Jangan derhaka titah

Jangan derhaka titah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN sekian lama menetap di negara berteraskan Melayu-Islam, namun masih terdapat dalam kalangan penduduk bukan Melayu, antaranya etnik Cina yang langsung tidak memahami adab Melayu dipandu oleh nilai-nilai Islam. Dalam hal ini, terbaharu ialah titah yang bukan sahaja tidak ingin dipatuhi, juga mahu dibantah.

Berkenaan adab Melayu, ia merujuk budi pekerti mencakupi tingkah laku baik dan tutur kata sopan mengikut budaya Melayu dan ajaran Islam. Ketiadaan adab ini dianggap biadab.

Manakala titah, yang bersifat diraja, merujuk kepada perintah rasmi dikeluarkan raja Melayu yang sedang memerintah sesebuah negeri di bumi Melayu-Islam. Dengan kata lain, titah merupakan arahan eksklusif daripada raja yang memerintah, bersifat formal serta wajar dipatuhi rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana titah bukan sahaja arahan dan perintah, malah amaran tertinggi dalam sesebuah negeri. Bahkan, menunjukkan kekuasaan raja yang sedang memerintah dalam memastikan perlindungan serta kebajikan rakyat.

Walaupun titah tidak semestinya terikat secara langsung dengan perundangan negeri, namun tetap merupakan ketetapan formal kerana dikeluarkan oleh raja yang sedang memerintah. Oleh itu, titah tidak wajar diabaikan, apatah lagi dipersoalkan atau dibantah, meskipun dengan cara yang sopan.
Justeru ia hendaklah terus dijunjung, yakni dipatuhi dengan serta-merta dan sepenuhnya.

Walaupun titah memang perkara biasa dalam banyak konteks sejarah lampau, namun masih perkara absah pada zaman kini.

Perkara penting tentang titah yang dikeluarkan pada masa ini ialah ia merupakan ketetapan yang dibuat selepas melalui proses rujukan yang teliti, mendalam dan menyeluruh demi kebaikan semua pihak. Keputusan tersebut juga mengambil kira prinsip keadilan dalam memastikan kesejahteraan dapat dinikmati oleh majoriti, dan bukan hanya tertumpu kepada segelintir kelompok sahaja.

Dengan ini, titah pada zaman moden tidak sesekali sebarangan. Sebaliknya dilakukan dengan berpandukan ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara dan keadaan. Dengan kata lain, titah kini dikeluarkan setelah adanya pertimbangan berdasar pemahaman fakta tentang hal yang terbabit.

Dalam adab Melayu, tindakan membantah titah, apatah lagi secara terbuka di khalayak, walaupun dengan cara paling sopan, langsung tidak boleh diterima. Ia sudah tentu perbuatan biadab, malah dianggap derhaka kerana mengingkari arahan, perintah dan amaran raja yang disembah.

Adab Melayu sepatutnya telah lama difahami dan diamalkan, lebih-lebih lagi setelah hampir 70 tahun negara ini mencapai kemerdekaan. Namun, ia seolah tidak diketahui apabila banyak sekali perkara biadab dilakukan etnik Cina.

Sehubungan itu, persoalan yang timbul ialah sejauh mana proses pembentukan negara bangsa kita benar-benar berjaya dilaksanakan? Hal ini menuntut penelitian kerana masih terdapat cabaran apabila etnisiti tertentu tidak mahu ikut mendukung aspirasi nasional secara bersama.

Dalam hal ini, apakah yang terjadi pada kaedah integrasi yang kita sendiri pilih untuk tujuan penyatuan rakyat pelbagai etnisiti di negara ini?

Sebetulnya integrasi yang begitu ringan tuntutannya dalam hal penyatuan rakyat, tidak berjaya pun dilaksanakan di negara ini. Ini kerana terdapat keadaan belum bersedia, malah etnik Cina enggan berintegrasi ke dalam struktur sosial etnik Melayu. Sedangkan etnik Melayu adalah penduduk asal, kelompok majoriti kuasa dominan politik di negara ini.

Keengganan ini antaranya terserlah apabila etnik Cina tidak mahu mempelajari bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, pada tahap sepatutnya. Antaranya integratif untuk hanya mahu mengetahui bahasa Melayu pada tahap instrumental sahaja, yakni sekadar memenuhi syarat pendidikan untuk kelulusan akademik semata-mata.

Sewajarnya bahasa Melayu diketahui untuk dikuasai pada tahap integratif. Melalui penguasaan ini, semua etnik bukan sahaja dapat memahami budaya Melayu termasuk adab tetapi juga menghargai untuk menghayatinya dalam kehidupan nasional, sekurang-kurangnya dalam konteks interaksi rasmi dan sosial di negara ini.

Apabila pendidikan bahasa Melayu bersifat integratif, tidak akan ada lagi kejadian biadab dalam konteks adab Melayu.

Malangnya pada masa ini, ia langsung tiada. Ini dapat dilihat apabila secara umumnya etnik Cina bukan sahaja bersetuju, malah menyokong pula apabila adanya percubaan untuk membantah titah yang dikeluarkan.

Bahkan, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat juga sebahagian etnik Melayu menyokong tindakan tersebut secara terbuka. Situasi janggal ini wujud apabila etnik Melayu juga sanggup menderhakai titah.

Berhubung tindakan etnik Cina yang enggan mematuhi titah, jelaslah kelompok ini tidak mengetahui tentang adab Melayu. Apabila ditegur, mereka beranggapan bermotifkan politik. Sebenarnya apa-apa jua tegurannya, khususnya daripada etnik Melayu, pastinya kerana adab Melayu sedang dicabuli.

Ini kerana menjadi budi pekerti Melayu bahawa titah tidak boleh sesekali dibantah dalam apa-apa jua bentuk, walaupun secara sopan. Hal ini kerana ia bukan sahaja berkait kesopanan tetapi kerukunan, iaitu syarat sah dan asas wajib untuk kesempurnaan sesuatu itu.

Inilah yang sepatutnya difahami etnik Cina, bukannya mahu melakukan sesuatu walaupun dalam bentuk cadangan sahaja dan secara sopan. Dalam hal ini, ia tidak sepatutnya disokong, sebaliknya dikeji sebagai biadab oleh semua pihak.

 

MOHON MAAF

Perkara yang patut dilakukan ialah memohon maaf bukan sahaja kepada pihak Istana, juga kepada etnik Melayu kerana tindakan mereka membangkit kemarahan keseluruhan etnik Melayu.

Mereka juga harus berhenti daripada bersikap rakus, khususnya dalam hal sosioekonomi untuk memperoleh keuntungan semata-mata tanpa mengira langsung soal sosiobudaya etnik lain. Dalam hal ini, mereka hendaklah berpada-pada dalam semua perkara yang ada kaitan dengan sensitiviti Melayu dan Islam kerana bermastautin di bumi Melayu-Islam.

Dalam pada ini, etnik Cina tidak patut lagi membawa gagasan sama rata dalam apa-apa jua hal, termasuklah untuk menuntut perkara tertentu yang mahu dianggap sebagai hak mutlak mereka kerana perkara itu hanya merupakan keistimewaan yang diberikan etnik Melayu kepada etnik Cina, tidak boleh sama sekali disamakan dengan hak yang wajib dilunaskan etnik Melayu kepada mereka.

Sepatutnya sebagai minoriti, etnik Cina tinggal baik-baik di bumi Melayu-Islam ini dengan mengikuti filsafat peribahasa Melayu, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.’ Dengan ini, patuhilah peraturan di tempat yang didiami, yakni Malaysia yang sesungguhnya tidak pun menindas, melainkan berlaku adil kepada mereka pada setiap masa.

Etnik Cina bukan sahaja perlu mula belajar untuk menghormati peraturan setempat, juga bersedia mengamalkan norma negara ini. Untuk ini, pemimpin Cina hendaklah menuntun dengan membawa naratif ‘masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.’ Mereka juga hendaklah membawa diri dengan seadanya di bumi Melayu-Islam ini.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini