Malaysia perlu reset integriti untuk kekang rasuah

Malaysia perlu reset integriti untuk kekang rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Malaysia menyaksikan penganjuran Wacana Ilmiah Perdana yang menghimpunkan tokoh-tokoh penting dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), institusi akademik dan sektor korporat bagi membincangkan tema ‘Memperkasa Integriti dan Tadbir Urus melalui Pendidikan dan Kepimpinan Beretika.’

Wacana ini bukan sekadar satu program intelektual tetapi cerminan jujur tentang kedudukan sebenar integriti negara yang berada di persimpangan antara kesedaran dan kegagalan pelaksanaan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat wacana ini sebagai satu ‘panggilan kesedara nasional’.

Kita tidak lagi boleh menafikan negara ini mempunyai pelbagai dasar, strategi dan pelan tindakan berkaitan integriti. Namun persoalan sebenar mengapa rasuah masih berlaku, malah semakin kompleks dalam era disrupsi hari ini?

Jawapannya jelas, kita tidak kekurangan sistem tetapi kekurangan pembudayaan integriti.

Dalam wacana tersebut, ditegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan. Hakikat ini telah lama diketahui, namun masih belum diterjemahkan secara menyeluruh dalam sistem negara. Undang-undang mampu menghukum tetapi tidak mampu membentuk manusia yang berintegriti.

Kita mempunyai institusi seperti SPRM yang berfungsi dengan mandat jelas. Kita mempunyai pelbagai pelan seperti Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS). Kita juga mempunyai sistem pendidikan yang menekankan nilai moral. Namun, pada masa sama, kita masih berhadapan dengan ketirisan dana awam, salah guna kuasa dan budaya ‘tahu tetapi tidak melapor’.

Ini menunjukkan masalah sebenar bukan pada struktur luaran tetapi pada kekuatan dalaman manusia dan sistem nilai masyarakat.

Antara dapatan paling membimbangkan dalam wacana tersebut ialah kewujudan mentaliti masyarakat yang cenderung untuk menerima rasuah jika diberi peluang. Ini bukan sekadar isu statistik tetapi isyarat integriti belum menjadi prinsip hidup, sebaliknya hanya slogan yang dihafal.

MCW berpandangan bahawa Malaysia sedang berdepan dengan krisis nilai yang serius.

Dalam banyak keadaan, kejayaan masih diukur melalui kekayaan material, bukan kejujuran. Individu yang mencapai kedudukan tinggi sering diraikan tanpa diteliti sumber kejayaannya. Malah dalam kehidupan seharian, pelanggaran kecil seperti menipu, mengambil hak orang lain atau menyalahgunakan kemudahan dianggap remeh.

Budaya ini, jika dibiarkan, akan melahirkan generasi yang melihat rasuah sebagai ‘peluang’, bukan jenayah.

Wacana tersebut turut mengakui sistem pendidikan negara sebenarnya telah mempunyai dasar yang baik dan menyeluruh. Namun kelemahan terbesar adalah pada aspek pelaksanaan.

MCW melihat pendidikan integriti di Malaysia masih terlalu teoritikal.

Pelajar diajar tentang definisi integriti tetapi tidak diuji dalam situasi sebenar yang mencabar nilai tersebut. Mereka memahami konsep kejujuran tetapi tidak didedahkan kepada dilema moral yang memerlukan keberanian untuk membuat keputusan yang betul.

Lebih membimbangkan, sistem penilaian pendidikan masih terlalu menekankan pencapaian akademik semata-mata. Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tinggi diraikan tetapi integriti jarang diukur.

Jika sistem ini tidak diperbetulkan, kita akan terus melahirkan graduan yang cemerlang di atas kertas tetapi lemah dari segi prinsip.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah peranan kepimpinan dalam menentukan kejayaan atau kegagalan sistem integriti. Sehebat mana pun dasar yang dirangka, namun jika kepimpinan lemah atau berkompromi, hanya akan menyebabkan sistem tersebut gagal.

MCW menegaskan krisis integriti di Malaysia juga adalah krisis kepimpinan.

Pemimpin bukan sekadar pembuat dasar tetapi simbol nilai kepada masyarakat. Apabila pemimpin menunjukkan toleransi terhadap salah guna kuasa, mesej yang dihantar kepada rakyat adalah jelas iaitu integriti boleh dirunding.

Sebaliknya, jika pemimpin tegas dan tidak berkompromi, hanya akan menyebabkan budaya integriti akan terbina secara semula jadi.

Dalam era digital hari ini, integriti berdepan cabaran yang lebih kompleks. Maklumat bergerak pantas, persepsi boleh dimanipulasi dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu.

Politik juga tidak terkecuali daripada fenomena ini.

Budaya ‘politik demi tanda suka’ menjadikan populariti lebih penting daripada kebenaran. Pemimpin ditekan untuk memberikan jawapan yang sedap didengar, bukan keputusan yang betul.

Dalam keadaan ini, integriti bukan sahaja diuji dari segi moral tetapi juga dari segi keberanian untuk melawan arus populariti.

 

RASUAH dan salah guna kuasa tidak cukup ditangani melalui undang-undang semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan nilai masyarakat, pendidikan yang lebih praktikal dan kepimpinan yang berintegriti.

KE ARAH RESET INTEGRITI NASIONAL

Berdasarkan dapatan wacana tersebut, MCW mengemukakan beberapa cadangan strategik:

Pertama, Malaysia memerlukan satu Reset Ekosistem Integriti Nasional. Pendekatan ini perlu dilakukan secara menyeluruh yang melibatkan kerajaan, pendidikan, sektor swasta dan masyarakat. Integriti tidak boleh lagi dilihat sebagai tanggungjawab satu agensi sahaja.

Kedua, sistem pendidikan perlu direformasi dengan menekankan pengalaman praktikal integriti. Pelajar perlu diuji dalam situasi sebenar, bukan sekadar dinilai melalui peperiksaan.

Ketiga, penilaian prestasi pemimpin dan penjawat awam mesti memasukkan indikator integriti sebagai komponen utama, bukan sekadar pencapaian output.

Keempat, sistem perlindungan pemberi maklumat perlu diperkukuh bagi menggalakkan keberanian melaporkan salah laku.

Kelima, pelantikan jawatan penting negara perlu melalui mekanisme yang lebih telus seperti Jawatankuasa Carian bagi mengurangkan risiko kronisme dan nepotisme.

MCW ingin menegaskan wacana seperti ini hanya akan memberi makna jika diterjemahkan kepada tindakan konkrit.

Malaysia tidak memerlukan lebih banyak seminar atau slogan tentang integriti. Malaysia memerlukan keberanian untuk berubah bermula dari sistem, kepimpinan dan masyarakat itu sendiri.

Integriti bukan sekadar nilai moral sebaliknya merupakan asas kepada kepercayaan rakyat, kestabilan negara dan masa hadapan generasi akan datang.

Jika kita gagal memperkukuh integriti hari ini, kita bukan sahaja kehilangan wang negara tetapi maruah sebagai sebuah bangsa.

Dan pada ketika itu, apa sahaja dasar yang kita bina tidak lagi bermakna.

MCW percaya perang melawan rasuah bukan bermula di mahkamah tetapi dalam hati setiap rakyat Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN