BEGITU pantas masa berlalu meninggalkan kita. Bagi kami yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sesi pengajian bagi semester ini sudah hampir tiba ke penghujungnya. Semua kuliah sudah pun selesai dan selepas ini kami akan mula menduduki peperiksaan akhir semester.
Pada saat-saat seperti ini, pelbagai perkara akan bermain di fikiran, khasnya bagi pelajar yang sedang berada pada semester terakhir pengajian mereka. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat yang menyediakan kita untuk berhadapan dengan kenyataan dunia yang mencabar.
Satu soalan penting yang perlu kita tanyakan pada diri sendiri ialah, apakah pengajaran yang diraih sepanjang berada di universiti?
Berbual dengan rakan-rakan, saya sering mendengar tentang sesuatu yang disebut sebagai budaya 3K iaitu kuliah, kantin dan katil, yang dikatakan menjadi amalan lazim sebahagian mahasiswa.
Budaya ini merujuk suasana sepanjang tempoh pengajian di universiti, yang mana kehidupan di kampus seseorang mahasiswa itu hanya berkisar kepada mengikuti kuliah, makan dan tidur.
Ramai mahasiswa memilih untuk hanya belajar subjek wajib untuk memperoleh ijazah semata-mata. Mereka tidak bergerak aktif dalam meneroka bidang lain untuk mencari ilmu, kemahiran dan pengalaman tambahan di luar skop kurikulum wajib yang ditetapkan.
Walaupun tidak salah untuk berbuat demikian tetapi persoalannya adakah amalan budaya 3K mencukupi untuk menyediakan seseorang mahasiswa menghadapi cabaran di luar tembok universiti?
Dunia sudah berubah. Hari ini kita memerlukan lebih daripada segulung ijazah untuk melangkah lebih jauh. Sebagai contohnya, kita harus mempunyai kemahiran insani yang baik, termasuk pengalaman berinteraksi dalam dunia sebenar serta mampu menerapkan segala teori dipelajari di alam nyata.
Selasa lalu, ketika saya mengajar kuliah terakhir bagi kursus libat urus masyarakat (Usrah in Action) untuk semester ini, saya bertanya kepada pelajar tentang apakah perkara yang dapat mereka pelajari daripada kursus tersebut?
Ternyata, jawapan mereka kali ini jauh berbeza daripada harapan dan jangkaan yang diungkapkan ketika saya bertanya apa yang ingin mereka pelajari dalam kursus tersebut pada kuliah pertama semester lalu.
Kursus Usrah in Action ini mewajibkan pelajar turun ke dalam masyarakat terpinggir untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan isu kemampanan. Matlamatnya adalah untuk mendedahkan mahasiswa kepada realiti bekerja dengan masyarakat dalam dunia sebenar, bukannya hanya terbelenggu dalam teori tentang masalah masyarakat semata-mata.
Pada awalnya, ramai pelajar tidak dapat melihat manfaat daripada mengikuti kursus ini kerana ia bukanlah mata pelajaran akademik yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka. Malah, saya terpaksa berhadapan dengan pelajar yang sering tidak hadir dengan memberi pelbagai alasan.
Memang tidak dapat dinafikan sebahagian daripada pelajar mengambil kursus ini hanya kerana terpaksa memandangkan ia kursus wajib bagi setiap pelajar di UIAM.
Namun jelas sekali, semasa kelas terakhir ini, keadaannya jauh berbeza apabila masing-masing menyedari kursus ini mendidik mereka tentang banyak perkara penting yang tidak dapat mereka peroleh daripada kursus-kursus lain.
Malah, ada yang menghuraikan lagi dengan berkongsi kursus ini lebih banyak mengajarnya tentang sifat kepimpinan berbanding kursus khas Kepimpinan dan Pengurusan yang hanya menceritakan teori kepimpinan semata-mata, tanpa penglibatan aktif pelajar.
Seorang pelajar menceritakan bagaimana pengalamannya ketika menjalankan projek libat urus dengan masyarakat orang asli ini telah memberikannya kesedaran tentang betapa pentingnya mengamalkan sikap rendah hati.
Beliau menambah kursus ini membuka matanya untuk menyedari meskipun beliau jauh lebih berusia daripada kami, namun masih banyak perkara baharu yang boleh beliau pelajari daripada pengalaman orang lain.
Menariknya, dalam sesetengah perkara, kita seolah-olah lebih banyak belajar daripada masyarakat, berbanding apa yang kita pelajari di dewan kuliah.
Menyebut hal yang sama, seorang pelajar lain berkata kita yang tinggal di bandar sering melupakan asal usul kita khususnya berkaitan kearifan tempatan berbanding budaya hidup orang asli yang sentiasa mengutamakan kemahiran yang mereka ada.

PERKASA PEMBELAJARAN TRANSFORMATIF
Sudah sampai masanya kita bergerak ke arah pembelajaran yang merubah (transformative learning). Ia bersifat lebih mampan dengan berusaha membangunkan ilmu yang dapat membawa masyarakat ke arah kemajuan, kemampanan serta kesejahteraan berpanjangan.
Baru-baru ini seorang pakar dalam bidang pembangunan pendidikan berpandukan masa hadapan, Dr. Katrin Kohl pulang ke alma maternya di UIAM bagi mengadakan beberapa sesi perbincangan.
Dalam sesi perkongsian bersama beberapa pemimpin pelajar, beliau yang kini memegang jawatan Pemegang Bersama Kursi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Pelarasan Semula Pendidikan ke Arah Kemampanan di Universiti York, Kanada berkata tentang keperluan untuk melangkah keluar daripada sikap dan pendekatan lama dalam pendidikan.
Katrin menegaskan pembelajaran tidak seharusnya terhad kepada teori semata-mata tetapi perlu disertai pengalaman praktikal agar ilmu yang dipelajari dapat difahami dan dihayati dengan lebih mendalam.
Setiap peluang dan masa yang diperuntukkan dalam pendidikan wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya. Aktiviti kokurikulum perlu dirancang untuk memberi manfaat kepada pelajar, manakala kursus dalam kurikulum pula mesti dibangunkan agar benar-benar memperkaya ilmu, membentuk kemahiran dan mencetuskan pemikiran kritis, bukan sekadar menjadi kuliah kosong yang kurang memberi impak.
Sesi tersebut turut menekankan kepentingan untuk memastikan agar kegiatan pelajar menjadi sebahagian daripada perjalanan akademik, meskipun tidak formal.
Jangan hanya melihat pendidikan terhad kepada kuliah, tugasan dan peperiksaan semata-mata. Tanggungjawab mengubah sikap ini bukan sahaja terletak pada mahasiswa, tetapi lebih penting lagi institusi pendidikan sendiri serta para pembuat dasar.
Jika tidak berani mengubah sikap ke arah kebaikan, maka jangan berharap dapat merubah masyarakat ke arah kemajuan. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










