.
Malah, masjid yang didirikan dengan reka bentuk moden dan menarik, sesuai dengan status TRX sebagaipusat kewangan antarabangsa boleh menjadi mercu tanda seni bina dan tarikan pelancongan, di samping mempromosikan imej Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana dan progresif.
Baru-baru ini cadangan pembinaan sebuah masjid berhampiran TRX telah menjadi perdebatan hangat berikutan bantahan oleh seorang anggota veteran DAP.
Walaupun pandangan beliau berhak dihormati dalam negara demokrasi seperti Malaysia, cadangan untuk membina masjid di kawasan tersebut tidak harus dipolitikkan.
Kewujudan sebuah masjid dengan kapasiti yang boleh memuatkan jemaah yang ramai amat diperlukan di sekitar TRX dan kawasan berdekatan seperti Bukit Bintang.
TRX merupakan antara pusat kewangan dan perniagaan paling penting di Malaysia. Setiap hari, kawasan ini menerima kehadiran puluhan ribu pekerja, pengunjung dan pelancong dari dalam serta luar negara.
Sebahagian besar daripada mereka adalah orang Islam yang memerlukan kemudahan untuk menunaikan solat fardu dan aktiviti lain yang berkaitan dengan agama Islam.
Kita lihat kini ramai pekerja Islam terpaksa berjalan kaki atau berkenderaan untuk menunaikan solat Jumaat di tempat-tempat lain yang ada masjid.
Justeru adalah wajar masjid dibina di kawasan yang mempunyai ramai pekerja Islam.
Kemudahan beribadat seperti masjid dan surau amat diperlukan terutama apabila terdapat pelbagai pesta keramaian di kawasan Bukit Bintang dan sekitarnya.
Setiap pembangunan bandar yang pesat memerlukan kemudahan awam yang mencukupi.
Selain jalan raya, pengangkutan awam, sekolah dan pusat kesihatan, rumah ibadat juga merupakan komponen penting dalam perancangan bandar yang seimbang.
Keperluan ini tidak seharusnya dilihat dari sudut politik atau ideologi sempit.
Tambahan pula, Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang menimbulkan kebimbangan ialah apabila bantahan terhadap pembinaan masjid dilihat sebagai campur tangan dalam urusan yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan umat Islam.
Jika pembinaan masjid itu memenuhi syarat perancangan bandar, mendapat kelulusan pihak berkuasa dan memenuhi keperluan komuniti setempat, maka ia wajar dinilai berdasarkan merit tersebut, bukannya sentimen politik.
Razak Rashid Ghows. Kuala Lumpur










