Mengapa penipuan terus berlaku dan bagaimana ia boleh dicegah

Mengapa penipuan terus berlaku dan bagaimana ia boleh dicegah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA tidak mempunyai undang-undang khusus berkaitan fraud atau penipuan. Kes penipuan biasanya didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) sebagai penipuan, jenayah pecah amanah penyalahgunaan harta atau curi.

Undang-undang lain mungkin terpakai bergantung kepada konteks, termasuk Akta Syarikat 2016 (penipuan korporat), AMLA 2001 (pengubahan wang haram), dan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (penipuan pelaburan dan sekuriti).

Bahkan beberapa kes berprofil tinggi di Malaysia telah didakwa di bawah kesalahan penipuan, pecah amanah jenayah (CBT) dan penyalahgunaan harta, yang menunjukkan bagaimana peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan AMLA digunakan dalam amalan untuk menangani penipuan yang berleluasa.

BANYAK organisasi beranggapan penipuan tidak berlaku dalam sistem mereka dan percaya kawalan dalaman yang kukuh sudah memadai untuk mencegahnya.

Menurut Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE), sebuah organisasi global anti-penipuan, penipuan biasanya dikategorikan kepada tiga jenis utama: Penyalahgunaan aset, rasuah dan penipuan penyata kewangan.

Penyalahgunaan aset adalah bentuk penipuan yang paling kerap, melibatkan kecurian atau penyalahgunaan sumber organisasi seperti wang tunai atau inventori, dan merangkumi kira-kira 86 peratus daripada kes yang dilaporkan.

Rasuah pula merujuk kepada penyalahgunaan kuasa atau pengaruh untuk kepentingan peribadi, termasuk amalan seperti komisen tersembunyi, salah guna kuasa dan konflik kepentingan.

Kedudukan Malaysia naik ke tangga ke-54 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 (daripada 57) dengan skor meningkat ke 52.

Ini menunjukkan kemajuan dalam membanteras rasuah, namun usaha lebih gigih masih diperlukan.

Sementara itu, penipuan penyata kewangan, walaupun kini jarang berlaku, berikutan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat seperti Akta Sarbanes-Oxley 2002 susulan kes Enron serta undang-undang tempatan, tetap merupakan kesalahan serius dan berimpak tinggi.

Hal ini kerana ia melibatkan pemalsuan atau manipulasi maklumat kewangan untuk mengelirukan pelabur dan pihak berkepentingan. Walaupun jarang berlaku, penipuan ini memberi kesan kewangan paling besar kerana menjejaskan nilai keseluruhan sesebuah syarikat, bukan sekadar aset individu.

Perkara yang membimbangkan ialah banyak organisasi beranggapan penipuan tidak berlaku dalam sistem mereka dan percaya kawalan dalaman yang kukuh sudah memadai untuk mencegahnya. Hakikatnya, mereka masih kurang kesedaran dari segi pencegahan ketirisan.

Menurut laporan ACFE 2024, setiap tahun organisasi kehilangan sekitar lima peratus daripada hasil tahunan akibat penipuan.

Kajian ini menunjukkan bahawa kebanyakan kes dikesan melalui maklumat daripada individu (tip), bukannya audit, sekali gus menekankan kepentingan sistem pemberi maklumat yang berkesan. Keberkesanan dan kepercayaan terhadap sistem ini boleh dilihat melalui perbandingan jumlah maklumat yang diterima.

Dari segi statistik tempatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID) melaporkan bahawa penipuan telekomunikasi dan skim pelaburan palsu merupakan penyumbang utama kepada kerugian kewangan.

Kes penipuan di Malaysia telah mencapai tahap membimbangkan, CCID merekodkan lebih 67,735 kes jenayah dalam talian antara Januari hingga November 2025, melibatkan kerugian melebihi RM2.7 bilion.

Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM1.57 bilion pada 2024 dan RM1.28 bilion pada 2023.

Kebanyakan scam berlaku melalui panggilan telefon, skim cinta, penipuan beli-belah dalam talian, tawaran pembiayaan palsu, serta pinjaman atau pelaburan yang tidak wujud.

Semenjak lebih 10 tahun lalu, jaringan gelap (dark web) membantu penjenayah bersembunyi dengan memberi mereka identiti tanpa nama dan cara mengelak untuk dikesan.

Punca berlakunya penipuan scam adalah disebabkan kurangnya pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai taktik penjenayah siber, sikap mudah panik dan cepat percaya, serta kurang pengetahuan mengenai keselamatan dalam talian; keadaan ini, ditambah dengan keinginan mendapatkan keuntungan segera, hendak cepat kaya, hidup mewah dan kebergantungan tinggi terhadap transaksi digital, memudahkan penipu memperdaya mangsa, terutama apabila setiap amaran oleh pihak berkuasa diabaikan.

Oleh itu, peningkatan kesedaran dan sikap berwaspada adalah kunci utama untuk membendung isu ini dan bukan bergantung sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa.

Penipuan biasanya berlaku apabila tekanan, peluang, rasionalisasi dan keupayaan yang dikenali sebagai teori fraud diamond.

Contohnya, seorang pekerja yang menghadapi tekanan kewangan mungkin mengambil kesempatan terhadap kawalan dalaman yang lemah atau budaya kerja tidak beretika (peluang), membenarkan perbuatannya dengan menganggap orang lain juga korup (rasionalisasi) dan menyalahgunakan kemahiran atau kedudukannya, seperti pengetahuan perakaunan, untuk mengelak pengesanan (keupayaan).

Penipuan sering didorong oleh persekitaran tekanan tinggi, kekurangan kepimpinan yang jujur dan berkesan, serta budaya tidak beretika yang dipacu ego dan menormalkan rasuah.

Faktor lain termasuk tadbir urus yang lemah, integriti rendah, kawalan tidak berkesan, penguatkuasaan lemah, serta struktur organisasi yang kompleks yang membuka ruang dan mengurangkan risiko dikesan.

Walaupun tadbir urus penting, faktor manusia lebih utama kerana kejujuran dan integriti yang tinggi sangat diperlukan.

Pensijilan seperti ISO meningkatkan kecekapan, kualiti dan keyakinan pelanggan serta memastikan pematuhan standard global. Namun, jika hanya dikejar sebagai simbol pematuhan, ia sekadar menjadi imej tanpa memperkukuh tadbir urus atau integriti sebenar.

Organisasi mungkin mempunyai sistem dalaman yang kukuh untuk mencegah penipuan atau ketirisan, tetapi ia tetap memerlukan langkah yang benar-benar berkesan. Prinsip Pareto dalam konteks penipuan, sebahagian kecil penipu atau punca masalah boleh menyebabkan kebanyakan kes penipuan.

Oleh yang demikian, jika kita fokus memperbaiki atau menghentikan punca utama ini terlebih dahulu, kita boleh mengurangkan banyak masalah dengan lebih cepat.

Masalah utama adalah, tiadanya kajian saintifik yang jelas di negara ini untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya penipuan, sama ada ia berpunca daripada cara dibesarkan, sistem sekolah, atau faktor sosioekonomi.

Oleh itu, ia agak sukar untuk mengatasi masalah ini secara benar-benar profesional dan tepat selagi jawapan belum ada.

ACFE menekankan pencegahan penipuan memerlukan pendekatan menyeluruh. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data mampu mengesan penipuan lebih pantas dan mengurangkan kerugian, namun keberkesanannya bergantung pada tadbir urus baik dan pengawasan manusia.

Dalam masa yang sama, kawalan tradisional masih memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan penipuan. Mekanisme seperti talian aduan tanpa identiti, audit mengejut dan latihan kakitangan terbukti terus relevan dan berkesan dalam mengesan serta menghalang aktiviti penipuan.

Pencegahan penipuan memerlukan integriti kepimpinan, kawalan kukuh, teknologi (AI), serta penguatkuasaan dan semakan berterusan bagi menghadapi risiko baharu. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah profesor kriminologi dan keadilan jenayah di Universiti HELP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN