Kenaikan harga dan subsidi kerajaan - Utusan Malaysia

Kenaikan harga dan subsidi kerajaan

BUDI95 150 liter
Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Krisis Geo-politik antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah menyemarakkan krisis ekonomi di seluruh dunia. Walaupun permasaannya tepat dengan perubahan arah di dalam pusingan ekonomi di Malaysia yang telah melonjak sejak 2022 dan baru sahaja mencapai puncak di awal tahun 2026, dan memang menunggu masa untuk mula menurun, namun kesannya cukup dirasai.

Harga minyak melonjak naik, kerajaan terpaksa menambah subsidi yang menjejaskan Belanjawan 2026 yang telah disediakan dengan andaian harga minyak mentah pada AS$60 setong (kini melonjak dua kali ganda).

Setiap isi rumah tersentak dan menjadi resah, cuba melunjurkan apa lagi perkara yang lebih buruk yang boleh diharapkan akan berlaku selepas ini.

Harga barang-barang makanan pastinya akan meningkat kerana Malaysia mengimport hamper RM100 bilion barang makanan.

Apakah kadar pengeluaran industri akan terjejas dan ia akan menjejaskan bekalan barang di pasaran yang boleh meningkatkan harga juga?

Apa sepatutnya tindakan kerajaan untuk menangani situasi ini? Sebagai sebuah ekonomi pasaran bebas, tidak banyak yang kerajaan boleh lakukan untuk mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Kerajaaan sepatutnya tidak terlalu fokus berusaha untuk menurunkan harga dan kos sara hidup disebabkan kesan kegawatan daripada krisis minyak hari ini. Apabila harga minyak naik, semua kos akan meningkat bermula daripada kos pengangkutan barang sehingga kepada kos pembuatan.

Tidak banyak yang boleh kerajaan lakukan untuk mengawal kos ini.
Sebaliknya kerajaan perlu cuba memberi tumpuan kepada usaha untuk cuba mengekal atau meningkatkan tahap kesejahteraan hidup rakat/isi rumah.

Fokus inisiatif sepatutnya ke atas aspek peningkatan kuasa beli rakyat melalui peningkatan pendapatan, elaun sara hidup dan subsidi kepada khususnya kumpulan berpendapatan kecil yang akan segera terjejas disebabkan krisis ini. Bagaimana meningkatkan pendapatan mereka dan bagaimana memastikan setiap mereka mempunyai cukup makanan untuk terus hidup sejahtera?

Kerajaan tidak boleh ‘menang’ peperangan menentang kos global, tetapi boleh melindungi kesejahteraan isi rumah. Prinsip teras – Biarkan harga mencerminkan kos sebenar, tetapi lindungi rakyat supaya mampu menanggungnya.

Jalan penyelesaiannya adalah dengan memantau pendapatan minimum untuk ‘hidup’ bukan sekadar gaji minimum.

Kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk memberi elaun Sara Hidup Bersasar (Cost of Living Allowance – COLA) khusus untuk pekerja B40, keluarga dengan tanggungan dan isi rumah di kawasan bandar berkos tinggi.

Jumlah ini perlu dibayar terus kepada pekerja, bukan majikan untuk mengelak kebocoran. Ia boleh ditambah dengan pendapatan tambahan melalui ‘kerja sokongan ekonomi’ (supported work).

Kerajaan bukan sekadar perlu memberi bantuan, tetapi perlu membantu mencipta peluang pendapatan mikro seperti ‘Program kerja sambilan komuniti’ – penjagaan warga emas, pemulihan alam sekitar, penyelenggaraan infrastruktur kecil dan bantuan sekolah dan komuniti digital.

Jalan penyelesaian ini menekankan jaminan makanan isi rumah – bergerak daripada ‘subsidi makanan’ kepada ‘jaminan pemakanan’. Isunya bukan sekadar harga makanan, tetapi ketidakstabilan akses, kualiti nutrisi dan kesinambungan bekalan untuk isi rumah miskin bandar dan luar bandar.

Cadangannya adalah bantuan perlu diberi di dalam bentuk ‘kredit makanan’ (Food Credit) bersasar ‘ yang hanya meliputi barangan asas bernutrisi (beras, protein, sayur) yang boleh digunakan di pasar tempatan dan koperasi kecil. Nilai kredit akan diberi secara berskala mengikut saiz keluarga, umur anak dan status pendapatan.

Di dalam jangka sederhana ia boleh diperluas kepada pertanian bandar, koperasi makanan komuniti dan kontrak belian kerajaan dengan pengeluar kecil tempatan. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kebergantungan logistik jarak jauh dan menstabilkan bekalan makanan asas domestik.

Ia adalah satu bantuan tunai bersyarat, bersasar dan bersifat automatik dengan ciri baharu yang diperlukan – Besar bantuan bertindak balas kepada inflasi (indexed support), disasarkan kepada isi rumah rentan, terhad kepada item nutrisi penting, fleksibel mengikut saiz keluarga dan tahap inflasi dan menggalakkan pasaran tempatan terus segar, bukan merosakkannya.

Mekanisme asasnya boleh di dalam bentuk dompet digital/kad prabayar khas (boleh leverage e-wallet sedia ada). Sumber dana boleh datang daripada kerajaan (terasnya) dengan dana padanan dari sektor swasta (co-funded). Ia boleh dibayar di dalam bentuk bulanan. Penentuan nilai kredit tidak sepatutnya satu angka rata, tetapi formula mudah seperti :

Nilai Food Credit = Asas individu + Bilangan tanggungan + Faktor inflasi makanan + Kos lokasi (bandar /luar bandar)

Food Credit tidak boleh digunakan untuk semua barangan. Ia perlu dihadkan kepada kategori nutrisi asas beras, gandum, karbohidrat utama, telur, ayam, ikan, protein asas, sayur-sayuran dan buah utama dan susu bayi serta nutrisi kanak-kanak.

Kerajaan perlu secara proaktif mewujudkan satu skim kredit makanan untuk bersedia menghadapi kenaikan kos barang dan kesusutan stok barangan di dalam pasaran.

Dengan kriteria khusus mengambil kira keadaan pasaran, ia boleh dilaksanakan secara berkesan mengunakan bantuan AI bagi memastikan kesan peningkatan harga dan kos sara hidup dapat ditangani secara berkesan.

Pastinya kerajaan akan terpaksa membuat tambahan belanjawan bagi tahun 2026. Namun ini adalah satu langkah yang dilihat proaktif dan menunjukan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat khususnya kumpulan isi rumah yang rentan di Malaysia. Wallahu A’lam.

Barjoyai Bardai ialah Professor Emeritus Provost dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Malaysia University of Science and Technology

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN