Haji satukan umat, hapuskan rasisme

Haji satukan umat, hapuskan rasisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun, jutaan manusia dari seluruh pelusuk dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan warna kulit dijemput untuk berkumpul di tanah suci bagi menyempurnakan ibadat haji.

Sebagai ibadat penting dalam Islam, rukun Islam kelima ini mengandungi pelbagai hikmah yang perlu dihayati.

Ibadat haji bukan sekadar upacara tahunan. Sebaliknya, memiliki aspirasi untuk membentuk transformasi kerohanian, intelektual, sosial dan ekonomi umat Islam.

Menyentuh soal transformasi sosial ibadat haji, mungkin objektif paling jelas yang dapat diperhatikan dalam ibadat ini adalah tentang pembentukan kesatuan umat.

Bagi sesiapa yang pernah menunaikan haji, sudah pasti mereka akan dapat melihat ibadat ini merupakan satu madrasah yang menyatupadukan umat Islam sejagat. Islam sangat menekankan soal penyatupaduan manusia tanpa mendiskriminasikan sesuatu bangsa atau kaum. Prinsip ini jelas dapat dilihat dalam ibadat Haji.

Meskipun jemaah datang dari pelbagai latar masyarakat, bahasa dan budaya, namun tetap berkongsi amalan, perjalanan dan tujuan sama yang ingin dicapai sepanjang pelaksanaan ibadat haji.

Malah, mereka mungkin juga berbeza pegangan mazhab dan asal usul. Namun, apabila menunaikan haji, semua perbezaan diketepikan dan mereka mampu melakukan amalan-amalan secara bersama-sama. Semuanya bagi mencari keredaan Allah SWT dan mencari haji yang mabrur.

Ibadat ini juga menyatukan umat dalam bentuk menyamaratakan kedudukan jemaah. Walaupun berbeza status keduniaan, keturunan, pangkat dan kekayaan, semua itu tidak membezakan mereka.

Malah, kita dapat lihat kesatuan para jemaah yang datang dalam pakaian yang serba ringkas, terutamanya bagi kaum lelaki yang hanya memakai dua helai kain putih. Inilah manifestasi kesatuan yang meletakkan kekuatan tauhid sebagai pemersatu, bukan slogan mahupun retorik semata-mata.

Dari sudut sejarah, Islam juga telah menyucikan amalan haji ini daripada tokok tambah masyarakat Jahiliyyah. Sebelum diturunkan wahyu kepada Rasulullah SAW, masyarakat Arab Jahiliyyah telah merosakkan nilai spiritual ibadat haji ini dengan mencampuradukkannya dengan amalan-amalan yang tiada asalnya.

Pelbagai bentuk diskriminasi dan perkauman sempit dimasukkan sehingga mengubah roh dan nilai kerohanian yang terkandung dalam ibadat yang agung ini.

Sebagai contoh, para mufassir seperti al-Tabari, al-Qurtubi dan seumpamanya menjelaskan pada zaman Jahiliyyah, sebahagian golongan Quraisy enggan keluar daripada Tanah Haram sewaktu melaksanakan ibadat Haji, dengan dakwaan mereka merupakan ‘bangsa istimewa’ yang tidak seharusnya keluar daripada Tanah Haram.

Hasilnya, mereka enggan berwukuf di Arafah kerana Padang Arafah terkeluar daripada sempadan Tanah Haram. Keistimewaan palsu ini dimansuhkan oleh al-Quran apabila Allah SWT menurunkan ayat: “Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Baqarah:199).

Dengan ayat ini, Allah SWT menyamaratakan semua manusia dalam ibadat haji tanpa memberikan kemuliaan kepada bangsa atau kaum tertentu.

 

IBADAT haji medan besar yang menyatukan umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit dan latar belakang.

 

MALCOLM X SAKSI HIDUP TRANSFORMASI HAJI MENENTANG RASISME

Antara saksi paling jelas yang menekankan peranan haji dalam menyatukan umat Islam dapat dilihat dalam penulisan seorang pemikir dan aktivis terkenal, Malcolm X (kemudian dikenali juga sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz).

Sebelum menunaikan haji pada 1964, beliau terkenal dengan pandangan yang memisahkan masyarakat kulit hitam dengan kulit putih. Namun, pengalaman di Tanah Suci Mekah mengubah kerangka fikirannya sehingga membuatkannya melihat manusia dari pelbagai bangsa dan warna kulit mampu hidup bersama.

Dalam suratnya yang terkenal, Letter from Mecca, beliau menulis: “Belum pernah aku menyaksikan keramahan yang tulus dan semangat persaudaraan sejati seperti yang diamalkan oleh para jemaah yang terdiri daripada semua warna kulit dan bangsa di Tanah Suci ini.

“Terdapat puluhan ribu jemaah dari seluruh dunia. Mereka daripada pelbagai warna kulit; daripada yang bermata biru dan rambut perang hingga ke Afrika yang berkulit hitam. Walaupun begitu, kami semua melakukan ritual yang sama, menunjukkan semangat perpaduan dan persaudaraan yang pengalamanku di Amerika dulu membuatku percaya semua itu tidak mungkin wujud antara masyarakat kulit putih dengan selainnya.”

Pengalaman ibadat haji yang mengangkat nilai kesamarataan, persaudaraan dan budaya menghormati melenyapkan salah faham perkauman dalam diri Malcolm X. Beliau pulang dengan keyakinan Islam adalah mampu menghapuskan rasisme kerana agama ini mengajarkan semua manusia berasal dari satu sumber yang sama, iaitu Allah SWT.

Kenyataan ini selari dengan nilai Islam yang menentang rasisme secara tegas. Menariknya, sejak 1,400 tahun lalu, Rasulullah SAW membentuk asas antirasisme melalui khutbah al-wada‘ di Arafah apabila Baginda SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, ketahuilah Tuhanmu adalah satu, dan bapa kamu (Adam) adalah satu. Kamu semua berasal daripada Adam, dan Adam berasal daripada tanah.

“Ketahuilah yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Tiada kemuliaan bagi seorang Arab berbanding bukan Arab dan bukan Arab berbanding seorang Arab, kecuali dengan ketakwaan.”

Deklarasi ini disampaikan di tempat yang sama diziarahi berjuta-juta umat Islam yang berkumpul setiap tahun. Deklarasi ini jelas menandakan satu penolakan tegas terhadap sebarang bentuk diskriminasi kaum.

Nilai ini seharusnya dihayati dan dikenang jemaah sewaktu mereka menunaikan haji, memandangkan itulah antara mesej penting yang disampaikan oleh baginda sewaktu menunaikan haji.

Oleh yang demikian, diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim suatu kisah apabila sahabat Nabi SAW yang dikasihi, Abu Zar RA telah mencela ibu seorang pemuda yang bukan daripada bangsa Arab. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Rasulullah, Baginda SAW dengan tegas bersabda, “Wahai Abu Zar, Adakah kamu mencelanya disebabkan ibunya? Sesungguhnya kamu ialah seorang yang masih mempunyai saki baki sifat Jahiliyyah. Mereka itu ialah saudara-saudara kamu.”

Nas-nas yang dibawakan jelas menunjukkan Islam sangat menekankan kesatuan umat sebagai asas penting dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks hari ini. Kesatuan bukan sekadar tuntutan tetapi kunci kepada pembinaan masyarakat dan negara yang sejahtera.

Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada ibadat haji yang menekankan perpaduan. Perbezaan pandangan, khususnya di media sosial, harus diurus dengan hikmah agar tidak membawa kepada perpecahan. Perselisihan kecil tidak sepatutnya memutuskan hubungan, selaras peringatan Rasulullah SAW agar tidak berpecah lebih daripada tiga hari.

Justeru, perbezaan perlu ditangani dengan adab dan kebijaksanaan supaya persaudaraan Islam terus terpelihara. –UTUSAN

DR. Mohamad Zulkifli Abd. Rahman ialah Felo, Pusat Kajian Akidah, Agama dan Keharmonian, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×