DALAM landskap kesihatan awam masa kini, isu penggunaan rokok dan vape tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah biasa atau bersifat individu semata-mata sebaliknya aktiviti tidak sihat ini berkembang menjadi cabaran besar yang melibatkan dimensi kesihatan, sosial, ekonomi dan masa hadapan generasi negara.
Lebih membimbangkan, trend penggunaan bahan ini dalam kalangan remaja dan dewasa muda menunjukkan peningkatan yang ketara, sekali gus memberi isyarat pendekatan sedia ada perlu dinilai semula secara serius serta menyeluruh.
Sejak sekian lama, rokok konvensional dikenalpasti sebagai punca utama pelbagai penyakit kronik. Ia mengandungi lebih daripada 7,000 bahan kimia, termasuk bahan toksik dan karsinogenik yang terbukti menyumbang kepada kanser, penyakit jantung dan gangguan sistem pernafasan.
Dalam bidang pergigian, kesan rokok amat ketara dan sering dilihat dalam amalan klinikal harian. Pesakit yang merokok cenderung mengalami penyakit periodontal yang lebih agresif, kehilangan sokongan tulang alveolar serta penyembuhan luka yang jauh lebih perlahan selepas rawatan seperti pembedahan mulut atau pemasangan implan.
Lebih daripada itu, merokok juga memberi kesan kepada keberkesanan rawatan pergigian secara keseluruhan. Dalam banyak kes, kegagalan rawatan bukan hanya disebabkan faktor teknikal tetapi turut dipengaruhi oleh gaya hidup pesakit, termasuk tabiat merokok.
Ini menunjukkan isu rokok bukan sekadar berkaitan pencegahan penyakit tetapi turut memberi kesan langsung kepada hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit.
Namun begitu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perhatian masyarakat mula beralih kepada satu fenomena baharu penggunaan vape atau rokok elektronik.
Vape sering dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok konvensional. Persepsi ini, walaupun popular tetapi mengelirukan dan berpotensi membahayakan.
Hakikatnya, kebanyakan produk vape masih mengandungi nikotin, iaitu bahan yang menyebabkan ketagihan. Selain itu, wap yang dihasilkan turut mengandungi pelbagai bahan kimia seperti formaldehid, logam berat dan bahan perisa yang boleh merengsakan tisu biologi.
Dalam konteks kesihatan mulut, penggunaan vape dikaitkan dengan kekeringan mulut (xerostomia), keradangan gusi serta perubahan mikrobiota oral yang boleh meningkatkan risiko penyakit.
Apa yang lebih membimbangkan ialah penerimaan vape dalam kalangan remaja.
Dengan reka bentuk yang moden, perisa yang pelbagai dan pemasaran yang agresif, vape dilihat sebagai sesuatu yang ‘trendy’ dan tidak berbahaya. Ini membuka ruang kepada pendedahan awal terhadap nikotin, sekali gus meningkatkan risiko ketagihan jangka panjang.
Dalam banyak keadaan, vape menjadi pintu masuk kepada penggunaan rokok konvensional, bukan sebaliknya. Isu rokok dan vape juga tidak boleh dilihat secara terpisah daripada implikasi sosial dan ekonomi.
Kos rawatan penyakit berkaitan merokok terus meningkat saban tahun, memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.
Pada masa sama, produktiviti tenaga kerja turut terjejas akibat masalah kesihatan yang berpunca daripada tabiat ini. Lebih penting, kita berdepan risiko kehilangan potensi generasi muda yang sepatutnya menjadi aset negara.
Justeru, pendekatan yang lebih komprehensif dan bersepadu amat diperlukan.

TINDKAN BERSEPADU
Pendidikan kesihatan perlu dimulakan seawal mungkin, khususnya di peringkat sekolah. Kesedaran sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu disokong dengan kemahiran membuat keputusan, sokongan sosial serta persekitaran yang kondusif untuk gaya hidup sihat.
Dalam masa sama, penguatkuasaan polisi berkaitan rokok dan vape perlu diperkukuhkan bagi memastikan perlindungan yang lebih efektif kepada masyarakat.
Dalam konteks ini, kolaborasi antara pelbagai pihak menjadi semakin penting. Institusi pendidikan, agensi kesihatan, pembuat dasar serta komuniti perlu bergerak seiring dalam usaha membentuk generasi bebas asap rokok. Tiada satu pihak pun yang mampu menangani isu ini secara bersendirian.
Sehubungan itu, satu inisiatif berskala nasional akan dilaksanakan melalui Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) 2026, yang dijangka berlangsung pada 27 hingga 28 Jun ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Pahang.
Konvensyen ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelbagai agensi berkepentingan, dengan matlamat untuk memperkukuh kesedaran, pendidikan dan tindakan dalam menangani isu rokok dan vape secara lebih sistematik.
Konvensyen ini mensasarkan penyertaan pelbagai kumpulan, termasuk murid sekolah, guru, profesional kesihatan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Pendekatan yang diambil bukan sahaja bersifat akademik tetapi turut memberi penekanan kepada penglibatan aktif peserta melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan pengucapan awam, persembahan kreatif serta pembentangan kajian dan inovasi.
Selain itu, sesi plenari dan perbincangan meja bulat akan menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan bagi membincangkan strategi yang lebih berkesan dalam menangani isu ini, termasuk dari sudut dasar, pendidikan dan intervensi komuniti.
Program prakonvensyen seperti latihan penyedia perkhidmatan berhenti merokok turut dirancang bagi memperkukuh kapasiti tenaga kesihatan dalam membantu individu yang ingin berhenti daripada tabiat ini.
Apa yang menjadikan inisiatif ini lebih signifikan ialah pendekatan holistik yang diketengahkan menggabungkan aspek pendidikan, penyelidikan, komuniti dan dasar dalam satu platform yang bersepadu. Ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut penyelesaian yang lebih menyeluruh dan mampan.
Dalam perspektif yang lebih luas, menjaga kesihatan bukan sekadar tanggungjawab individu tetapi merupakan amanah yang perlu dipikul bersama. Tubuh badan yang dikurniakan perlu dipelihara dengan sebaiknya dan setiap pilihan yang dibuat hari ini akan menentukan kualiti hidup pada masa hadapan.
Tabiat merokok dan penggunaan vape bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi turut memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, usaha untuk membendungnya memerlukan komitmen yang berterusan dan kesedaran yang mendalam daripada semua pihak.
Akhirnya, masa hadapan generasi akan datang tidak boleh dipertaruhkan. Kita perlu bertindak sekarang dengan ilmu, kesedaran dan tindakan yang kolektif kerana pada akhirnya, sebuah masyarakat yang sihat bermula dengan satu keputusan berani untuk berkata tidak kepada rokok dan vape. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Haikal Muhamad Halil ialah Dekan Kulliyyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.










