SUDAH hampir sebulan kita merayakan Aidilfitri. Hari ini kita berada pada 28 Syawal. Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus meriah di sana-sini.
Bergembira dalam Syawal tidak ditegah. Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri asalkan dilaksana dan dizahirkan dalam bentuk diterima Islam.
Alhamdulillah, demikian nikmat hidup di bumi tercinta, Malaysia. Suasana aman dan damai membolehkan kita menyambut hari raya dengan penuh gembira dan ceria di samping keluarga tercinta.
Orang Melayu, sambutan rayanya jangan cerita. Bagaikan tidak cukup 30 hari dalam bulan Syawal, hinggakan melepasi Syawal pun masih ada jamuan rumah terbuka.
Ketegangan yang berlaku di Asia Barat akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran tidak menjejaskan kemeriahan Syawal. Malah majlis rumah terbuka terus diadakan di merata-rata tempat.
Malangnya, dalam kegembiraan Hari Raya Aidilfitri, masjid dan surau kembali sepi. Jika dalam Ramadan, setiap waktu solat, masjid dan surau dipenuhi jemaah. Waktu Subuh yang dahulunya mencecah enam ke lapan saf, kini yang tinggal berjemaah boleh dibilang dengan jari.
Masjid sudah ‘hilang’ jemaah yang semasa Ramadan lalu memenuhi ruang-ruang solat. Sehinggakan minggu pertama Ramadan, masjid terasa kecil dibanjiri para jemaah termasuk golongan wanita.
Sebenarnya inilah penanda aras orang mukmin sama ada tarbiah madrasah Ramadan yang ditempuh selama 30 hari itu berjaya mendidik seseorang bertakwa atau tidak?
Inilah ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? (al-Ankabuut: 2)
Semasa Ramadan, syaitan dirantai dan dibelenggu, yang ada hanya nafsu. Kini selepas hari raya fitrah, syaitan kembali bergabung dengan sekutu lamanya, iaitu nafsu untuk melihat sejauh mana kentalnya pertahanan yang ada dalam diri orang Islam.
Barangkali yang ‘hebat’ dalam Syawal adalah jumlah yang solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Dapat dilihat di mana-mana pun, waima di kampung atau di ibu kota, bilangan yang hadir berjemaah pada Sabtu, 21 Mac lalu melimpah ruah.
Sebenarnya, kejayaan puasa kita diukur selepas kita melewati Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan. Maka itu namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah.
Ulama berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. Antaranya, ulama kontemporari tersohor, Allahyarham Profesor Dr. Yusof al-Qaradawi sering mengungkapkan atau menulis dalam artikel mereka perkataan ini: Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan. Maksudnya, berbuat baik bukan hanya bermusim.
Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah terutama solat qiam (solat tarawih), ia sepatutnya diteruskan pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Demikian juga dengan solat sunat-sunat lain dan juga budaya membaca al-Quran. Jangan dibiar al-Quran suci dalam debu.

SUNNAH NABI
Dalam masa sama, marilah kita berusaha untuk sekurang-kurangnya melakukan tiga sunnah Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah r.a: (Riwayat al-Bukhari)
- Puasa tiga hari setiap bulan
Ia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkan kami berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke-13, 14 dan 15. Qatadah bin Milhan berkata: Baginda bersabda: Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa (sepanjang tahun). (Riwayat Abu Daud).
Bagaimanapun, ada juga hadis yang menceritakan baginda SAW tidak kisah pada mana-mana hari untuk berpuasa bagi mencukupkan tiga hari itu.
- Solat duha
Nabi SAW sentiasa melakukan ibadat ini dan mengesyorkan umatnya melakukan yang sama. Masanya mulai matahari berada kira-kira segalah di langit timur iaitu 15 ke 20 minit selepas terbit matahari. Ia berterusan sehingga istiwa’ matahari kira-kira 15 ke 20 minit sebelum waktu zawal (gelincir matahari menandakan masuknya waktu zuhur). Waktu afdal adalah sekitar pukul 10 pagi iaitu apabila terasa bahang panas matahari.
Menurut ulama, paling minimum solat duha adalah dua rakaat dan maksimum 12 rakaat. Yang kerap dilakukan oleh nabi SAW adalah empat rakaat.
Ia berdasarkan daripada Muazah, beliau menceritakan: Aku bertanya kepada Aisyah r.ha, adakah nabi SAW melakukan solat duha? Aisyah menjawab: Ya sebanyak empat rakaat dan baginda menambah bilangan rakaat mengikut yang dikehendaki Allah SWT. (Riwayat Muslim)
- Solat witir
Ia dilakukan selepas solat isyak hingga menjelang fajar (subuh). Ia dapat dikerjakan sebagai pelengkap solat tahajud atau solat tarawih. Juga sebagai penutup segala solat yang dilakukan hingga menjelang subuh.
Dinamakan ‘witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil. Sabda Rasulullah SAW: Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah solat witir sebab Allah itu witir (ganjil/ Maha Esa) dan amat suka kepada ganjil. (Riwayat al-Tirmidzi dan Hakim).
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu bangun pada hujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri para malaikat dan itulah yang lebih utama. (Riwayat Muslim)
Selain itu, antara amalan lain disarankan selepas Ramadan adalah puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun. (Riwayat Muslim)
Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah insan yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan sebagaimana dinyatakan oleh Baginda SAW.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.” (Riwayat Hakim).
Datanglah ke masjid semasa kita masih sihat. Jangan tunggu waktu diusung, baru kita datang ke masjid. –UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










