HARI ini kita berada pada 26 Zulhijah. Beberapa hari lagi kita akan masuk tahun baharu Hijrah 1448.
Di ibu negara, sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan akan disambut di Masjid Putra, Putrajaya pada 16 Jun ini, insya-Allah.
Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ialah ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’.
Perkataan ‘hijrah’ berasal dari bahasa Arab. Ia bermaksud berpindah tempat atau keadaan atau sifat. Maksud lain adalah memutuskan hubungan antara dirinya dengan sesuatu atau juga sebagai keadaan yang memaksa orang untuk berpindah atau meninggalkan pekerjaan yang tidak baik atau merugikan.
Hijrah dari segi istilah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah dengan tujuan menyelamatkan diri daripada ancaman orang kafir dan musyrik menuju ke kota yang aman.
Hijrah yang sebenar perlu bermula dari dalam diri setiap insan, kemudian dikembangkan kepada keluarga dan masyarakat.
Pertama, hijrah diri dengan tinggalkan maksiat dan perkara sia-sia untuk memperbanyak ibadah dan menuntut ilmu.
Kedua, hijrah keluarga. Mendidik anak-anak dengan nilai Islam yang sebenar, bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik.
Ketiga, hijrah masyarakat. membantu golongan yang memerlukan, sokong ekonomi ummah dan menjaga hubungan kejiranan.
Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu bulan di mana Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.” (at-Taubah: 36)
Bulan-bulan haram membawa dua maksud iaitu pertama, bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang di dalamnya. Kedua, membawa maksud bulan yang sangat dihormati lagi dimuliakan.
Keutamaan berpuasa dalam bulan Muharam dinukilkan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Seutama-utama puasa sesudah setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat (sunat) pada malam hari.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga hari daripada setiap bulan daripada satu Ramadan kepada satu Ramadan yang berikutnya adalah menyamai ganjaran berpuasa sepanjang tahun. Berpuasa pada hari Asyura juga dihitung di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang berlalu.” (Riwayat Muslim).
PUASA ASYURA
Mari kita beri tumpuan kepada puasa hari Asyura atau puasa pada hari ke-10 Muharam. Ini adalah satu lagi ibadat ditunggu-tunggu orang beriman selepas melaksanakan puasa sunat hari Arafah pada 9 Zulhijah.
Abu Qotadah Al Anshory berkata: Nabi Muhammad SAW ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah. Baginda menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
Beliau juga ditanya mengenai keistimewaan puasa Asyura. Baginda menjawab, “Puasa Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.” (Riwayat Muslim)
Selain berpuasa pada hari Asyura ini, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam atau hari tasu’a. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih.
Antaranya: Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.” Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan.” Ibn Abbas berkata: “Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Muslim)

MEROBEK PAKAIAN
Para ulama berpendapat, hikmah disunatkan berpuasa pada hari tasu’a’ (sembilan Muharam) itu ada beberapa aspek:
• Bagi menyalahi atau membezakan dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Riwayat Ahmad)
• Bagi tujuan berhati-hati berpuasa pada hari Asyura kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharam itu dalam pengiraan adalah hari ke-10 Muharam yang sebenarnya.
Demikian juga kita disunatkan berpuasa pada 11 Muharam selain pada seluruh bulan tersebut dan juga pada 1 hingga 10 Muharam menurut sebahagian fuqaha.
Imam al-Qurthubi berkata, “Puasa Muharam menjadi puasa yang paling utama kerana Muharam merupakan awal tahun baharu, maka pembukaannya adalah dengan puasa yang merupakan amal paling afdal (utama).”
Di akhir hayat Rasulullah SAW suka membezakan ibadah umat Islam agar menyalahi ibadah kaum Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura sahaja dan disunatkan kepada umat Islam untuk berpuasa sehari sebelumnya, iaitu pada 9 Muharam atau sehari selepasnya, iaitu pada 11 Muharam beserta puasa hari Asyura dengan tujuan menyelisihi dan membezakan dengan puasa golongan Yahudi.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari (halaman 245-246) mengatakan: “Maka tingkatan puasa Asyura itu ada tiga: Pertama, puasa hari Asyura saja. Kedua, puasa Asyura disertai puasa tasu’a dan ketiga, puasa Asyura disertai puasa tasu’a dan puasa 11 Muharam.”
Dalam keghairahan menyambut hari Asyura, janganlah hendaknya kita terpengaruh dengan perbuatan merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana dilakukan syiah bagi meratapi pemergian Saidina Husin kerana hukumnya haram.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bermaksud: “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliah).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam masa sama, kita berkesempatan untuk puasa Hari Putih iaitu pada 13, 14 dan 15 Muharam yang jatuh pada Ahad, Isnin dan Selasa iaitu 28 hingga 30 Jun, insya-Allah.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Selain itu, marilah perbanyakkan amalan terutama memelihara solat fardu berjemaah dan solat-solat sunat, banyakkan istighfar dan menjaga hubungan sesama manusia (elakkan perseteruan).
Hijrah dengan makna berpindah dari Mekah ke Madinah hanya berlaku kepada Nabi SAW. Namun, konsep umum daripada hijrah itu secara maknawinya sentiasa berlaku sehingga hari kiamat.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat. Oleh itu, apabila kami diperintahkan berangkat (untuk berjihad) maka berangkatlah.” (Muttafaqun Alaih)
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










