SU majikan culas melunaskan gaji pekerja bukanlah polemik baharu. Namun dari sudut undang-undang buruh di Malaysia, khususnya di bawah Akta Kerja 1955, majikan sama sekali tidak boleh membayar gaji mengikut suka hati atau hanya apabila syarikat ‘ada duit’.
Undang-undang menetapkan tempoh gaji tidak boleh melebihi satu bulan. Jika kontrak perkhidmatan tidak menyatakan tempoh gaji, secara automatik dianggap sebagai tempoh satu bulan.
Gaji ini hendaklah dibayar tidak lewat daripada hari ketujuh selepas hari terakhir tempoh gaji tersebut. Sebagai contoh, jika tempoh gaji berakhir pada 31 Mei, gaji mesti dibayar selewat-lewatnya pada 7 Jun.
Apabila majikan gagal melunaskan pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan, ia terus dikategorikan sebagai kegagalan membayar gaji atau tunggakan gaji, malah majikan dianggap telah memungkiri kontrak perkhidmatan.
Dari segi penangguhan, tidak wujud konsep ‘tempoh kelonggaran’ automatik yang boleh diguna pakai sesuka hati.
Jika penangguhan perlu dilakukan, ia mesti dikendalikan secara sah dan telus melalui prosedur permohonan pelanjutan tempoh pembayaran gaji di bawah Seksyen 19 kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Permohonan ini menuntut majikan mengemukakan dokumen lengkap termasuk maklumat pekerja terlibat, kontrak pekerjaan, penyata gaji, persetujuan bertulis pekerja, penyata bank serta laporan kewangan syarikat.
HAK SAMA RATA
Prinsip asas dalam hal ini amat jelas, sesiapa sahaja yang bekerja di bawah kontrak perkhidmatan berhak menuntut gaji yang diperoleh. Berikutan pindaan Akta Kerja yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, perlindungan ini diperluaskan kepada semua pekerja sektor swasta tanpa sebarang had gaji tertentu.
Namun, masyarakat perlu faham bagi pekerja bergaji melebihi RM4,000 sebulan, mereka masih boleh menuntut gaji tertunggak tetapi mungkin tidak layak untuk menuntut beberapa hak spesifik seperti bayaran kerja lebih masa, kerja hari rehat, kerja cuti umum, elaun syif dan faedah penamatan tertentu, melainkan mereka tergolong dalam kategori kerja manual atau hak itu dinyatakan dalam kontrak, polisi syarikat atau perjanjian kolektif.
Bagi pekerja kontrak, perlu dibezakan secara jelas antara pekerja kontrak tempoh tetap dan kontraktor bebas.
Selagi seseorang itu bekerja menerima arahan, tertakluk kepada jadual kerja dan dibayar gaji oleh majikan, hak menuntut itu kekal ada. Begitu juga bagi pekerja warga asing, hak terhadap gaji tidak hilang hanya kerana status kewarganegaraan mereka.
Sekiranya masalah pembayaran gaji berlaku, langkah pertama perlu diambil adalah membuat tuntutan secara bertulis kepada majikan atau bahagian sumber manusia (HR).
Pekerja perlu menyatakan bulan gaji tertunggak, jumlah yang belum dibayar, tarikh sepatutnya dibayar dan meminta tarikh pembayaran yang jelas.
Tindakan ini penting untuk mewujudkan rekod bukti bertulis dan bukannya sekadar berbincang. Jika masih tiada jalan penyelesaian yang munasabah, pekerja boleh memanjangkan aduan kepada JTKSM atas isu kelewatan gaji, tiada kontrak bertulis atau tiada penyata gaji.
Dalam kes tuntutan sebegini, janji lisan tidak membawa sebarang makna. Bukti yang paling kuat adalah dokumen sokongan hitam putih.
Pekerja dinasihatkan menyimpan dokumen kritikal seperti surat lantikan atau kontrak pekerjaan, penyata gaji, penyata bank yang menunjukkan bukti kemasukan atau ketiadaan transaksi gaji, rekod kehadiran, kad perakam waktu dan jadual kerja.
Selain itu, simpan juga bukti kerja lebih masa (OT), kerja hari rehat atau cuti umum, bukti komunikasi rasmi dan tidak rasmi seperti WhatsApp, e-mel atau memo daripada majikan berkaitan kelewatan gaji, penyata caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), surat penamatan, surat penggantungan kerja atau surat peletakan jawatan (jika ada) serta polisi syarikat, handbook atau perjanjian kolektif yang berkaitan.
ALASAN KEWANGAN
Kerap kali majikan memberi alasan masalah aliran tunai, pelabur menarik diri atau kegagalan projek. Segala masalah ini mungkin menjelaskan kesukaran syarikat tetapi sama sekali bukan pembelaan automatik di sisi undang-undang untuk menahan gaji.
Pekerja tidak sepatutnya dijadikan ‘pemberi pinjaman tanpa rela’ kepada syarikat kerana risiko perniagaan adalah di bahu majikan sepenuhnya.
Kuasa majikan untuk memotong gaji juga sangat terhad. Seksyen 24 Akta Kerja 1955 menegaskan tiada potongan boleh dibuat daripada gaji pekerja melainkan yang dibenarkan oleh undang-undang seperti pembetulan kesilapan lebihan bayaran dalam tempoh tertentu, indemniti tertentu atau potongan yang dibenarkan undang-undang.
Bagi potongan lain, ada keadaan memerlukan permintaan bertulis daripada pekerja atau kelulusan Ketua Pengarah JTKSM, dengan had maksimum potongan bulanan secara amnya tidak melebihi 50 peratus.
Prestasi kerja yang buruk atau ganti rugi kerosakan bukanlah alasan mudah untuk majikan memotong gaji secara melulu. Sekiranya wujud isu salah laku, majikan wajib menjalankan proses siasatan dalaman) terlebih dahulu.
Di bawah Seksyen 14, majikan boleh mengenakan tindakan disiplin yang sah seperti pemecatan, penurunan pangkat atau hukuman penggantungan yang lebih ringan selepas siasatan selesai tetapi hak majikan untuk menahan gaji bagi kerja yang sudah siap dilakukan tetap tidak dibenarkan.
Bagi memastikan tuntutan berjaya, pekerja harus menyalurkan kes ke platform yang betul mengikut skop kes masing-masing. Bagi tuntutan berbentuk wang seperti tunggakan gaji pokok, elaun tetap, komisen yang matang, baki cuti tahunan atau bayaran faedah penamatan, saluran yang tepat adalah JTKSM (Mahkamah Buruh).
Di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955, Ketua Pengarah mempunyai kuasa menyiasat dan memutuskan pertikaian antara pekerja dan majikan, malah perintah pembayaran oleh Ketua Pengarah boleh membawa faedah sehingga 8 peratus setahun bermula dari hari ke-31 selepas perintah dibuat sekiranya majikan gagal patuh.
Sebaliknya, Mahkamah Perusahaan pula lebih bertumpu kepada kes pembuangan kerja tidak adil, pertikaian perusahaan di mana pekerja dipaksa berhenti akibat tindakan majikan menahan gaji.
Di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, tuntutan ini mempunyai had masa yang ketat iaitu wajib dibuat dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembuangan kerja atau semasa tempoh notis.
Pekerja perlu berhati-hati kerana Akta Kerja menetapkan Ketua Pengarah JTKSM tidak boleh mendengar tuntutan gaji jika perkara atau pertikaian yang sama sedang berjalan, telah diputuskan atau telah dirujuk di bawah Akta Perhubungan Perusahaan atau Mahkamah Perusahaan.
Sekiranya pekerja memilih untuk mengambil tindakan secara kolektif (berkumpulan) terhadap majikan yang sama, langkah ini amat digalakkan. Tindakan kolektif mendedahkan corak kesalahan majikan kepada pihak berkuasa dan mengurangkan rasa takut pekerja individu.
Bagaimanapun, prosesnya tidak menjadi automatik lebih cepat. Setiap pekerja masih diwajibkan membuktikan kes masing-masing.
Oleh itu, pekerja digalakkan menyediakan senarai tersusun yang mengandungi, nama pekerja, jawatan, bulan gaji tertunggak, jumlah tuntutan, tarikh mula kerja serta dokumen sokongan individu. Sokongan daripada kesatuan sekerja juga boleh digunakan jika ada.
Bagaimana pula status pekerja jika syarikat ditutup atau digulungkan? Dari sudut istilah undang-undang, syarikat mengalami penggulungan, manakala istilah ‘bankrap’ hanya tepat digunakan untuk individu.
Jika syarikat digulungkan, pekerja masih mempunyai peluang menuntut bayaran, namun ia bergantung kepada baki aset syarikat dan kedudukan keutamaan hutang. Di bawah Akta Syarikat 2016, kebajikan pekerja diberi keutamaan tinggi dalam proses penggulungan.
Gaji atau upah (termasuk komisen, elaun dan bayaran balik) yang terhutang bagi tempoh perkhidmatan empat bulan sebelum bermulanya penggulungan diberi keutamaan, tertakluk kepada had RM15,000.
Malah, keutamaan ini turut merangkumi pampasan pekerja, bayaran cuti tahunan, cuti sakit, cuti umum, elaun bersalin serta tunggakan caruman keselamatan sosial (KWSP/Perkeso).
Sekiranya aset syarikat tidak mencukupi, hutang dalam kelas keutamaan yang sama ini akan dibayar secara berkadar.
Justeru, pekerja mesti bertindak pantas memfailkan aduan di JTKSM, menyemak status caruman dengan pihak KWSP/Perkeso dan segera mengemukakan borang bukti hutang kepada pegawai pelikuidasi.
Pesanan paling penting buat mana-mana pekerja yang berdepan situasi dilema ini adalah jangan tunggu terlalu lama. Rekodkan semua garis masa kelewatan secara bertulis dan ambil tindakan awal.
Pekerja juga diingatkan supaya jangan terburu-buru menandatangani sebarang dokumen ringkas seperti surat peletakan jawatan, persetujuan potongan gaji atau surat penyelesaian penuh dan muktamad sekiranya tidak memahami implikasi perundangannya kerana boleh menjejaskan hak tuntutan di kemudian hari.
Kepincangan atau risiko kewangan syarikat adalah urusan majikan dan sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan kebajikan serta masa hadapan pekerja secara sewenang-wenangnya.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang.










