SOKONGAN berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui penyediaan dana pemula telah memperkukuh pelaksanaan inisiatif keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi komuniti setempat secara lebih inklusif dan mampan.
Seiring dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing, penglibatan mahasiswa dalam bidang keusahawanan kini tidak lagi tertumpu kepada penjanaan pendapatan individu semata-mata.
Sebaliknya, berkembang sebagai platform strategik dalam membantu komuniti menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi secara menyeluruh.
Di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pendekatan ini diterjemahkan melalui pelbagai program dan pertandingan keusahawanan yang menekankan penglibatan langsung komuniti, antaranya menerusi pelaksanaan program University Community Social Enterprise (UCSE). Program ini menghubungkan kepakaran mahasiswa dengan keperluan sebenar masyarakat, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil.
Melalui program tersebut, mahasiswa diberi peluang untuk terlibat secara aktif dalam merancang, melaksana dan mengurus projek keusahawanan bersama komuniti.
Penglibatan ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada cabaran sebenar pengurusan perniagaan di peringkat akar umbi, malah membentuk keupayaan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial.
Pelaksanaan UCSE melibatkan dua kumpulan pelajar yang merangkumi seramai 20 orang mahasiswa di bawah bimbingan Dr. Nor Faizah Bawadi dan Dr. Ahmad Zaidi Abdullah.
Kumpulan pertama menggerakkan inisiatif Kiosk EnvironMart yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa UniMAP, sekali gus membuka peluang kepada komuniti setempat untuk menjadi vendor melalui platform niaga yang lebih tersusun, sistematik dan berdaya saing.
Inisiatif ini turut membantu meningkatkan akses pasaran, memperkukuh penjenamaan produk serta memperluas keterlihatan produk komuniti melalui pendekatan pemasaran yang lebih strategik.
Impaknya, komuniti yang terlibat, khususnya dalam kalangan golongan B40, berjaya menjana pendapatan harian sekitar RM200 hingga RM300.
Malah, terdapat dalam kalangan peserta termasuk ibu tunggal yang mampu mengembangkan perniagaan masing-masing hasil pendapatan yang diperoleh, termasuk membeli peralatan dan keperluan asas perniagaan.
Selain itu, kumpulan kedua melaksanakan projek latihan pemasangan lampu jalan solar yang menyasarkan golongan belia di Perlis. Program ini dirangka sebagai usaha pemerkasaan kemahiran teknikal yang praktikal dan berimpak tinggi, dengan memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek pemasangan, penyelenggaraan serta pemahaman asas sistem solar yang semakin mendapat permintaan dalam industri.
Pendekatan berasaskan latihan kemahiran ini terbukti berkesan dalam membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti, di samping meningkatkan kebolehpasaran belia melalui penguasaan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri tenaga hijau masa kini.
Hasil pelaksanaan program ini, peserta dan mahasiswa bukan sahaja memperoleh pengalaman praktikal, malah turut dianugerahkan pensijilan profesional seperti sijil solar daripada Akademi Binaan Malaysia (ABM) serta Kad Hijau CIDB.
Pengiktirafan ini menjadi nilai tambah penting dalam meningkatkan keyakinan majikan serta membuka laluan kepada peluang kerjaya dan keusahawanan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Kejayaan pelaksanaan inisiatif ini didorong oleh sokongan KPT melalui penyediaan dana pemula yang menjadi pemangkin utama kepada keberkesanan projek di lapangan.
Dana tersebut membolehkan mahasiswa merancang dan melaksanakan projek secara lebih tersusun, berimpak tinggi serta melibatkan penyertaan aktif komuniti dalam ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan.
Pendekatan berasaskan komuniti yang diterapkan dalam program ini turut mewujudkan sinergi kukuh antara mahasiswa dan masyarakat dalam menjana peluang ekonomi baharu. Mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai usahawan tetapi juga sebagai pemudah cara yang membantu komuniti meningkatkan kapasiti, kebolehpasaran dan daya tahan ekonomi.
Pada masa sama, mahasiswa turut memperoleh pengalaman dunia sebenar serta membina kemahiran insaniah penting seperti kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

SELARI DASAR KERAJAAN
Inisiatif ini selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi oleh KPT yang menekankan pembangunan ekosistem keusahawanan mahasiswa melalui penglibatan aktif bersama komuniti dan industri.
Selain itu, pelaksanaan program ini juga bertepatan dengan aspirasi Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dalam melahirkan graduan berkemahiran masa hadapan yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.
Secara keseluruhan, model keusahawanan sosial yang dilaksanakan oleh UniMAP memperlihatkan bagaimana sokongan dasar dan dana KPT dapat diterjemahkan kepada impak sebenar di lapangan melalui pemerkasaan komuniti oleh mahasiswa.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti, malah mewujudkan hubungan simbiotik yang mampan antara mahasiswa dan komuniti setempat, selaras agenda pembangunan negara yang inklusif dan berdaya tahan.-UTUSAN
DR. Nor Faizah Bawadi ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam merangkap Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
DR. Ahmad Zaidi Abdullah ialah Profesor Madya Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam merangkap, Pengurus Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










