Rakyat, kerajaan perlu berganding bahu hadap kesan krisis Iran-AS

Rakyat, kerajaan perlu berganding bahu hadap kesan krisis Iran-AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA kini sedang berdepan dengan krisis bekalan tenaga yang membawa kepada rantaian krisis yang lain seperti krisis makanan dan sebagainya. Krisis yang sedang melanda ini adalah akibat dari keegoan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel mencipta perang dengan Iran.

Jalan keluar krisis perang masih tidak ditemui walaupun heboh gencatan senjata dibuat antara kedua belah pihak tetapi semuanya hanya kata-kata kosong sahaja.

Masing-masing tiada kesungguhan dan kejujuran untuk benar-benar mahu menamatkan perang terutama dari pihak yang memulakannya, iaitu AS-Israel.

DI saat negara dan masyarakat dilanda krisis inilah kita harus berusaha membina jambatan kemanusiaan, belas kasihan dan keadilan.

Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang banyak berurusan dengan dunia perdagangan antarabangsa turut menerima kesan buruknya. Masa aman itu tidak sama dengan masa krisis perang yang membawa kesan meluas.

Justeru, ia amat menuntut daya tahan rakyat Malaysia saat menghadapi ujian ini.

Walaupun keadaan yang kita hadapi belum begitu buruk seperti di beberapa negara lain, namun kita mesti bersedia kemungkinan berdepan dengan krisis yang boleh menjerut kehidupan kita.

Jika krisis perang berterusan dan bekalan tenaga (petrol, diesel dan gas) menjadi lebih buruk, maka pelbagai keadaan psikologi akan melanda masyarakat seperti ketakutan terhadap perang yang meluas, kelaparan akibat kekuarangan bekalan makanan, kekurangan harta, jiwa dan sebagainya.

Negara pula akan berdepan dengan kemerosotan ekonomi, pembangunan yang terencat, inflasi dan pengangguran sehinggalah membawa kepada peningkatan jenayah.

Semua ini mengingatkan kita tentang firman Allah AWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155-157 yang bermaksud, “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan.

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Inilah hakikat sebenar kehidupan, ada masanya kita diuji dengan kesenangan, kedamaian, keamanan dan ada kalanya kita diuji dengan ujian-ujian yang mencengkam kehidupan sama ada secara individu atau kolektif (bermasyarakat dan bernegara). Inilah yang sedang kita hadapi apabila krisis perang

Iran-AS sedang berlaku di Timur Tengah. Ia merupakan malapetaka yang menimpa dunia angkara kelakuan pemimpin sombong yang suka melakukan keganasan, kerosakan, kehancuran dan pembunuhan.

Ia mengundang krisis yang akan menguji kemampuan kita untuk terus membina daya tahan dan kesatuan. Ia menuntut kecekalan yang luar biasa pada saat-saat genting ini. Kerajaan besar tanggungjawabnya.

Dalam memahamkan keadaan krisis kepada rakyat, mesej yang jelas dan langsung dari kerajaan dapat membantu meyakinkan rakyat dan rakyat akan yakin dengan hala tuju yang ditetapkan oleh kepimpinan untuk sekurang-kurangnya mengurangkan kesan hentakan krisis yang melanda.

Krisis yang tidak diurus dengan bijak boleh menyebabkan pelaburan dan pasaran beralih arah dan kegagalan dalaman akan bertambah banyak.

Kehidupan rakyat mesti diurus dengan baik. Kerajaan sedaya upaya harus menunjukkan komitmen untuk terus memberi bantuan kepada rakyat, terutama golongan yang amat memerlukan.

Kerajaan tidak boleh terburu-buru untuk memotong atau memansuhkan bantuan-bantuan yang dapat meringankan beban rakyat. Tindakan kerajaan mestilah dengan penuh hikmah dan terus berpegang dan menegakkan prinsip-prinsip belas ihsan dan keadilan.

Yang kaya mesti terus berdiri dengan kaki sendiri, di samping terus komited menunaikan tanggungjawab terhadap negara seperti membayar cukai, membantu badan-badan amal yang melakukan kerja-kerja kebajikan.

Setiap rakyat tidak kira apa status ekonominya harus bijak berbelanja, tidak boros, tidak membazir walaupun sebutir beras dan terus menyimpan sekadar kemampuan untuk berdepan dengan saat-saat krisis yang lebih teruk lagi.

Masyarakat harus bantu-membantu atas belas ihsan dan perpaduan untuk sama-sama meringankan beban. Elakkan hidup seperti “enau dalam belukar”.

Di saat negara dan masyarakat dilanda krisis inilah kita harus berusaha membina jambatan kemanusiaan, belas kasihan dan keadilan. Hidup akan menjadi jauh lebih bermakna apabila kita bertindak dengan menyedari hakikat keadaan yang sedang berlaku ini.

Di sisi Allah, kesusahan dan kesempitan hidup yang kita lalui disebabkan situasi yang tidak dapat dielakkan ini bukanlah sesuatu yang sia-sia kerana ia tetap membawa ganjaran di dunia dan di akhirat selagi mana kita teguh dalam keimanan dan nilai-nilai Islam.

Krisis perang di Timur Tengah bukan sahaja menyemarakkan naratif keganasan, malah telah mengheret seluruh dunia dalam kancah pelbagai rantaian krisis yang menjerut kehidupan.

Selaku umat Islam, kita wajib menyedari bahawa Allah menimpakan suatu bencana itu untuk menguji ketahanan jati diri insan dan kita mesti yakin bahawa tiada yang dapat menghilangkan segala krisis kehidupan kecuali Dia.

Namun, manusia tidak boleh berpeluk tubuh dan usaha untuk mengatasi krisis kehidupan mesti dibuat manusia sebagai tanggungjawab untuk menyempurnakan kekhalifahan kita di atas muka bumi yang tidak kekal ini.

Usaha manusia itu perlu untuk membawa perubahan positif, namun hakikatnya kita tetap menyerahkan natijahnya kepada Allah SWT. Sesungguhnya, Allah Pelindung kita dan kepadaNya kita bertawakal. – UTUSAN

PENULIS adalah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN