PELANTIKAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu membuka satu lembaran penting dalam perjalanan institusi pencegahan rasuah negara.
Namun persoalan lebih besar perlu ditanya secara jujur, adakah ini benar-benar titik perubahan atau sekadar pertukaran kepimpinan tanpa pembaharuan struktur yang mendasar?
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan peralihan ini tidak boleh dinilai hanya berdasarkan latar belakang individu yang dilantik. Walaupun pengalaman luas dalam bidang kehakiman dan reputasi integriti peribadi adalah faktor penting, namun sejarah mengajar kita kekuatan sesuatu institusi tidak bergantung kepada individu semata-mata tetapi kepada sistem yang menyokongnya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, SPRM berdepan pelbagai cabaran yang bukan sahaja melibatkan isu siasatan kes berprofil tinggi tetapi juga persepsi awam terhadap kebebasan dan ketelusan institusi itu sendiri. Kontroversi yang melibatkan kepimpinan terdahulu memberi kesan langsung kepada tahap kepercayaan rakyat. Hakikat ini tidak boleh dinafikan dan tidak boleh juga diselesaikan dengan pendekatan kosmetik.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan untuk menilai keberkesanan SPRM melalui tahap keterlihatan media dan sidang akhbar, seolah-olah prestasi diukur melalui persepsi, bukan hasil. Dalam suasana ini, institusi penguatkuasaan berisiko menjadi reaktif terhadap tekanan awam, bukannya berpegang teguh kepada prinsip undang-undang dan bukti.
MCW ingin menegaskan SPRM bukan agensi komunikasi dan Ketua Pesuruhjayanya bukan selebriti. Peranan utama mereka adalah memastikan setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang pengaruh luar. Integriti sebenar tidak memerlukan publisiti berlebihan sebaliknya terbukti melalui konsistensi tindakan dan keberanian membuat keputusan yang sukar.

KEBEBASAN INSTITUSI SPRM
Namun begitu, cabaran sebenar kepimpinan baharu bukan sekadar mengurus persepsi tetapi memperbetulkan asas struktur yang selama ini menjadi perdebatan. Antara isu utama yang perlu diberi perhatian segera ialah soal kebebasan SPRM daripada pengaruh eksekutif. Selagi pelantikan dan fungsi utama institusi ini masih dilihat berada di bawah bayangan kuasa politik, selagi itulah persepsi campur tangan akan terus menghantui.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan secara serius mekanisme pelantikan yang lebih telus dan inklusif, termasuk melalui Jawatankuasa Parlimen. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan akauntabiliti tetapi juga memberikan legitimasi yang lebih kukuh kepada kepimpinan SPRM.
Selain itu, MCW berpendapat pemisahan fungsi siasatan dan pendakwaan perlu dilaksanakan. Amalan semasa yang terlalu bergantung kepada struktur sedia ada boleh menimbulkan konflik persepsi dan melemahkan keyakinan rakyat. Dalam banyak negara maju, pemisahan ini menjadi asas kepada sistem keadilan yang lebih bebas dan seimbang.
Tidak kurang pentingnya ialah keperluan untuk memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat. Tanpa jaminan keselamatan dan perlindungan yang menyeluruh, usaha membanteras rasuah akan sentiasa berdepan dengan kekangan kerana individu yang mempunyai maklumat penting akan memilih untuk berdiam diri.
Dalam masa sama, MCW juga melihat keperluan untuk menilai semula kes-kes lama yang masih menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat. Ini bukan soal membuka luka lama tetapi untuk memastikan keadilan benar-benar ditegakkan tanpa mengira masa. Kejelasan terhadap kes-kes terdahulu akan menjadi asas penting dalam membina keyakinan terhadap tindakan masa hadapan.
Namun, kita juga perlu realistik. Harapan untuk melihat perubahan drastik dalam tempoh singkat mungkin tidak selari dengan realiti institusi. Reformasi memerlukan masa, keberanian politik dan komitmen berterusan daripada semua pihak tetapi ini tidak bermakna langkah awal tidak penting. 100 hari pertama kepimpinan baharu akan menjadi penanda aras kepada keseriusan perubahan yang ingin dibawa.
MCW ingin menekankan keberanian untuk bertindak dalam kes berprofil tinggi, termasuk yang melibatkan individu berpengaruh, akan menjadi ujian sebenar kepada integriti kepimpinan baharu. Tanpa tindakan yang konsisten dan bebas daripada pilih kasih, sebarang usaha membina semula kepercayaan rakyat akan berakhir sebagai retorik semata-mata.
Dalam konteks ini, isu pendakwaan perlu ditangani secara serius. Persepsi ini tidak muncul tanpa sebab. Ia berpunca daripada ketidakkonsistenan dalam tindakan dan kekurangan penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat. Oleh itu, ketelusan dalam proses siasatan dan komunikasi yang jelas adalah kunci untuk menangkis persepsi tersebut.
Akhirnya, persoalan yang perlu kita jawab bersama ialah sama ada Malaysia benar-benar berada di landasan yang betul dalam memerangi rasuah. Walaupun terdapat beberapa perkembangan positif, hakikatnya kita masih berdepan dengan cabaran struktur yang belum diselesaikan sepenuhnya.
Peralihan kepimpinan ini harus dilihat sebagai peluang untuk melakukan pembetulan yang lebih mendalam. Ia bukan sekadar tentang memperkenalkan wajah baharu tetapi tentang membina sistem yang lebih kukuh, bebas dan berintegriti.
MCW percaya masa hadapan SPRM bergantung kepada keupayaannya untuk keluar daripada bayangan kontroversi dan kembali kepada asas penubuhannya sebagai institusi yang menegakkan keadilan tanpa takut atau pilih kasih.
Jika prinsip ini dapat diterjemahkan dalam tindakan, maka keyakinan rakyat akan kembali secara semula jadi. Namun jika perubahan hanya berlaku pada permukaan, maka kitaran persepsi negatif akan terus berulang.
Perjuangan menentang rasuah bukanlah satu perjalanan yang mudah tetapi ia adalah satu keperluan yang tidak boleh ditangguhkan. Malaysia tidak kekurangan individu yang berintegriti. Apa yang diperlukan ialah sistem yang memastikan integriti itu dapat berfungsi tanpa halangan.
Dan di sinilah letaknya cabaran sebenar, bukan kepada individu yang dilantik tetapi kepada keseluruhan sistem yang perlu membuktikan bahawa ia benar-benar bersedia untuk berubah. –UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










