Keterjaminan makanan: Perlu polisi dua serampang

Keterjaminan makanan: Perlu polisi dua serampang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANCAH peperangan bergegar lagi, walaupun perang Ukraine dan Russia masih belum selesai. Kali ini, konflik melibatkan sekutu Amerika Syarikat (AS)-Israel menentang Iran.

Iran membalas dengan strategi “ekonomi ketenteraan” iaitu menutup laluan sempit atau chokepoint Selat Hormuz, bertujuan menyekat import dan eksport minyak petrol dan gas daripada Iran dan negara Teluk ke dunia.

Negara yang menjadi mangsa sudah mula mengambil langkah berjimat seperti pengawalan ke atas petrol, pengurangan hari bekerja, larangan eksport minyak, galakan kerja dari rumah, sumber alternatif dan perolehan terus oleh kerajaan. Situasi ini boleh menjadi huru-hara jika tidak diurus dengan baik.

KENAIKAN harga bahan api akan menjejaskan keseluruhan ekonomi negara dan baja ke atas keterjaminan makanan.

Malaysia, buat masa ini, agak bernasib baik kerana merupakan pengeksport minyak mentah tetapi pengimport bersih produk petroleum seperti petrol, diesel, bahan api jet, gas petroleum cecair (LPG) dan lain-lain.

Ini tidak bermakna Malaysia terlindung daripada kesan kenaikan harga minyak di masa hadapan. Sejarah pasaran minyak global yang sering bergolak tidak mungkin reda kerana ketidakstabilan struktur pasarannya.

Krisis besar silam termasuk; embargo minyak Arab (1973), perang Iran-Iraq (1979-1980), pencerobohan Kuwait (1990-1991), krisis kewangan (2008), kejatuhan harga minyak (2014) dan Covid-19 (2020).

Bererti, Malaysia tidak boleh alpa dan selesa dengan masa mendatang.

Walaupun Malaysia merupakan pengeksport minyak, ia adalah pengimport bersih baja untuk pengeluaran pertanian dan makanan.

Selat Hormuz merupakan hab baja dengan kira-kira 30 peratus bekalan baja dunia dikendalikan di selat ini.

Minyak dan gas adalah feedstock utama untuk pengeluaran pelbagai jenis baja seperti potash, baja berasaskan nitrogen, fosfat dan baja kompaun.

Negara-negara Teluk merupakan antara pengeksport utama urea kerana kos gas asli yang rendah.

Malaysia mengimport beberapa input utama dari Timur Tengah, terutamanya baja berasaskan nitrogen (urea, ammonia) dan baja fosfat. Kawasan ini penting kerana baja dihasilkan menggunakan gas asli yang murah dan rizab fosfat yang besar.

Seperti negara dunia yang lain, Malaysia berdepan dengan krisis kenaikan harga petrol akibat peperangan dan kenaikan harga baja iaitu produk sampingan utama komoditi ini. Kenaikan harga bahan api akan menjejaskan keseluruhan ekonomi negara dan baja ke atas keterjaminan makanan.

Krisis minyak yang lalu membuktikan bahawa impak pertama terhadap ekonomi adalah inflasi. Kesan berantai inflasi tinggi boleh melumpuhkan ekonomi dengan teruk. Iaitu, interaksi dan timbal balas antara inflasi dengan reaksi pasaran mampu menyebabkan kemelesetan ekonomi yang serius dan berpanjangan.

Sebagai contoh, apabila harga petrol meningkat, ia akan meningkatkan kos pengeluaran iaitu berlaku kos inflasi. Kos semua perkhidmatan dalam rantaian bekalan juga turut meningkat.

Maka bukan setakat harga ladang, tetapi harga di setiap rantaian bekalan akan turut naik. Lazimnya, peniaga akan memindahkan beban kos kepada pengguna.

Pengguna pula mengalami penurunan dalam pendapatan sebenar kerana inflasi menyebabkan daya beli turut melemah.

Ini akan menyebabkan pembelian atau penggunaan berkurangan. Apabila ini berlaku, pengeluaran akan turut menurun.

Penggunaan masyarakat berkurangan adalah bahaya kerana ia akan menyebabkan pelaburan dalam ekonomi menurun. Tanpa pelaburan yang aktif, pertumbuhan akan melemah dan ekonomi akan mengalami kemelesetan atau resesi.

Kitaran kemelesetan ini akan berterusan jika tiada perubahan struktur dilakukan. Kesan di luar jangkaan fenomena ini adalah rakyat rata-rata akan menjadi miskin dan ini menyuburkan ketidaktenteraman dan ketidakstabilan politik.

Kesan kepada keterjaminan makanan juga parah. Kenaikan harga bahan api dan baja akan meningkatkan kos pengeluaran.

Lazimnya petani kecil tidak mampu untuk menampung kenaikan harga, lantas mereka akan meminimumkan penggunaan baja, maka hasil menurun dan ini mengurangkan pengeluaran.

Pada masa yang sama, kos pasca ladang juga turut meningkat seperti perkilangan, pemprosesan, pengangkutan dan perdagangan.

Apabila harga makanan terlalu tinggi, pengguna miskin akan terjejas. Kemungkinan kebuluran berlaku apabila pengguna tidak mampu membeli makanan.

Nyata, di antara semua bentuk inflasi, inflasi harga makanan adalah yang paling kritikal dan boleh mencetuskan kebuluran serta ketidakstabilan politik.

Negara pengeluar di luar negara mungkin mengalami nasib yang sama, maka bekalan dunia akan turut menurun dan akan menyebabkan harga akan meningkat di pasaran dunia. Maka, Malaysia perlu mengimport pada kos yang tinggi lantas membesarkan lagi defisit imbangan perdagangan negara.

Ringkasnya, memastikan keterjaminan makanan dalam negeri adalah strategi membentengi ketidakstabilan perdagangan dunia.

Memandangkan ketidaktentuan dan turun naik pasaran global seperti yang terbukti dalam dua dekad terakhir, memberi tumpuan hanya kepada keterjaminan makanan tidak mencukupi kerana pengeluaran bergantung kepada input seperti tanah, air, baja dan sebagainya.

Setiap input memiliki dinamik pasaran tersendiri, yang kadangkala di luar kawalan Malaysia. Import baja adalah contoh jelas: Harga sangat terdedah kepada turun naik pasaran global yang dikuasai oleh negara kaya dan berkuasa seperti AS, Russia, dan negara-negara Timur Tengah yang sering terdedah kepada konflik.

Sebagai ekonomi kecil, Malaysia hanya mampu sebagai penerima harga dengan kuasa tawar yang terhad.

Rizab minyak Malaysia juga semakin berkurangan. Anggaran semasa menunjukkan ia mungkin hanya bertahan kira-kira 10 tahun lagi pada kadar penggunaan kini, berpotensi habis sekitar 2030.

Berdasarkan senario ini, dicadangkan Malaysia mengamalkan polisi dua serampang iaitu polisi keterjaminan makanan dan sumber.

Sesetengah negara memilih keterjaminan makanan dan tenaga. Konsep keterjaminan sumber Malaysia merangkumi bahan api, tanah, air dan benih. Input ini penentu utama keterjaminan makanan. Tanpa elemen ini, Malaysia akan menghadapi defisit makanan yang teruk.

Malaysia perlu melabur dalam pengeluaran sumber bahan api yang boleh diperbaharui, seperti tenaga nuklear, hidrogen, bioenergi dan lain-lain.

Baja organik adalah alternatif terbaik kepada baja kimia. Dengan sumber petrol dan gas tempatan, Malaysia sepatutnya mampu mengeluarkan bajanya sendiri sebagaimana negara Teluk.

Tanah pertanian semakin berkurangan akibat pengembangan sawit, perindustrian dan urbanisasi. Tekanan serupa berlaku pada sumber air.

Bagi benih pula, Malaysia belum sepenuhnya memanfaatkan biodiversiti yang kaya, sebahagian besar masih belum diteroka dan terdedah kepada eksploitasi atau kehilangan.

Tindakan segera perlu diambil untuk melindungi semua sumber ini sebelum habis digunakan untuk tujuan bukan makanan.

Ringkasnya, untuk menghadapi zaman yang sentiasa bergolak, Malaysia mesti memastikan keterjaminan makanan dan sumber. – UTUSAN

PROFESOR Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Felo Penyelidik, Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN