Muafakat teras kekuatan perundangan Negeri Sembilan

Muafakat teras kekuatan perundangan Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGERI Sembilan adalah permata unik dalam mahkota Persekutuan. Berbeza dengan sistem kesultanan yang bersifat hierarki di negeri lain, negeri ini berdiri teguh dengan prinsip demokrasi akar umbi. Di sini, kedaulatan bukan sekadar diwarisi tetapi dibina melalui semangat muafakat.

Ia merupakan sebuah model yang turut menjadi inspirasi kepada sistem pemilihan Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan.

Namun, di sebalik keunikan ini, timbul persoalan besar, bagaimana mengharmonikan adat yang berusia beratus tahun dengan tuntutan undang-undang moden?

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun sering dianggap sebagai tradisi lama, namun adat sebenarnya mempunyai kedudukan yang sah di sisi undang-undang. Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 160 (2) mengiktiraf adat yang mempunyai kuatkuasa undang-undang sebagai salah satu sumber undang-undang.

Di Negeri Sembilan, kedaulatan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat dilindungi sepenuhnya oleh menerusi Perkara 71 (1), (2), Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dan Bahagian 3 dan Bahagian 5 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

Namun, cabaran muncul apabila prosedur adat bertembung dengan birokrasi moden. Sebagai contoh, dalam isu penurunan takhta atau pelantikan, penglibatan menteri besar sebagai wakil kerajaan dalam proses pengesahan boleh mencetuskan kebuntuan jika terdapat perbezaan pandangan antara pihak adat dan birokrasi moden. Inilah titik persimpangan yang sedang dilalui sekarang.

Untuk memahami konflik kuasa yang timbul, kita harus menyelami falsafah ‘bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat.’ Di Negeri Sembilan, kuasa tidak turun dari puncak piramid, sebaliknya, dari bawah.

Anak buah memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang Yang Empat memilih Yang di-Pertuan Besar.

Sistem ini bukan sekadar tradisi budaya tetapi sistem perundangan dan politik yang lengkap. Sejarah membuktikan kestabilan Negeri Sembilan bergantung kepada sejauh mana proses muafakat ini dihormati.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, instrumen perundangan moden, di antaranya menerusi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri dan kes-kes mahkamah, mula menyentuh urusan yang dahulunya dianggap sebagai wilayah mutlak adat seperti krisis berkaitan institusi beraja, adat dan kerajaan negeri, maka garis pemisah antara ketiga-tiga mula kabur dan menjadi semakin kompleks.

Oleh sebab itu pendekatan sejarah menerusi tafsiran perundangan sangat penting. Ini termaktub dalam Fasal 32 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan menyatakan Perlembagaan Lama terpakai selagi tidak bertentangan dengan perundangan moden.

Pemakaian perjanjian lama ini bukanlah sesuatu yang asing dalam aspek undang-undang. Ahli falsafah perundangan seperti Savigny mengingatkan undang-undang yang baik mestilah lahir daripada ‘jiwa masyarakat’, bukan sekadar peraturan kaku di atas kertas.

Henry Maine dalam karyanya Ancient Law pula melihat keperluan bagi melihat proses perubahan undang-undang dan adat menerusi pendekatan daripada status kepada kontrak. Kemajuan sesebuah masyarakat sering melalui peralihan daripada ‘status’ kepada ‘kontrak’.

Di Negeri Sembilan, kita melihat evolusi ini sedang berlaku secara unik. Jika dahulu kedudukan adat (status) adalah mutlak tetapi kin dalam kerangka perlembagaan bertulis (kontrak).

Namun, seperti yang diperingatkan oleh Maine, undang-undang tidak seharusnya memutus hubungan dengan sejarahnya. Sebaliknya, kodifikasi undang-undang moden di Negeri Sembilan seharusnya menjadi pelindung kepada jati diri adat, bukannya alat yang meminggirkan peranan muafakat yang telah lama menjadi akar kestabilan negeri.

Oleh sebab itu, pendekatan sejarah penting agar adat dapat disesuaikan dengan perkembangan perundangan moden dalam menangani konflik yang berlaku.

 

Sejarah sebenarnya sudah menyediakan jalan keluar melalui Perjanjian 1895, 1898 dan 1934, yang semuanya berpaksikan satu kunci utama iaitu muafakat.

 

Perjanjian 1895: Penyatuan konfederasi Negeri Sembilan

Inilah titik permulaan Negeri Sembilan moden. Sebelum ini, luak-luak (daerah) berdiri sendiri.

Melalui Perjanjian 1895, buat pertama kalinya, luak-luak ini bersetuju untuk bergabung di bawah satu naungan pentadbiran. Penyatuan ini berdasarkan kesepakatan untuk membentuk sebuah persekutuan yang lebih kuat demi kepentingan bersama.

 

Perjanjian 1898: Pengiktirafan institusi Yang di-Pertuan Besar

Jika Perjanjian 1895 menyatukan wilayah, Perjanjian 1898 pula menyatukan kepimpinan. Melalui perjanjian ini, Undang Yang Empat secara rasmi memilih dan mengiktiraf Tuanku Muhammad sebagai Yang di-Pertuan Besar yang pertama bagi seluruh Negeri Sembilan.

Perjanjian ini menetapkan satu prinsip penting iaitu kuasa Yang di-Pertuan Besar daripada mandat muafakat para undang. Tanpa muafakat para Undang Yang Empat, institusi pusat tidak wujud.

 

Perjanjian 1934: Pemantapan kedaulatan dan adat

Perjanjian ini adalah kemuncak kepada penyusunan struktur negeri. Ia memperincikan semula bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar dan hak-hak Undang Yang Empat. Paling utama, perjanjian ini menegaskan urusan adat dan struktur tradisi di peringkat Luak adalah wilayah yang tidak boleh diganggu-gugat. Ia menjadi asas kepada apa yang kita kenali hari ini sebagai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menerusi perjanjian ini dapat dilihat penyelesaian konflik yang berlaku antara pihak raja-raja dan birokrasi moden boleh diselesaikan sekiranya kita melihat semula perjanjian lama yang penuh dengan semangat muafakat.

Ramai beranggapan mahkamah adalah jalan penyelesaian tunggal. Namun, sistem mahkamah yang bersifat adversarial, di mana mesti ada pihak yang menang dan ada yang kalah.

Dalam isu adat, pendekatan ini berisiko meninggalkan luka yang mendalam. Selain itu, mahkamah hanya melihat kepada surat undang-undang manakala muafakat melihat kepada semangat undang-undang yang boleh mengharmonikan masyarakat keseluruhannya.

Oleh sebab itu peranan sejarah terutamanya rujukan kepada perjanjian-perjanjian lama boleh diambil kira dalam menyelesaikan konflik yang ada. Kesemua pihak baik institusi beraja, institusi adat dan kerajaan negeri boleh melihat kepada aspek ini dalam memastikan penyelesaian konflik memenuhi tiga elemen utama iaitu pengetahuan tempatan, kearifan tempatan, kebijaksanaan tempatan, sebagai sesuatu yang perlu difikirkan demi penyelesaian konflik secara muafakat di Negeri Sembilan. –UTUSAN

 

IKMAL Hisham Md. Tah ialah Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

MOHD. Khairil Hisham Mohd. Ashaari ialah kurator di Galeri Tuanku Jaafar Negeri Sembilan dan penulis buku The Legacy of Yamtuan Antah: Unity and Leadership.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini