PERDEBATAN tentang institusi diraja kembali hangat susulan kenyataan beberapa tokoh politik yang mempertikai ‘kedudukan titah’ dalam kerangka raja berperlembagaan.
Isu ini tercetus selepas Pemimpin DAP, Tony Pua mempertahankan pandangan kuasa raja di Malaysia adalah terhad dan tidak mengikat dalam semua urusan pentadbiran negara.
Kenyataan itu hadir selepas Ronnie Liu dan beberapa pemimpin DAP ditegur secara terbuka oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar lebih memahami Rukun Negara serta menghormati institusi diraja.
Namun, di sebalik polemik politik semasa, persoalan lebih besar sebenarnya ialah, apakah rakyat Malaysia masih memahami fungsi sebenar institusi raja Melayu dalam pembinaan negara?
Malaysia bukan republik. Negara ini dibina atas asas demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Dalam sistem ini, Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol istiadat, sebaliknya menjadi payung negara, ketua utama negara dan sebahagian daripada struktur semak dan imbang Perlembagaan.
Maka, mempertahankan institusi diraja bukan bermaksud menolak demokrasi, sebaliknya mempertahankan keseimbangan kuasa yang menjadi asas kestabilan negara sejak merdeka.
Ada pihak cuba menggambarkan raja-raja Melayu sekadar simbol budaya tanpa fungsi signifikan. Hakikatnya, sistem raja berperlembagaan di Malaysia mempunyai peranan semak dan imbang yang unik. Dalam banyak keadaan, institusi diraja bertindak sebagai payung terakhir kestabilan ketika politik menjadi terlalu bercelaru.
Krisis politik 2020–2021 misalnya memperlihatkan bagaimana Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan penting memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan menurut Perlembagaan. Ketika ahli politik saling berebut angka dan kuasa, institusi raja menjadi benteng terakhir mengelakkan negara terjerumus ke dalam kekacauan politik yang lebih besar.
Malah, Majlis Diraja Selangor sendiri, baru-baru ini, menjelaskan bahawa titah sultan bukan campur tangan politik tetapi sebahagian daripada tanggungjawab raja berperlembagaan untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan selaras dengan perlembagaan dan kepentingan rakyat.
Di sinilah ramai gagal memahami perbezaan antara ‘kuasa mutlak’ dan ‘pengaruh moral’. Raja mungkin tidak mentadbir secara langsung tetapi baginda mempunyai autoriti moral dan kedudukan perlembagaan yang dihormati.
Lebih penting, rakyat perlu memahami bahawa institusi raja Melayu bukan muncul selepas merdeka. Institusi inilah yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia moden.
Sejarah membuktikan ketika British mahu memperkenalkan Malayan Union pada 1946, orang Melayu bangkit menentang kerana pelan tersebut menghakis kuasa raja-raja Melayu serta membuka kewarganegaraan secara terlalu longgar. Penentangan besar-besaran akhirnya membawa kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang ditandatangani oleh raja-raja Melayu dan pihak British.
Perjanjian inilah yang menjadi asas kepada pembentukan negara menuju kemerdekaan.
Hakikat yang sering dilupakan ialah, kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu pada waktu itu juga berlaku melalui persetujuan raja-raja Melayu. Dokumen sejarah menunjukkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 membuka ruang kerakyatan kepada bangsa asing yang tinggal di Tanah Melayu dengan syarat tertentu termasuk taat setia kepada Persekutuan.
Maksudnya, tanpa perkenan dan persetujuan raja-raja Melayu ketika itu, proses pemberian kewarganegaraan kepada masyarakat bukan Melayu mungkin tidak berlaku seperti hari ini.
Ini fakta sejarah yang tidak boleh dipadam.
Sebab itu apabila ada pihak terlalu mudah mempertikai atau memperlekeh institusi raja Melayu, ramai melihatnya sebagai seolah-olah lupa akar sejarah negara ini sendiri.
Dalam budaya Melayu, ada pepatah lama berbunyi ‘kaduk naik junjung’ merujuk kepada keadaan apabila pihak yang diberi ruang dan layanan akhirnya melampaui batas sehingga mahu menguasai atau memperkecil tuan asal.
Pepatah ini mungkin kedengaran keras, tetapi sentimen itulah yang mula dirasai sebahagian masyarakat apabila institusi raja dipersoalkan secara terbuka dengan nada yang dianggap tidak beradab.
Institusi raja Melayu bukan diwujudkan sekadar untuk adat istiadat atau upacara rasmi semata-mata. Sebaliknya, menjadi asas kepada kontrak sosial yang membentuk negara ini sejak sebelum merdeka lagi.
Ketika rundingan kemerdekaan berlangsung, raja-raja Melayu memainkan peranan penting dalam mencapai persefahaman antara kaum. Orang Melayu menerima pemberian kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu melalui prinsip jus soli, manakala kaum lain pula menerima kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa Melayu serta bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kesepakatan inilah yang membolehkan negara mencapai kemerdekaan secara aman tanpa perang saudara atau pertumpahan darah seperti dialami beberapa negara lain.

BUKAN SIMBOL SEJARAH
Justeru, institusi raja bukan sekadar simbol sejarah tetapi sebahagian daripada asas kestabilan dan keharmonian negara.
Apabila ada pihak mempertikai atau memperlekeh institusi ini secara terbuka, ia bukan sahaja menyentuh soal adab tetapi turut membuka ruang kepada penghakisan terhadap kontrak sosial yang selama ini menjadi tunjang hubungan antara kaum di Malaysia.
Sebab itu mempertahankan institusi diraja tidak boleh bersifat bermusim. Hanya menyokong raja apabila menguntungkan politik sendiri tetapi mempertikai baginda apabila keputusan tidak memihak kepada kepentingan tertentu.
Jika benar prinsip ‘Kesetiaan kepada raja dan negara’ dijunjung, maka ia mesti diterjemahkan melalui penghormatan yang konsisten terhadap Perlembagaan, sejarah negara dan institusi yang menjadi payung kepada rakyat Malaysia seluruhnya.
Demokrasi memberi hak untuk berbeza pandangan tetapi demokrasi juga menuntut adab.
Dalam konteks Malaysia, adab terhadap institusi diraja ialah sebahagian daripada budaya kenegaraan yang termaktub dalam Rukun Negara. Raja-Raja Melayu bukan sekadar warisan sejarah Melayu, tetapi sebahagian daripada struktur negara Malaysia moden.
Apabila institusi ini dipandang sinis, diperlekeh atau dijadikan bahan percaturan politik, yang terhakis bukan sekadar imej istana tetapi juga kestabilan sistem negara itu sendiri.
Akhirnya, rakyat perlu sedar bahawa mempertahankan institusi diraja bukan bermaksud menolak kritikan atau menutup ruang demokrasi. Sebaliknya, ia bermaksud mempertahankan salah satu tiang utama yang selama ini membantu memastikan Malaysia kekal stabil, aman dan berdaulat dalam masyarakat yang sangat pelbagai. –UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran ialah Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional.










