Malaysia merupakan sebuah negara mega diversiti dunia, dengan kekayaan kepelbagaian biologi yang luar biasa mempunyai lebih 15,000 spesies tumbuhan berbunga, 306 mamalia, 742 burung, 567 reptilia, 242 amfibia dan lebih 1,200 spesies ikan air tawar.
Namun, ancaman perubahan iklim, pencemaran dan kehilangan habitat semakin mendesak. Dalam konteks ini, badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting sebagai penggerak kesedaran awam, pelengkap dasar kerajaan dan penyambung suara masyarakat kepada dunia antarabangsa.
Malaysia telah menandatangani pelbagai perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD). Namun, dasar sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan rakyat. NGO memainkan peranan melalui program pendidikan dan kempen kesedaran.

Contohnya, Earth Hour oleh WWF-Malaysia bukan sekadar simbolik, tetapi wadah pendidikan awam tentang penjimatan tenaga, kitar semula plastik dan penanaman pokok.
Kempen kerajaan seperti “Penghijauan Malaysia: Penanaman 100 Juta Pokok” juga lebih berkesan apabila disokong oleh NGO dan korporat.
Di Malaysia, terdapat lebih 100 NGO alam sekitar aktif. Gabungan Malaysian Environmental NGOs (MENGO), ditubuhkan pada 2001, menyatukan suara NGO agar lebih kuat berhadapan dengan kerajaan dan industri.
Ahli gabungan yang kuat termasuk Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), WWF-Malaysia, dan Sahabat Alam Malaysia (SAM). Walaupun setiap NGO mempunyai fokus tersendiri, penyatuan melalui MENGO menjadikan perjuangan lebih berkesan.
Kepimpinan MENGO amat penting kerana bukan mudah menyatukan suara NGO yang pelbagai, apatah lagi jika ada kepentingan tersendiri.
Sebagai NGO tertua, MNS yang ditubuhkan pada 1940 memainkan peranan besar dalam pemuliharaan kawasan penting seperti Taman Negara Endau Rompin, Belum-Temenggor, dan Ulu Muda. Melalui Kelab Pencinta Alam (KPA) di sekolah,
MNS bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan mendidik generasi muda di lebih 700 sekolah tentang kepentingan alam sekitar. Matlamat utama MNS ialah mempromosikan kajian, penghayatan, pemuliharaan dan perlindungan warisan semula jadi Malaysia.
Ekspedisi saintifik yang dijalankan menambah data baharu untuk dasar pemuliharaan, meningkatkan kesedaran awam menghargai keindahan alam dan mengurus sumber secara bijak.
Kini muncul pula pertubuhan baharu seperti Persatuan Primat Malaysia (MPS), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan Persatuan Ekologi Malaysia (PEM).
Masing-masing menjalankan aktiviti berkaitan kesedaran awam, kelestarian alam semula jadi dan pendidikan melibatkan pelajar sekolah serta universiti. PEM khususnya menumpu kepada pembangunan bakat ekologi di institusi pendidikan tinggi, menyambung usaha MNS di peringkat sekolah.
Objektif PEM ialah memajukan bidang ekologi dengan menggalakkan penyelidikan, penyebaran maklumat melalui seminar, meningkatkan kefahaman masyarakat tentang keseimbangan ekosistem, serta memberi khidmat nasihat saintifik kepada kerajaan dan industri.
Seminar Ekologi Malaysia (SEM) yang dianjurkan setiap tahun melahirkan bakat baharu dan menambah data saintifik yang diperlukan untuk dasar pemuliharaan serta secara langsung menyumbang kepada pemerkasaan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Walaupun banyak NGO wujud, cabaran utama ialah penyelarasan dan kepimpinan. Setiap NGO cenderung fokus kepada kawasan atau isu tertentu, menyebabkan suara kolektif kadangkala terpecah.
Di sinilah peranan MENGO sebagai penyatu amat kritikal. Isu besar seperti kepupusan harimau, tapir, burung migrasi dan konflik gajah hanya dapat ditangani secara bersama.
Sambutan hari-hari antarabangsa utama seperti Hari Hidupan Liar Sedunia (3 Mac), Hari Hutan Antarabangsa (21 Mac), Hari Air Sedunia (22 Mac), Hari Meteorologi Sedunia (23 Mac), serta Earth Hour (Sabtu terakhir bulan Mac) seharusnya diraikan seluruh negara dengan kerjasama semua NGO di bawah MENGO, kerajaan dan masyarakat.
Misalnya dalam bulan April, Hari Bumi (22 April) dan Hari Tapir Sedunia (27 April) disambut seluruh dunia. Hari Tapir Sedunia memfokuskan pemuliharaan spesies tapir dan habitatnya manakala Hari Bumi meraikan sokongan global untuk perlindungan alam sekitar.
Kedua-duanya menekankan kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan ekosistem. Jika semua NGO bergabung suara di bawah MENGO, sambutan ini bukan sekadar acara tahunan tetapi menjadi momentum nasional untuk menggerakkan rakyat.
Tambahan pula, Tapir Malaya adalah spesies unik yang kini terancam. Habitat mereka mengecil dan terpisah, malah banyak yang mati di jalan raya. Kempen besar-besaran mesti dilakukan oleh semua NGO berasaskan alam sekitar, dengan MENGO sebagai penyelaras utama.
Peranan NGO dalam kelestarian alam sekitar Malaysia melengkapkan usaha kerajaan, menjadi suara masyarakat dan penggerak kesedaran awam.
Dengan kepelbagaian biologi yang dimiliki Malaysia, NGO perlu terus diperkasa, disatukan dan diberi ruang memainkan peranan lebih besar.
Hanya dengan kerjasama erat antara kerajaan, NGO, korporat dan rakyat, matlamat kelestarian dapat dicapai. Malaysia bukan sahaja akan dikenali sebagai negara kaya kepelbagaian biologi, tetapi juga sebagai negara yang berjaya melindungi khazanah alam untuk generasi akan datang.
Namun cabaran besar masih wujud. Malaysia telah kehilangan hampir 47 peratus hutan asal sejak 1950-an, lebih 30 peratus sungai utama tercemar dan harimau Malaya yang menjadi ikon negara kini tinggal kurang daripada 150 ekor di habitat liar.
Justeru, penyatuan suara NGO di bawah MENGO amat kritikal untuk memastikan isu besar seperti kepupusan spesies dan degradasi ekosistem dapat ditangani secara bersama.
NGO Malaysia mesti menjadi penggerak utama dalam menjayakan matlamat kelestarian, melengkapkan usaha kerajaan, melindungi khazanah alam, menjadi jambatan antara masyarakat dan dasar antarabangsa. Kejayaan hanya akan tercapai melalui kerjasama erat semua pihak. – UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.










