Dalam kalangan pemerhati politik, ramai menjangkakan BN/UMNO mencatat kemenangan besar dalam PRN Johor. Hakikatnya, jangkaan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Johor sejak sekian lama merupakan antara negeri yang paling sinonim dengan UMNO. Negeri kelahiran parti itu mempunyai sejarah politik, struktur organisasi dan jaringan akar umbi yang jauh berbeza berbanding kebanyakan negeri lain.
Sebab itu, jika BN menang besar di Johor, ia tidak semestinya boleh dianggap parti itu sudah cukup kuat dan akan menang besar juga pada PRU-16 nanti. Kesilapan terbesar dalam membuat analisis politik adalah apabila keputusan di satu negeri dijadikan ukuran untuk seluruh negara.
Malaysia bukan sebuah negara yang mempunyai pola pemikiran politik yang seragam. Setiap negeri mempunyai latar belakang, komposisi masyarakat, isu setempat dan sentimen politik yang berbeza. Apa yang diterima baik oleh pengundi di Johor belum tentu diterima oleh pengundi di Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang atau Sabah.
Atas sebab itu, jika BN menang besar di Johor, ia perlu dilihat dalam konteks Johor sendiri. Jangan jadikan itu asas untuk membuat kesimpulan bahawa gelombang yang sama sedang berlaku di seluruh negara.
Realitinya, kekuatan UMNO hari ini tidak sekata di semua negeri. Jika di Johor, UMNO masih dianggap sebagai kuasa politik utama, keadaan itu jauh berbeza di beberapa negeri lain.
Di Kedah, Terengganu dan Perlis misalnya, UMNO bukan sahaja gagal menjadi parti dominan, malah tidak mempunyai satu pun kerusi Dewan Undangan Negeri.
Ini menunjukkan sokongan terhadap UMNO berbeza-beza mengikut negeri.
Satu lagi faktor yang sering disebut adalah kedudukan UMNO Johor yang dilihat berbeza daripada UMNO di beberapa negeri lain.
Sejak pembentukan kerajaan negeri selepas pilihan raya lalu, UMNO Johor tidak berada dalam situasi yang memerlukan pergantungan politik kepada PH sebagaimana yang berlaku di Melaka, Perak dan Pahang.
Persepsi ini penting kerana sebahagian penyokong tradisional UMNO masih menilai parti itu berdasarkan prinsip perjuangan agama, bangsa dan negara yang menjadi asas penubuhannya.
Bagi kelompok ini, UMNO Johor dilihat lebih dekat dengan identiti asal parti berbanding persepsi yang wujud terhadap UMNO di tempat-tempat lain yang sering dikaitkan dengan gelaran ‘UMDAP’.
Selain faktor parti, kepimpinan juga memainkan peranan yang besar. Prestasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sering disebut sebagai antara penyumbang kepada peningkatan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Pendekatan beliau yang dilihat aktif, dekat dengan rakyat dan memberi tumpuan kepada isu pembangunan negeri telah membantu mengukuhkan imej pentadbiran sedia ada.
Dalam banyak pilihan raya, faktor kepimpinan memberi kesan yang lebih besar daripada sentimen politik nasional. Namun di sebalik jangkaan kemenangan BN, terdapat juga kebimbangan yang tidak boleh diketepikan.
Sebahagian pengundi menyokong UMNO kerana mahu melihat parti itu kekal sebagai wadah politik Melayu, namun mereka juga tidak lepas daripada tertanya-tanya apa yang akan berlaku selepas pilihan raya.
Mereka melihat kemenangan BN yang sudah dijangka sebagai satu perkara, tetapi pembentukan kerajaan selepas pilihan raya nanti adalah perkara yang lain.
Kebimbangan utama adalah kemungkinan berlaku kerjasama politik dengan parti-parti PH, khususnya DAP, atas nama Kerajaan Perpaduan. Walaupun perkara itu belum tentu berlaku, hakikat bahawa ia merupakan kemungkinan politik sudah cukup untuk menimbulkan persoalan dalam kalangan sebahagian pengundi.
Ini kerana sentimen politik orang Melayu Johor masih mempunyai ciri-ciri tersendiri. Walaupun negeri itu terkenal dengan sifat politik yang sederhana dan pragmatik, sebahagian besar orang Melayu Johor masih mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap isu identiti Melayu, Islam dan kedudukan institusi tradisional.
Atas sebab itu, penerimaan terhadap DAP — jika itu yang diputuskan pucuk pimpinan parti nanti bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, bagi sesetengah pengundi, persoalan mengenai siapa yang akan menjadi rakan politik selepas pilihan raya sama pentingnya dengan persoalan siapa yang mereka undi ketika pilihan raya.
Dalam konteks ini, terdapat satu lagi dimensi yang jarang dibincangkan apabila memperkatakan tentang masa depan politik Johor.
Pas mungkin bukan sebuah parti yang kuat di negeri itu seperti mana kedudukannya di Kedah, Kelantan atau Terengganu. Malah, realiti politik Johor menunjukkan Pas tidak mempunyai pengaruh yang besar untuk membentuk kerajaan secara bersendirian atau menjadi kuasa dominan. Namun, kekuatan sesebuah parti tidak semestinya diukur berdasarkan jumlah kerusi dimenanginya semata-mata.
Dalam konteks Johor, beberapa kerusi yang mungkin akan dimenangi Pas pasti mempunyai nilai strategik yang jauh lebih besar daripada angka sebenar.
Ini kerana sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan tetapi tidak mahu bergantung kepada parti-parti PH, khususnya DAP, maka kewujudan sejumlah kerusi Pas boleh menjadi asas kepada pembentukan satu bentuk kerjasama politik Melayu-Islam yang baharu.
Dalam erti kata lain, kemenangan beberapa calon Pas berpotensi menjadi modal politik untuk menghidupkan semula gagasan Muafakat Nasional (MN) dalam versi yang lebih realistik dan bersesuaian dengan landskap politik semasa.
Idea MN 2.0 mungkin kedengaran sukar untuk direalisasikan ketika ini, namun dalam politik tiada yang mustahil apabila kepentingan bersama menjadi keutamaan.
Syarat utamanya adalah pengundi Johor perlu memberi peluang kepada Pas untuk memenangi beberapa kerusi yang boleh berfungsi sebagai jambatan kepada kerjasama tersebut.
Sebelum itu berlaku, BN dan Pas juga perlu menunjukkan kesungguhan politik untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam pilihan raya.
Inilah cabaran terbesar kerana hubungan antara kedua-dua parti pada masa ini tidak berada pada tahap yang paling baik.
Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dilihat amat menolak kerjasama dengan Pas walaupun di peringkat akar umbi, ramai penyokong kedua-dua parti masih mengharapkan MN dapat dihidupkan semula.
Perkembangan politik kebelakangan ini menuntut semua pihak melihat gambaran yang lebih besar berbanding sentimen kepartian yang sempit.
Sejak negara ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan PH-BN, pelbagai isu sensitif berkaitan agama, bangsa, bahasa, institusi Melayu dan kedudukan Islam sering menjadi polemik yang mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Justeru, bagi sebahagian orang Melayu, kerjasama politik Melayu-Islam tidak lagi dilihat sebagai satu pilihan strategik, sebaliknya sudah menjadi satu keperluan bagi memastikan kestabilan politik dan negara.
Sebab itu, dalam menilai PRN Johor, persoalannya bukan sekadar siapa yang menang dan siapa yang kalah. Persoalan yang lebih penting adalah bentuk kerajaan yang akan lahir selepas pilihan raya serta siapakah rakan politik yang akan menentukan hala tuju Johor untuk lima tahun akan datang.
Bagi ramai pengundi Melayu Johor, jawapan kepada persoalan itu mungkin sama pentingnya dengan keputusan pilihan raya itu sendiri.
MUHAMAD MAT YAKIM ialah seorang bekas wartawan dan pengamat politik tanah air.










