Malaysia teroka sistem BESS pilihan peralihan tenaga boleh baharu

Malaysia teroka sistem BESS pilihan peralihan tenaga boleh baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA menyasarkan peningkatan berperingkat bagi kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber boleh baharu seperti solar, hidro dan biojisim dalam campuran kapasiti terpasang negara.

Sasaran pada 2025 adalah 31 peratus dan setakat Disember tahun lalu, Malaysia mencapai sekitar 30 peratus dan berada di landasan betul.

Sasaran negara dalam bidang ini adalah 40 peratus pada 2035 sementara 70 peratus pada 2050.

Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) adalah komponen penting di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilaksana bagi memacu dasar negara untuk mencapai sasaran peralihan tenaga yang menetapkan objektif jelas bagi mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050.

Selain TBB, komponen lain menerusi NETR di bawah insiatif Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diterajui Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ialah pengurangan pelepasan karbon, transformasi bahan api dan infrastruktur, pelaburan dan ekonomi.

Pelaksanaan NETR dijangka meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM 25 bilion pada 2023 kepada RM 220 bilion pada 2050 dan menjana sehingga 310,000 pekerjaan pada 2050.

Langkah ini boleh dicapai dengan perancangan, langkah rapi dan strategik. Ia memerlukan lebih daripada sekadar pelaburan dalam teknologi hijau.

Malaysia juga perlu meneliti model kejayaan negara lain yang telah membuktikan keberkesanan dasar dan strategi mereka dalam mempercepatkan peralihan tenaga.

Contohnya Denmark yang berjaya membangunkan sektor tenaga angin bukan sahaja melalui pelaburan kerajaan dan syarikat swasta, malah dengan melibatkan komuniti setempat sebagai pemilik dan pelabur.

Pendekatan ini meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap projek tenaga hijau kerana mereka turut menikmati manfaat ekonomi secara langsung.

Model seumpama itu boleh diteroka di Malaysia menerusi pembangunan projek solar komuniti atau koperasi tenaga di peringkat tempatan.

Selain itu, Jerman menunjukkan kepentingan dasar yang konsisten dan jangka panjang. Melalui pelaksanaan mekanisme Feed-in Tariff (FiT), negara itu memberikan jaminan pembelian tenaga boleh baharu pada kadar kompetitif untuk tempoh panjang.

Dalam aspek pembangunan industri pula, China bukan sahaja menjadi pengguna utama tenaga boleh baharu, malah muncul sebagai pengeluar terbesar panel solar, bateri dan komponen berkaitan tenaga hijau di dunia.

Malaysia berpotensi memanfaatkan kedudukannya sebagai hab pembuatan serantau untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri solar, penyimpanan tenaga dan hidrogen hijau.

Sementara itu, United Kingdom (UK) berjaya mengurangkan kos tenaga boleh baharu melalui sistem bidaan kompetitif bagi projek tenaga berskala besar.

Pendekatan ini memastikan harga elektrik ditawarkan kepada pengguna lebih kompetitif, selain mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

Malaysia memulakan langkah ke arah itu menerusi program Solar Berskala Besar (LSS), namun skop dan pelaksanaannya boleh dipertingkatkan lagi.

 

PERALIHAN kepada tenaga boleh baharu bagi menjamin masa hadapan ekonomi dan alam sekitar negara.

 

Mengulas mengenai program LSS, Ketua Penyelidik Utama, Pusat Penyelidikan Penyelidikan Kilat, Kuasa dan Tenaga Termaju, (ALPER), Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Amran Mohd. Radzi berpandangan, sistem kuasa berasaskan tenaga suria merupakan penyumbang terbesar dengan 58 peratus kapasiti pemasangan yang boleh mencecah 59 GW.

Sumber tenaga yang boleh diperbaharui lain termasuklah hidro dan biotenaga.

Dengan sasaran tenaga suria 14 peratus yang sepatutnya dicapai pada 2030, kata beliau, lonjakan strategik dan mampan diperlukan untuk mencapai peratusan lebih empat kali ganda yang disasarkan pada 2050.

PETRA dan agensi berkaitan merangka pelbagai program antaranya yang terbaharu, Program Tindakan Peralihan Dipercepatkan Solar (Solar ATAP) dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), di samping program utama sedia ada seperti LSS dan Pengambilan-sendiri(Self-Consumption) (SELCO).

“Kesemua program ini boleh terus bergerak lancar dengan kombinasi insentif menarik, sokongan pembiayaan kukuh, penurunan kos teknologi, peningkatan kepakaran syarikat dan modal insan tempatan, pengukuhan aktiviti penyelidikan serta pembangunan komponen tempatan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Dr. Mohd. Amran membangkitkan isu tenaga suria hanya menjana dengan adanya sumber tenaga matahari pada waktu siang dan pada masa lain berkemungkinan menjana secara berlebihan daripada yang diperlukan beban.

Kelemahan ini, katanya, menyerlahkan kekurangan dan keupayaan tenaga ini untuk terus berkembang dan membantu mencapai sasaran ditetapkan. Hal ini turut sama berlaku pada teknologi hidro, yang sentiasa berubah dengan kapasiti aliran air.

Dalam pada itu, NETR turut menggariskan isu ini dengan keperluan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) selain memperkukuh keupayaan grid.

Pelaburan dalam projek berasaskan BESS sebagai sebahagian daripada inisiatif peralihan tenaga dijangka mencecah sehingga RM80 billion menjelang 2050.

Menurutnya, BESS diyakini akan memainkan peranan utama dalam menstabilkan bekalan elektrik, mengurus ketidakstabilan grid, meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan membolehkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara lebih cekap.

Walau bagaimanapun, cabaran terbesar dengan teknologi bateri berskala besar adalah kos yang masih tinggi berbanding pelaburan dan pulangannya yang bakal diperoleh.

Selain itu, isu-isu berkaitan risiko keselamatan dan haba jika tidak ditangani bakal merencatkan pertumbuhan dan penggunaan teknologi ini secara meluas.

“Namun begitu, melihat kepada keperluan lonjakan besar kearah mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang 2050, memacu penggunaan BESS adalah langkah paling strategik dan mampan.

“Pada masa sama, pemain industri berkaitan dan institusi penyelidikan, pembangunan dan pendidikan tempatan harus berganding bahu dalam membantu mempersiapkan kepakaran dan teknologi berkenaan agar teknologi BESS mempercepatkan proses pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui seperti disasarkan,” jelasnya.

Dalam usaha ke arah ini, Dr. Mohd. Amran mengakui peranan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti UPM telah pun mengorak langkah dalam meningkatkan peratusan tenaga boleh diperbaharui melalui program SELCO tenaga suria yang berkapasiti mencecah 16 MW, dan merupakan pemasangan atas bumbung terbesar di Malaysia.

Selain itu, melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, serta penyelidikan pascasiswazah dan kerjasama bersama industri, penerokaan terhadap potensi BESS sedang giat dijalankan.

Ia merangkumi penyelidikan dan pembangunan bahan bateri termaju, sistem pengesanan bateri pintar, sistem pengurusan bateri, integrasi bateri bersama sistem tenaga boleh diperbaharui dan grid, kajian kestabilan, perlindungan dan kualiti kuasa sistem berasaskan bateri. –UTUSAN

PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×