70 tahun penyatuan linguistik tidak berhasil

70 tahun penyatuan linguistik tidak berhasil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2026 ini merupakan tahun ke-70 bahasa Melayu setelah dipilih untuk menjadi bahasa negara, menjalani proses perancangan bahasa. Ia antaranya adalah perjalanan kebahasaan yang dipacu oleh gabungan dasar, peraturan, kepercayaan dan amalan yang dihasratkan.

Hasrat itu adalah untuk mencapai perubahan yang dikehendaki, malah yang diperlukan pada penggunaan bahasa negara dalam sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Dengan kata lain, ia adalah tindakan untuk membawa perubahan yang dihasratkan, kekadang secara tersurat lagi dalam sistem berbahasa, antaranya pada konteks sosialnya. Sehubungan ini, perancangan bahasa selalunya dikendalikan oleh pihak pemerintah.

Ini kerana hanya pemerintah sahajalah yang secara berkesan berkemampuan menangani dan menyelesaikan masalah sosial rencam lagi rumit berkenaan bahasa negara dan juga yang lain-lain.

Sehubungan ini, proses perancangan bahasa memerlukan dana yang besar. Oleh itu, hanya pihak seperti pemerintah mampu mengendalikan ehwal kebahasaan di seluruh negara. Ini dilakukannya menerusi pelbagai agensi di bawahnya.

Dengan ini, penglibatan pemerintah dalam perancangan bahasa adalah bukan sahaja penting, malah wajib. Ini kerana ia mempunyai kuasa untuk melegistasi selain ada kemampuan untuk menganjurkan pelbagai perkara.

Antara yang terpenting ialah menguatkuasakan sesuatu keputusan itu menerusi pelbagai jenteranya.

Sesungguhnya perancangan bahasa dilakukan pertama-tamanya bagi mengubah kelakuan linguistik dalam sesebuah negara untuk pelbagai tujuan. Ini termasuklah penerimaan pemilihan satu bahasa sebagai bahasa negara untuk menegaskan identiti sejarah negara berkenaan.

Untuk ini adalah pemilihan bahasa yang dituturkan oleh sebahagian besar penduduk di negara berkenaan, lebih-lebih lagi yang juga diterima baik oleh segmen penduduk lain.

Setelah ini selesai dilakukan, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyebarluaskan bahasa yang dipilih itu untuk didukung peranan kenegaraannya oleh setiap rakyat di segenap pelosok negara.

Dalam hal ini, pemerintah hendaklah mengambil tanggungjawab untuk memastikan kejayaan peranan kenegaraan ini yang bakal dimainkan oleh bahasa yang dipilih itu. Sehubungan ini, ia hendaklah dilakukan melalui pelbagai kegiatan yang bukan sahaja banyak, juga yang tersusun rapi.

Dalam kebanyakan kes perancangan bahasa, khususnya dalam melaksanakan sesuatu dasar itu, pendidikan merupakan sektor yang bukan sahaja paling banyak terlibat, juga yang meluas sekali jangkauannya.

Ini kerana sektor pendidikan sangat besar pengaruhnya yang berupaya membentuk sahsiah murid dan pelajar yang berada di dalamnya selama belasan tahun.

Untuk tujuan kenegaraan, khususnya yang bersifat penyatuan linguistik, yakni menggunakan bahasa sebagai alat perpaduan, kurikulum dan sukatan pelajaran hendaklah dipastikan wujudnya pendidikan bahasa sebagai alat perpaduan yang cakupannya mencukupi.

Begitu juga dengan tempoh pendidikannya yang memadaikan adalah penting.

Selanjutnya golongan pendidik hendaklah dilatih agar ikut cekap dalam mengendalikan pendidikan perpaduan sebegini, yakni menerusi bahasa negara dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan.

Ini kerana bahasa kebangsaan yang merupakan milikan bersama seluruh rakyat, didapati mudah mengemosikan mereka dalam konteks nasionalisme dan patriotisme.

Dalam hal ini, golongan pendidik hendaklah didedahkan kepada perkaedahan tertentu yang khusus sifatnya. Antaranya termasuklah yang mampu membangkit serta menaikkan emosi positif terhadap bahasa negara.

Dalam pada ini, bahan pengajaran dan pembelajaran untuk menyokong perkaedahan itu, hendaklah yang membicarakan bahasa negara sebagai bahasa kebangsaan. Ini kerana peranan bahasa kebangsaan bukan sahaja sesuai, juga afdal sebagai alat perpaduan.

Sesungguhnya kegiatan perancangan bahasa yang menekankan peranan bahasa kebangsaan, adalah bertujuan untuk mengubah persekitaran penggunaan bahasa dalam sesebuah negara itu.

Sehubungan ini, ia yang dipanggil perancangan status bahasa, adalah proses yang memberi tumpuan kepada masyarakat dan bukannya kepada bahasa itu sendiri.

Tumpuan kepada masyarakat secara khusus ini bukan sahaja merangkumi maklumat tentang keputusan yang diambil untuk memilih sesuatu bahasa itu. Juga penyampaian keterangan mengenai pewajaran pemilihan itu yang hendaklah disampai kepada masyarakat.

Itulah antara pemaparan perancangan status bahasa Melayu setelah dipilih sebagai bahasa negara, dengan sekali gus memikul kedua-dua peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Dalam hal ini, perancangan status bahasa Melayu juga tidak terkecuali dalam berhadapan dengan banyak isu dan kebimbangan sosial akibat tumpuan masyarakat.

Dalam pada ini, pemilihan bahasa Melayu dalam konteks kenegaraan yang dilakukan atas beberapa pewajaran, hendaklah dipaparkan.

Antara yang terpenting ialah aspirasi kawasan, yakni wilayah Melayu atau Nusantara, tradisi besar, iaitu peradaban yang dipenuhi kegemilangan, di samping kedominanan etnik Melayu sebagai majoriti.

Kedominanan ini dilihat dari segi jumlah etnik Melayu yang sekitar 50 peratus pada 1957 apabila tertubuh negara ini secara moden.

Dengan pemilihan bahasa etnik terbanyak yang juga merupakan kaum asal, ia penting dalam memberi identiti yang sangat diperlukan pada negara ini untuk terus menunjukkan kewatanannya.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai perantara komunikasi untuk pelbagai kelompok bukan sahaja di negara ini, juga di Asia Tenggara selama beberapa abad sebelum ini, adalah pewajaran lain dalam pemilihan ini.

Selanjutnya pemilihan bahasa Melayu dilakukan atas dasar ia memang merupakan bahasa pentadbiran yang berjaya bagi Kerajaan Melayu sebelum kehadiran kuasa asing di negara ini.

Sesungguhnya semua maklumat ini adalah sangat penting dalam mengubah keadaan linguistik di negara ini yang penuh dengan ketaksaan. Ia seharusnya terkandung dalam kurikulum dan sukatan pelajaran untuk pendidikan bahasa Melayu dalam konteks kenegaraan sebagai alat perpaduan.

Maklumat ini kesemuanya bukan sahaja penting dalam mewajarkan pemilihan bahasa Melayu.

Juga mustahak dalam memastikan bahasa Melayu terus diterima baik dalam konteks kenegaraan. Antara terpenting ialah kewatanannya: Bahasa etnik asal, afdal sebagai identiti nasional dan budaya, kekesanannya sebagai alat komunikasi yang efektif, dan kemampuannya dalam pentadbiran Kerajaan Melayu.

Walaupun kesemuanya betul lagi absah dahulu, kini dan selamanya, kedua-dua proses perancangan status bahasa Melayu dan kesannya, yang melibatkan perubahan sosial yang kompleks, tidak boleh terus dikesampingkan. Ia hendaklah dihebahkan dengan penuh kebanggaan.

Dalam pada ini, ada keperluan juga untuk memantau hasilan kemasyarakatan, yakni kesan jangka panjang selain perubahan pada keseluruhan masyarakat.

Ini penting agar perubahan baharu yang sesuai dapat segera dilakukan untuk mencapai matlamat sosial yang telah lama dihasratkan itu, iaitu penyatuan linguistik.

Sejujurnya penyatuan linguistik yang dihasratkan di negara ini belum tercapai, walau sedikit pun pada tahap yang dapat dibanggakan.

Ia yang mula dihasratkan pada Penyata Pendidikan Razak 1956, antaranya menerusi penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa pengantar utama secara beransur-ansur, masih belum berjaya.

Hasrat ini yang kemudiannya termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 dan pindaannya pada 1996, masih belum betul-betul berhasil biarpun secara berdikit-dikit dalam tempoh 70 tahun ini.

Untuk ini, penting dihemati semula sektor pendidikan negara dalam hal pelaksanaan dasar penyatuan linguistik yang tidak kesampaian ini.

Sehubungan ini, ada keperluan mendesak untuk memperkenal sisi baharu. Barangkali perlu dihemati kepentingan kecekapan berbahasa Melayu sebagai syarat utama lagi wajib dalam menjayakan penyatuan linguistik yang selama ini gagal.

Selain ini, ada keperluan yang mengasak juga untuk mengenal pasti segmen murid dan pelajar yang perlu dibimbing secara mikro ke arah kejayaan penyatuan linguistik secara makro.

Untuk ini, barangkali ada keperluan bagi melakar semula strategi dalam memperoleh sokongan seluruh masyarakat demi mencapai tujuan murni pada penyatuan linguistik itu.

Terpenting dalam usaha ini ialah dukungan pemerintah, baik secara fiskal mahupun fizikal. Ini penting untuk sistem pendidikan negara terus diselenggara dengan baik pada konteks yang sangat diperlukan. Antaranya penyatuan linguistik yang bermula di bangku sekolah.

Sebenarnya keadaan linguistik dalam negara ini yang perlu berubah, adalah banyak sekali. Untuk ini, keadaan struktur, yakni politik, ekonomi dan sosial, berserta budaya dan maklumat, hendaklah dipastikan lebih giat pengurusannya.

Ini agar penyatuan linguistik yang tergendala itu dapat didampak secara positif pada kali ini. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN