11 Mei ini, satu detik bersejarah untuk UMNO. Ini kerana parti keramat Melayu itu akan berusia 80 tahun. Tarikh itu juga bukan sekadar ulang tahun tetapi muhasabah untuk parti.
Lapan dekad lalu, UMNO lahir dari penentangan ke atas pembentukan Malayan Union. Kini, ia menghadapi musuh berbeza. Parti ini berdepan kekecewaan ‘anak sendiri’, bisikan supaya dibubarkan dan gelombang politik yang cuba melupuskan perjuangan ke atas orang Melayu serta masyarakat lain mahupun tanah air ini.
Ramai yang menulis obituari UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Ramai yang tersilap kira kerana hari ini, pada usia 80 tahun, UMNO bukan sahaja masih wujud tetapi menjadi antara parti paling stabil dalam Kerajaan Perpaduan. Dari hampir roboh, kini menjadi tiang. Kesannya juga ke atas Barisan Nasional (BN), gabungan besar bersama parti lain.
Ini bukan tentang presiden atau menteri. Ini tentang kesinambungan sebuah institusi yang melahirkan semua Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah sebuah parti yang belajar dari luka, mengikat semula pecahan dan berdiri tegak sebagai pelindung negara.
80 tahun. Jatuh. Bangun. Bertahan. Inilah kisah UMNO.
UMNO dilahirkan bukan dalam dewan berhawa dingin tetapi dalam gelora semangat menentang penjajah, satu tindakan berani yang menyatukan orang Melayu ketika kerajaan Inggeris cuba menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu.
80 tahun kemudian, dunia sudah berubah. Malaysia bukan lagi tanah jajahan tetapi persoalannya, adakah perjuangan itu masih sama? Atau kita mudah lupa dari mana bertapanya UMNO?
Sebagai ingatan, UMNO pernah jatuh, pernah dikoyak dalaman, pernah ditohmah dan hampir dibubarkan. Hari ini, ia masih berdiri. Lebih teguh. Lebih matang kerana itulah watak pelindung negara.
FASA KEPIMPINAN
Sejarah UMNO adalah sejarah Malaysia. Daripada Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan kini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, setiap presiden membawa cabaran zaman masing-masing. Kepimpinan yang bersesuaian dengan zamannya.
Satu fakta yang tidak boleh dinafikan setiap Perdana Menteri dari Tunku hingga ke Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilahirkan daripada DNA politik UMNO. Ini bukti sistem giliran kepimpinan UMNO adalah kilang perdana menteri negara. Tiada parti lain boleh buat tuntutan itu.

AHMAD ZAHID: PEMIMPIN YANG TIDAK MAHU MATIKAN LAMPU UMNO
Datanglah siapa pun yang mahu mengecam tetapi satu perkara perlu diakui ketika ramai yang menyeru supaya UMNO dibubarkan selepas PRU14, seorang berdiri tegak memikul amanah. Insan itu adalah Ahmad Zahid.
Ada suara dari dalam parti sendiri yang berkata: “Bubar je lah UMNO, buat parti baharu.” Ada yang lari menyelamatkan diri. Ada yang tidur di pangkuan parti lain. Namun Ahmad Zahid pilih jalan yang paling sukar dengan bersihkan struktur, kuatkan akar umbi dan yang paling penting, kekalkan nama UMNO.
Tanya sekarang, apakah UMNO masih wujud? Jawapannya, ya. Adakah UMNO kini antara komponen paling stabil dalam Kerajaan Perpaduan? Jawapannya juga, ya.
Krisis dalaman? Sudah pasti ada. Faksi bertembung. Cita-cita bercanggah. Itu darah daging politik mana-mana parti siasah negara. Apa yang membezakan UMNO sekarang, krisis dikelola, bukannya dibiarkan meragut nyawa parti. Itu kematangan. Itu pengorbanan. Itu keberanian seorang presiden yang enggan melihat rumah bapanya roboh.
Kuat UMNO, teguh BN. Walaupun wujud persengketaan dalaman buat seketika, kini masing-masing cuba melihat tititk kebersamaan dalam menelusuri politik yang kian mencabar.
Kalau kita jujur, UMNO memberikan tiga perkara besar kepada negara:
• Kemerdekaan : Bukan hadiah tetapi hasil tuntutan
• Kestabilan : Dari etnik majmuk kepada satu bangsa Malaysia
• Kesinambungan : Walaupun pernah tewas di PRU14, UMNO bangkit semula dan kembali menjadi tulang belakang kerajaan.
Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan Pelan Transformasi Infrastruktur, semua ini lahir daripada kepimpinan berteraskan UMNO. Ini fakta sejarah.
Generasi muda sekarang bertanya: “UMNO masih relevan?” Jawapan saya: “Yang bertanya macam tu, biasanya belum pernah kehilangan. Cuba bayangkan Malaysia tanpa UMNO untuk satu tempoh masa. Siapa yang menjamin kesederhaan dan kepentingan warga negara ini?
“Siapa yang menjadi benteng ketika parti agama dan parti nasionalis berebut pengaruh? Siapa yang pastikan Perdana Menteri tidak terumbang-ambing oleh desakan ekstrem?”
Ya, UMNO ada cela dan silap. Ada tokoh yang kecewa. Namun, membuang UMNO kerana setitik kesalahan, ibarat membuang perisai kerana satu calar. Orang bijak memperbaiki, orang kuat bertahan, orang beriman tidak menyerah. Bagi ahli dan generasi muda, 80 tahun adalah angka bermuhasabah.
Walau ada pelbagai pilihan ideologi kini, UMNO masih menampakkan taringnya sebagaimana kemunculan parti serpihan atau parti baharu.
UMNO bukan parti sempurna. Antara semua yang ada, inilah yang antara paling bertahan termasuk di rantau Asia kini. Krisis dalaman bukan kelemahan, ia proses pendewasaan. Kegagalan PRU14 bukan penghujung, ia adalah ujian untuk bangkit. Presiden bukan malaikat tetapi beliau sanggup menjadi perisai ketika yang lain menjaga diri.
Sejarah tidak berbohong atau menafikan sumbangan. Zaman berubah, pesaka bergilir. Hari ini UMNO adalah parti yang masih utuh, bersabung dengan dinamika politik muktahir dan 80 tahun mengajar erti pengorbanan, kompromi dan pengalaman sebagai parti induk serta dominan yang kemudiannya menjadi penentu pembentukan kerajaan.
SEDIA BERKHIDMAT LAGI
UMNO menjadi pelindung negara selama 80 tahun walaupun berada di luar kerajaan buat sementara (2018-2020). UMNO bukan paling kuat tetapi tahu erti perubahan dalam kesinambungan.
Selamat ulang tahun ke-80, UMNO. Ia wajar terus menjadi payung untuk yang lemah tembok, untuk yang terdesak kerana bila Malaysia goyah, yang pertama dan terakhir berdiri adalah untuk negara. Bangkit. Bersatu. Bersetia. Berkhidmat. –UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).










